Jumaat, 25 Julai 2008

Keutamaan berukhuwwah

Rasulullah saw bersabda :
"Apabila seseorang muslim mengunjungi saudaranya sesama muslim, maka orang itu sentiasa berada dalam suatu taman syurga yang penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetik hinggalah dia pulang." (Hadith Riwayat Muslim).

Khamis, 24 Julai 2008

Ujian kecintaan kepada dunia

Kecintaan kepada dunia adalah di antara ujian terbesar yang perlu dihadapi oleh seseorang muslim. Dunia yang dimaksudkan bukanlah bumi pada erti fizikalnya tetapi tarikan-tarikan nafsu yang menjauhkan seseorang daripada balasan-balasan baik di akhirat kelak.

Sekiranya seseorang mukmin itu gagal dalam ujian itu, maka hatinya akan terikat kepada habuan-habuan yang ditawarkan oleh dunia. Akibatkannya, ia akan menjadi lalai, malas dan ingkar dalam mentaati Allah dan hilang tumpuan daripada mengerjakan amal-amal Islami.

Sebaliknya sekiranya mukmin itu lulus dalam ujian kecintaan kepada dunia, maka ia akan lebih ikhlas dan bersunguh-sungguh dalam melakukan ketaatan kepada Allah swt. Dunia tidak menjadi tempat tumpuan hatinya, tetapi sebaliknya pula hanyalah satu alat yang boleh dimanupulasikannya untuk mendapat keredhaan Allah swt.

Akan tetapi, dalam realiti metarialistik masa kini, tidak mudah untuk seseorang mukmin itu terpelihara dari cubaan-cubaan dunia. Hanya mereka yang sentiasa ingat kepada Allah dan bermujahadah dalam mentaatiNya sahaja yang mampu melepasi ujian yang berat ini.

Dengan itu tidak hairanlah bahawa di antara tanda-tanda kecintaan Allah swt kepada seseorang mukmin itu ialah jagaanNya agar hamba-hambaNya itu tidak terjerumus ke dalam godaan dunia.

Hal ini disebut oleh Rasulullah saw dalam hadith-hadithnya yang berikut :
“Jika Allah mencintai seseorang hamba, Allah menjaganya dari (godaan) dunia sebagaimana kalian menjaga orang sakit dari air.” (Riwayat Ahmad, at-Tarmudzi dan al-Hakim).

“Sesunguhnya jika cahaya telah masuk ke dalam dada, dada akan lapang.” Rasulullah saw ditanya, “Wahai Rasulullah, apakah ada tanda untuk hal itu?” Rasulullah saw menjawab, "Ya (iaitu) menjauh dari negeri godaan (dunia), condong kepada neheri keabadian dan mempersiapkan diri untuk kematian sebelum datangnya." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Bacaan lain :
Konflik antara dua tarikan

Rabu, 23 Julai 2008

Perjalanan balik kepada Allah swt : dengan takut dan penuh harap

Hari ini aku berusia 53 tahun. Aku berada di kedudukan yang sangat kritis. Aku berada di peringkat akhir perjalanan menuju Allah SWT dan perasaanku bercampur-campur antara takut dan harap.

Setiap kita akan dikembalikan oleh Allah SWT kepada-Nya, sama ada kita mahu mahupun tidak. Sama ada kita bersedia atau sebaliknya. Kehidupan di dunia yang sementara ini pasti akan berakhir dan kehidupan di akhirat pasti akan mula, yang merupakan kehidupan yang sebenar dan tidak akan ada akhirnya. Jika bahagia, kita akan bahagia selama-lamanya dan sekiranya sengsara, kita akan sengsara selama-lamanya.

Kita melalui perjalanan balik ini dengan iman dan amal saleh yang dilakukan. Sebenarnya, melakukan amal di dalam kehidupan ini tidaklah begitu sukar, yang sukar dilakukan dan majoriti manusia menyedarinya adalah melakukan amal dengan ikhlas. Amal yang dilakukan hanyasanya kerana Allah SWT semata-mata. Inilah yang dibimbangi dan meresahkan jiwa kerana bimbang amal-amal yang dilakukan dicemari oleh riya’ dan ujub sehingga amal-amal ini tidak diterima Allah SWT. Rugi! Rugi kiranya kita balik kepada Allah SWT dengan amal yang tercemar. Kadangkala pada ketika iman melemah, amal mudah tercemar oleh hajat-hajat lain, selain pahala dan redha Allah SWT.

“Ya Allah! Janganlah Kau biarkan aku melakukan walaupun satu amal, untuk yang selain dari untuk mendapat cinta dan redha-Mu”

Imam Qurtubi telah menulis, “Maka fikirkanlah dirimu wahai saudaraku! Ketika kamu diseret di atas tanah, dan pandangan orang-orang tertuju kepadamu, apalagi orang-orang yang sangat mempercayaimu ketika di dunia, mereka akan melihatmu ketika kamu mendapat balasan kesalahanmu, dan ketika kamu membaca lembaran amal-amalmu, kerana semua manusia akan mengetahui seluruh apa yang pernah kamu lakukan dan apa yang pernah kamu sembunyikan dari mereka. Tidak akan ada sesuatupun dari perbuatan, sama ada yang besar hingga yang sekecil-kecilnya yang boleh kamu tutupi dan rahsiakan.

Dikutip dengan kebenaran, baca lanjutannya di sini.

Selasa, 22 Julai 2008

Perihal dosa

Marilah kita renungkan ungkapan-ungkapan ulamak-ulamak tersohor yang berikut :

Abdullah bin Mubarak ra berkata,
“Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu, adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa.”
Dan Thabit bin Qurrah ra pula berkata,
“Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Jesturu itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.”
Bacaan lain :
Kaedah-kaedah mengubati penyakit hati
Konflik di antara dua tarikan
Suluhan hati yang bersih

Isnin, 21 Julai 2008

Kaedah-kaedah mengubati penyakit hati

Penyakit-penyakit hati timbul akibat daripada kelalaian kita untuk mempertahankan keimanan, termasuklah lalai dalam mengingati Allah atau melakukan dosa-dosa. Dengan terhinggapnya penyakit-penyakit hati di dalam diri kita, kita akan merasa malas dan berat untuk mentaati Allah dan hilang keyakinan kepada janji-janji Allah.

Jika kita mempunyai penyakit-penyakit hati ini, kita mestilah mengubatinya segera agar ia tidak merebak. Pada peringkat awal, penyakit ini akan melemahkan jiwa seperti mana racun melemahkan tubuh. Tetapi jika tidak dikawal atau dibendung, penyakit-penyakit hati boleh merosakkan jiwa, malah mematikannya, na'uzu billah.

Lantas itu, ubatilah penyakit-penyakit hati dengan melakukan amal-amal soleh seperti membaca al-Quran, mengingati mati dan sebagainya. Kaedah-kaedah untuk mengubati penyakit ini amatlah banyak, sebanyak pula jalan-jalan untuk mengakibatkan hati terjangkit dengannya.

Ibnu al-Qayyim al-Jauzi menyimpulkan tentang kaedah-kaedah melawan penyakit hati ini seperti berikut :
  • Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah;
  • Jika penyakit itu ialah melakukan amalan berdosa, ubatnya ialah meninggalkan amalan-amalan berdosa itu dan seterusnya bertaubat kepada Allah;
  • Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diberikan Allah, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab tersebut;
  • Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara yang disukai Allah, ubatnya ialah mengambil berat suka redha dan cinta terhadapnya; dan
  • Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah, maka ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah swt dalam semua hal kehidupan.
Bacaan lain :
Konflik di antara dua tarikan
Suluhan hati yang bersih

Ahad, 20 Julai 2008

Konflik antara dua tarikan

Dalam suasana masakini yang sangat mencabar, setiap orang mukmin menghadapi cabaran yang sangat getir pada setiap masa. Cabaran-cabaram itu datang dari luar dan dari dalam diri mukmin itu sendiri. Masing-masing saling tarik-menarik agar mukmin itu jatuh ke dalam dakapannya.

Seorang ulamak, Muhammad Ahmad al-Rashid berkata bahawa orang-orang yang beriman tidak dapat melarikan diri dari dua tarikan yang berikut :
  1. Tarikan iman, niat, pertimbangan dan kesedaran terhadap tanggungjawab; yang tarikannya akan mendorong perlakuan amal-amal soleh dan keberadaan dalam keazaman yang baik; dan
  2. Tarikan syaitan yang memperdayakan; yang godaannya boleh mengakibatkan seseorang mukmin itu mencintai dunia hingga menyebabkan dia lalai, malas berusaha, panjang angan-angan dan malas menuntut ilmu.
Konflik di antara dua tarikan ini wujud secara semulajadi dalam diri manusia secara berterusan selagi mana manusia itu bernyawa.

Oleh yang demikian, mahu atau tidak, seseorang mukmin mesti berada dalam keadaan sedar dan bermujahadah pada setiap masa. Jika ia lalai barang sejenakpun, pasti akan ada bisikan-bisikan syaitan yang akan memujuk rayu dirinya untuk lalai daripada mengingati Allah.

Bacaan lain :
Suluhan hati yang bersih

Sabtu, 19 Julai 2008

Munafik lalai dalam solat

Dalam beribadah, kita hendaklah melakukannya dengan bersungguh-sungguh demi untuk mengharapkan keredhaan Allah swt kepada kita. Seandainya kita tidak beringan-ringan dalam beribadah, maka bukan sahaja Allah swt tidak akan membalasi kita dengan redhaNya, malah akan melaknati kita pula.

Ini ditunjukkan dengan jelas dalam ibadah solat. Al-Quran telah memberi amaran yang jelas kepada mereka yang melalaikan solat seperti firman Allah yang berikut :
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat (iaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya." (Al-Maa'uun : 4-5).
Ulama menjelaskan bahawa orang yang lalai dalam solat ialah orang yang tidak mengambil berat terhadapnya. Dia tidak melakukan solat dalam waktunya yang ditetapkan atau melengah-lengahkannya, dan tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

Gambaran orang yang lalai dalam solat ini selari dengan sifat orang-orang munafik. Rasulullah saw bersabda,
"Apabila seseorang munafik solat, ia akan solat kerana riak, dan dia tidak akan kesal jika tidak dapat melakukannya."
Hadith ini diperkuatkan oleh ayat-ayat al-Quran yang berikut pula :
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit sekali." (Al-Nisaa' : 142).
"... Dan mereka tidak mengerjakan solat kecuali dengan malas dan tidak pula menafkahkan harta mereka kecuali dengan rasa enggan." (9:54).
Bagi muslim yang hakiki, tidak ada jalan lain melainkan bertindak segera melakukan solat dengan penuh himmah dan cergas. Beliau tidak harus merasa keberatan melakukannya dan tidak pula melalaikannya, kerana memeliharanya akan membawa kejayaan demi kejayaan dan mengabaikannya pula akan membawa kerugian dan kehinaan.


Bacaan lain :

Jumaat, 18 Julai 2008

Kerugian akibat meninggalkan solat

Kaedah yang pernah ditunjukkan oleh ulama ialah, "Apabila keuntungan hasil daripada melakukan sesuatu perkara itu besar, kerugian akibat daripada meninggalkannya juga besar."

Dalam urusan solat, Allah swt telah memberi gambaran yang sangat jelas mengenai keuntungan yang bakal dinikmati oleh orang-orang yang memelihara solat. Firman Allah :
"Dan orang-orang yang memelihara solat, mereka itulah yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka akan kekal di dalamnya." Al-Mu'minun : 9-11.
Kiranya memelihara solat dapat mencapai ketinggian dan keredhaan yang berkekalan bagi orang yang melakukannya, maka meninggalkan solat akan mengakibatkan sebaliknya, iaitu tidak mendapat ketinggian dan keredhaan yang berkekalan.

Ayat-ayat al-Quran telah turun sesuai dengan kaedah ini. Antaranya ialah perbualan di antara penghuni syurga dan penghuni neraka seperti berikut :
"(Penghuni syurga bertanya), 'Apakah yang memasukkan kamu ke dalam (neraka) Saqar?' Mereka (penghuni neraka) menjawab, 'Kami dahulu tidak termasuk golongan orang-orang yang mengerjakan solat dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin dan adalah kami membicarakan yang batil bersama dengan orang-orang yang membicarakannya.'" (Al-Mudassir : 42-45).
Dan ayat-ayat al-Quran yang lain juga memperjelaskan akibat yang bakal ditanggung oleh peninggal-peninggal solat :
"(Ingatlah) pada hari betis tersingkap (hari kiamat) dan mereka diseru untuk bersujud maka mereka tidak mampu. Pandangan mereka tertunduk ke bawah, diliputi kehinaan. Dan sesungguhnya mereka dahulu (di dunia) diseru untuk bersujud sedang mereka berada dalam sejahtera (waktu mereka sihat, tetapi mereka tidak melakukannya." (Al-Qalam : 42-43).

"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." (Al-Maa'uun:4-5).
Bacaan lain :
Solat, ibadah penghapus dosa


Khamis, 17 Julai 2008

Solat, ibadah penghapus dosa

Solat merupakan salah satu ibadah yang paling utama di dalam Islam. Melaksanakannya adalah suatu tuntutan, dan meninggalkan perlaksanaannya pula ialah suatu tegahan.

Bukan setakat itu sahaja, mengerjakan solat adalah salah satu bentuk ibadah kepada Allah, untuk menunaikan hak Allah ke atas diri manusia. Dalam suatu hadith, ada diriwayatkan seperti berikut :
Nabi saw bersabda kepada Mu'adz bin Jabal, "Tahukah kamu apa hak Allah atas hamba-hambaNya?" Mu'adz menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Nabi saw bersabda, "Apabila mereka (hamba-hamba Allah) menyembahNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu. Tahukah kamu apa hak mereka (hamba-hamba Allah) atas Allah?" Mu'adz menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Nabi saw menjawab, "Dia tidak menyeksa mereka (Allah tidak menyeksa hamba-hambaNya yang melaksanakan hak Allah ke atas mereka)." (Riwayat Bukhari).
Maka sebaliknya juga, sekiranya manusia meninggalkan solat, maka Allah akan menyeksa manusia itu dengan seksaan neraka. Penghuni neraka ketika ditanya pada hari akhirat kelak tentang sebab penyeksaan mereka, mereka akan menjawab sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran :
"Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Mereka menjawab, "Dahulu kami tidak termasuk orang-orang yang melaksanakan solat dan kami juga tidak memberi makan orang miskin." Al-Muddassir : 42-44.
Meninggalkan solat juga boleh menjatuhkan darjat manusia kerana Allah mengkafirkan golongan itu, sebagaimana yang ternyata pada dalil-dalil Al-Quran dan hadith-hadith yang banyak. Di antaranya :
"Dan jika mereka bertaubat, melaksanakan solat serta menunaikan zakat, maka (bererti mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui." At-Taubah : 11.
"Di antara manusia dan kufur adalah meninggalkan solat." (Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi).

"Sesungguhnya yang memisahkan antara kita dan mereka adalah solat, maka sesiapa meninggalkannya beerti ia telah kafir." (Riwayat Nasa'ie).
Oleh itu, hendaklah kita sama-sama mengambil berat akan ibadah solat ini. Janganlah kita abaikan atau lalaikan ia. Janganlah juga kita izinkan godaan-godaan nafsu dan syaitan untuk kita mempermudahkan tuntutan solat, hatta melewat-lewatkannya atau melaksanakannya secara sambil lewa hinggakan perlaksanaannya tidak langsung memberi kesan kepada kita. Sekiranya keadaan ini berlaku - solat atau tidak, sama sahaja rasa iman kita - maka sesungguhnya ia memberi penanda buruk terhadap prestasi iman kita, dan sebaliknya "penanda baik" pula terhadap prospek kita untuk diterima masuk sebagai penghuni-penghuni neraka.

Ambillah peluang yang Allah swt sediakan melalui solat, iaitu untuk sebagai penghapus dosa-dosa.
Firman Allah, "Dan laksanakanlah solat pada kedua hujung siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Perbuatan-perbuatan baik itu menghapuskan kesalahan-kesalahan. Itulah peringatan bagi orang-orang yang selalu mengingat (Allah)" Hud : 114.
Rasulullah saw juga bersabda. "Bagaimana pendapatmu seandainya ada sebuah sungai di depan pintu rumahmu, lalu setiap orang mandi di situ setiap hari lima kali, apakah masih ada kekotoran padanya. Mereka menjawab, "Tidak tinggal sedikitpun kotoran padanya." Baginda bersabda, "Begitulah solat lima waktu, Allah menghapuskan kesalaan-kesalahan dengannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rabu, 16 Julai 2008

47 Remaja Puteri Sertai Kem Pesona

HALUANITA telah berjaya menganjurkan program Kem Personaliti Remaja (PESONA) bagi remaja puteri bagi kawasan Kuala Lumpur Utara dari 12hb hingga 13hb Julai baru lalu. Program tersebut telah diadakan di Alang Sedayu Resort, Gombak. Seramai 47 orang remaja puteri yang terdiri dari pelajar-pelajar dari sekitar daerah Kuala Lumpur Utara dan daerah-daerah lain seperti Serdang dan Shah Alam telah melibatkan diri.

Sebagaimana siri-siri program PESONA terdahulu, pelbagai acara menarik dan mencabar telah disediakan bagi mencapai tema dan tujuan kem tersebut, iaitu membawa peserta-peserta untuk mengenal diri mereka. Antara acara yang telah diadakan termasuklah ceramah motivasi, muhasabah, tayangan multimedia, night walk, kembara pagi dan pembentangan kumpulan. Gabungan dan intergrasi aktiviti-aktiviti tersebut telah dapat membina suasana untuk peserta-peserta merasakan bahawa kem ini adalah bermanfaat bagi mereka mendapatkan ilmu, peringatan, nasihat dan menguja mereka untuk berubah dan menjadi insan yang lebih baik sebagai hamba Allah, anak dan pelajar.

Untuk berita lanjut dan gambar-gambar, klik di sini.

Selasa, 15 Julai 2008

Lenggokan lidah, mengukir jalan ke syurga atau neraka?

Islam adalah agama yang terdiri daripada peraturan-peraturan yang lengkap. Ia menghendaki manusia melakukan kebaikan, dan melarangnya daripada apa jua yang batil. Untuk itu, Islam menggariskan takat-takat akhlak yang tertentu buat neraca ikutan mereka yang beriman.

Di antara akhlak yang terpuji di sisi Islam ialah memelihara lisannya daripada ungkapan-ungkapan yang tidak berfaedah. Bukan sahaja seseorang itu dikehendaki untuk membasahkan lidahnya dengan zikir-zikir dan kalimah-kalimah Ilahi, malah Islam juga menganjurkannya untuk berdiam diri sahaja walaupun pada perkara-perkara yang harus dia perbualkan.

Peri pentingnya penjagaan lisan ini, dapat dibuktikan melalui hadith Rasululah saw yang meletakkannya sebagai salah satu tanda-tanda keimanan.
Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik ataupun berdiam diri. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia memuliakan tetamunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Islam meletakkan kesempurnaan diri seseorang muslim, antara lainnya, melalui kebersihan lisan dan tangannya daripada bentuk-bentuk gangguan terhadap saudaranya. Salah satu hadith Rasulullah saw yang lain pula berbunyi :
"Orang Muslim adalah yang orang Muslim lainnya selamat dari gangguan lisan dan tangannya" (Riwayar Muslim).
Ungkapan perkataan-perkataan yang tidak baik bukan sahaja menyisihkan kasih sayang manusia, bahkan Allah swt pun jua. Malah, ia juga boleh menghapuskan amalan-amalan soleh dan menjauhkan seseorang itu daripada syurga Allah.

Pernah Saidina Umar ra berkata bahawa barangsiapa yang banyak bercakap maka banyaklah salahnya dan barangsiapa yang banyak salahnya maka akan banyaklah dosanya. Barangsiapa yang banyak dosa pula, maka nerakalah tempatnya. Ingatlah bahawa tiada apa yang kita lakukan atau ucapkan melainkan ada malaikat-malaikat yang akan mencatatnya.

Tetapi ini tidaklah pula bermakna bahawa seseorang itu perlu berdiam diri dalam setiap ketika. Ada saatnya yang dia perlu berkata sesuatu, seperti dalam menegakkan hak dan melakukan makruf, di samping mencegah kemungkaran.

Atas dasar itu, pergunakanlah nikmat lisan yang Allah kurniakan kepada setiap diri kita dengan sebaik-baiknya - kerana kita pasti akan dipertanggungjawabkan atasnya.

Isnin, 14 Julai 2008

Suluhan hati yang bersih

Penjagaan hati agar sentiasa bersih dan suci merupakan ajaran Rasulullah saw. Baginda pernah berpesan melalui hadithnya yang bermakud,
"Ketahuilah bahawa sesungguhnya dalam jasad itu terdapat segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahawa ia adalah hati (alqalbu)." Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka dengan itu, adalah menjadi kewajipan kita untuk menjaga kesejahteraan hati. Ini adalah kerana pancaran hati ini akan memacar kepada tindak-tanduk dan amalan kita seluruhnya, sebagaimana yang boleh kita fahami daripada sabda Rasulullah saw iaitu "... baiklah seluruh tubuhnya" seperti yang ternyata dalam hadith tadi.

Kesan hati yang bersih ini, tidak hanya kita akan terasa tenang dan nyaman, malah ianya juga akan membangkitkan rasa seronok dan bahagianya kita dalam melakukan amal-amal Islami. Maka dengan itu, pengerjaan ibadah-ibadah kita tidak akan terasa berat atau seperti dipaksa-paksa. Dan tidak perlu juga kita bersusah-payah untuk mengikhlaskan hati, kerana hati yang bersih akan memusatkan amalan-amalan kita agar hanya tertumpu untuk mendapatkan keredhaan Allah swt semata-mata dan bukannya pujian manusia.

Bukan setakat itu sahaja. Sinar yang terpancar dari hati yang bersih akan menyuluhi apa yang berada di sekitar hati itu. Ini termasuklah hati-hati yang berada di dalam tubuh-tubuh individu-individu yang berdekatan. Pastinya hati-hati yang lain tersebut akan turut sama berasakan ketenangan dan kejernihan hati yang bersih tersebut. Sebab itulah, jika kita berada berdekatan dengan orang-orang yang soleh, kita akan merasai kenyamanan hati-hati mereka. Tidak perlu untuk mereka mengucapkan bait-bait kalimah keluar dari lidah-lidah mereka. Cukuplah keberadaan mereka, nescaya kita dapat berkongsi atau mempelajari himah-hikmah tertentu daripada mereka.

Itulah keajaiban orang-orang yang beriman.