Sabtu, 21 Julai 2012

Malam 7 Ramadhan : Keutamaan Ramadhan dan Beramal di Dalamnya


1.   Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra, bahawa sesungguhnya Rasulullah saw. pernah bersabda ketika datang bulan Ramadhan, `Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu Syurga dibuka, pintu Neraka ditutup, Syaitan-Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya (tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Baihaqy. Hadits Shahih Ligwahairihi). 

2. Diriwayatkan dari Urfujah, ia berkata, “Aku berada di tempat 'Uqbah bin Furqad, maka masuklah ke tempat kami seorang dari Sahabat Nabi saw. Ketika Utbah melihatnya ia merasa takut padanya, maka ia diam. Ia berkata, maka ia menerangkan tentang puasa Ramadhan ia berkata, ‘Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda tentang bulan Ramadhan : Di bulan Ramadhan ditutup seluruh pintu Neraka, dibuka seluruh pintu Syurga, dan dalam bulan ini Syaitan dibelenggu.’ Selanjutnya ia berkata, ‘Dan dalam bulan ini ada malaikat yang selalu menyeru, ‘Wahai orang yang selalu mencari (atau) beramal kebaikan bergembiralah anda, dan wahai orang-orang yang mencari (atau) berbuat kejahatan berhentilah (dari perbuatan jahat) . Seruan ini terus diucapkankan sampai akhir bulan Ramadhan.” (Riwayat Ahmad dan Nasai).

3. Diriwayatkan dari Abi Hurairah ra, “Sesungguhnya Nabi saw. telah bersabda, ‘Solat lima waktu, Solat Jum'at sampai Solat Jum'at berikutnya, Puasa Ramadhan sampai Puasa Ramadhan (tahun) berikutnya, adalah menutup dosa-dosa (kecil) yang diperbuat antara keduanya, (dengan syarat) bila dosa-dosa besar dijauhi.” (Riwayat Muslim). 

4. Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru, bahawa sesungguhnya Nabi saw telah bersabda, “Puasa dan Quran itu memintakan syafaat seseorang hamba di hari Kiamat nanti. Puasa berkata, ‘Wahai Rabbku, aku telah mencegah dia memakan makanan dan menyalurkan syahwatnya pada siang hari, maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya.’ Dan berkata pula Al-Quran. ‘Wahai Rabbku, aku telah mencegah dia tidur pada malam hari (kerana membacaku), maka berilah aku hak untuk memintakan syafaat baginya.’ Maka keduanya diberi hak untuk memintakan syafaat.” (Riwayat Ahmad, Hadits Hasan). 

5. Diriwayatkan dari Sahal bin Sa'ad, “Sesungguhnya Nabi saw telah bersabda, ‘Bahawa sesungguhnya bagi Syurga itu ada sebuah pintu yang disebut ‘Rayyaan’. Pada hari kiamat diseru, ‘Manakah orang yang berpuasa?’  Selepas yang orang terakhir antara mereka sudah memasuki pintu itu, maka ditutuplah pintu itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

6. Rasulullah saw. Bersabda, “Barangsiapa puasa Ramadhan kerana beriman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu dan yang sekarang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rujukan : Risalah Khas sempena sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1433H, terbitan HALUAN Negeri Pahang 2012.
Versi .pdf boleh dimuat turun dari capaian ini.

Malam 6 Ramadhan : Peristiwa-Peristiwa Penting Dalam Bulan Ramadhan


Jika kita kembali untuk melihat sirah Rasulullah saw kita akan dapati betapa banyaknya kejadian penting terjadi pada bulan Ramadhan, antaranya : 

1. Bulan diturunkannya Al Quran. 
Firman Allah swt yang bermaksud, “Bulan Ramadhan iaitu bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk dan pemisah (antara yang hak dan yang batil)." (Baqarah [2]:185). 
Dalam tafsir Mafatihul Ghaib, berkenaan dengan ayat diatas, Ar-Razi berkata, "Allah telah memuliakan bulan Ramadhan dengan menurunkan Al Quran. Kerananya, Allah swt mengkhususkannya dengan satu ibadah yang sangat besar nilainya, iaitu ibadah puasa. 
Puasa adalah satu senjata yang mengungkapkan tabir-tabir yang menghalang kita manusia memandang nur Ilahi yang Maha Quddus. Al-Quran adalah suatu kitab yang tiada bandingannya, pemisah yang haq dan batil, berlaku sepanjang masa, dan menjadi pengikat seluruh umat Islam di seluruh dunia. 

2. Bulan diturunkannya kitab-kitab suci lainnya. 
Pada bulan ini pula, Allah menurunkan kitab-kitabNya yang lain kepada para Rasul, sebagaimana diriwayatkan dalam hadits, "Shuhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada 6 Ramadhan dan Injil diturunkan pada 13 Ramadhan sedangkan Al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan." (Riwayat Ahmad).
Itulah keberkatan bulan Ramadhan, bulan turunnya ayat-ayat Qauliyyah, minhajul hayah (perlembagaan kehidupan) bagi kegunaan manusia di muka bumi, penunjuk jalan bagi orang-orang yang mahu mensucikan dirinya. Dengan itu puasa dijadikan sebagai cara menyambut ulang-tahun turunnya Al-Quran seperti mana keterangan Surah Al-Baqarah ayat 185.

3. Bulan pilihan Allah bagi terjadinya peperangan Badr. 
Perang pertama yang dilakukan kaum Muslimin, di mana perang ini menjadi penentu kelangsungan perjuangan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah saw bersama para sahabatnya. Perang Badr dinamakan Allah dengan sebutan "yaumul furqon" (hari pembeda antara yang haq dan batil), sebagaimana firmanNya, “Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnus sabil. Jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqaan, iaitu pada hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Al-Anfal [8]:41). 
Muhammad Qutb mengatakan dalam tafsirnya bahawa perang ini dari awal hingga akhirnya adalah rencana Allah swt yang dilaksanakan dengan pimpinan dan bantuanNya. Dalam pertempuran itu, Allah swt memenangkan kaum Muslimin yang mempunyai anggota dan persenjataan yang sedikit, ditambah keadaan luaran kaum Muslimin lebih lemah kerana sedang berpuasa, dan perintah perang yang baru beberapa saat diterima. Namun itu bukanlah halangan untuk menang, kerana kekuatan utama kaum Muslimin adalah kekuatan ruhiyyah mereka dengan Allah swt. 
Peperangan ini membuahkan corak baru dalam sistem gerakan Islam iaitu keyakinan kepada pertolongan Allah setelah ada pengorbanan. Perang ini memperbaharui keadaan umat Islam, setelah dengan sabar dan tabah menempuh tahap-tahap perjuangan dakwah, iaitu kedudukan mereka semakin teguh di Madinah.  

4. Bulan yang dipilih bagi terbukanya kota Mekah. 
      Peristiwa "fathul Mekah" terjadi pada pertengahan bulan Ramadhan, sekitar 10,000 kaum Muslimin mendatangi Mekah dari segala penjuru. Pada saat itulah terjadi fenomena kemenangan yang tidak ada bandingannya dalam sejarah manapun, ketika mana semua musuh, hingga para pemimpinnya menerima dan mengikuti agama pihak lawan iaitu Islam. Ini tidak terjadi melainkan dalam sejarah Islam. Kemenangan ini hakikatnya adalah kemenangan aqidah dan kalimat tauhid; dan bukan kemenangan individu atau balas dendam. 

5. Bulan yang dipilih Allah untuk Lailatul Qadar. 
Dijelaskan dalam firman Allah swt, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu ? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar." (Al-Qadr [97]:1-5).

6. Bulan yang dipilih untuk pelaksanaan puasa dan pemindahan qiblat. 
Firman Allah swt, “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (Baqarah [2] : 183). 
Bersamaan dengan turunnya ayat perintah berpuasa di bulan Ramadhan, pemindahan qiblat umat Islam dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram. Ini juga menjadi pembeza antara yang haq dan batil. Ia memadam kebatilan orang Yahudi yang merasa puasa dan kiblat mereka diikuti kaum Muslimin. 
Dengan perintah itu, maka berbezalah kaum Muslimin dengan ahlul kitab. Berbeza pula kiblat Muslimin dengan mereka, serta puasa Muslimin dengan mereka. Kesombongan merekapun berakhir dengan barakah bulan ini. 

Rujukan : Risalah Khas sempena sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1433H, terbitan HALUAN Negeri Pahang 2012.
Versi .pdf boleh dimuat turun dari capaian ini.

Jumaat, 20 Julai 2012

Malam 5 Ramadhan : Panduan Beramal Dalam Ramadhan (Bhg. 3)


13. Qiam Ramadhan (solat tarawih) 
Di antara kegiatan ibadah Rasulullah saw selama bulan Ramadhan ialah ibadah qiamullai, yang kebelakangan ini lebih popular disebut sebagai solat tarawih. Baginda lakukan bersama dengan para sahabat-sahabat Baginda saw.  
Dalam situasi itu riwayat yang sahih menyebutkan bahawa Rasulullah saw solat tarawih dalam 11 rakaat dengan bacaan-bacaan yang panjang (Riwayat Bukhari dan Muslim). 
Dalam riwayat-riwayat lain, juga dari Umar ibn al Khothab ra, yang menyebutkan jumlah rakaat solat tarawikh adalah 21 atau 23 rakaat. (Riwayat Abdur Razaq dan al Baihaqi). 
Telah berkata Ibnu Hajar al-Asqolani dan asy-Syafi'i, bahawa, “Beberapa maklumat tentang jumlah rakaat tarawih itu sesuai dengan keadaan dan kemampuan masing-masing, kadang-kadang seseorang itu mampu melaksanakan solat sebanyak 11 rakaat, dan kadang-kadang 21 dan kadang-kadang 23 rakaat pula. Hal demikian itu kembali kepada semangat masing-masing. Dahulu mereka yang solat dengan 11 rakaat itu dilakukan dengan bacaan yang panjang sehingga mereka bertongkat, sementara mereka yang solat dengan 21 atau 23 rakaat  membaca bacaan-bacaan yang pendek (dengan tetap memperhatikan toma'ninah solat) sehingga tidak menyulitkan. 

14. Iktikaf.
Di antara amalan sunnah yang selalu dilakukan oleh Rasulullah saw dalam bulan Ramadhan ialah i'tikaf, yakni berdiam diri di dalam masjid dengan niat beribadah kepada Allah. Seperti dilaporkan oleh Abu Sa'id al Khudlri ra, hal demikia pernah baginda lakukan pada awal Ramadhan, pertengahan Ramadhan dan terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Ibadah yang penting ini sering dianggap berat sehingga ditinggalkan oleh orang-orang Islam. Rasulullah saw tidak pernah meninggalkan ibadah i’tikaf pada bulan Ramadhan semenjak Baginda saw berhijrah ke Madinah sehinggalah kewafatan Baginda saw.


15. Lailatul Qadr 
Allah swt berfirman, “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?  Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehinggalah terbit fajar.” (Al-Qodr : 1-5).
Dalam bulan Ramadhan ini terdapat satu malam yang sangat berkat, yang disebut sebagai Lailatul Qadr, iaitu malam yang lebih berharga daripada seribu bulan. Rasulullah tidak pernah lupa dan leka untuk meraih Lailatul Qadr terutama pada malam-malam ganjil pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan (Riwayat Bukhori Muslim ). 
Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa yang solat pada malam Lailatul Qodr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dariNya, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu. " (Riwayat Bukhari dan Muslim). 


16. Umrah 
Mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan juga merupakan dari sunnah Nabi saw, sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw kepada seorang wanita dari Ansar bernama Ummu Sinan, "Agar apabila datang bulan Ramadhan ia melakukan umrah, kerana nilainya setara dengan haji bersama Rasulullah saw.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 


17. Zakat fitrah 
Pada hari-hari terakhir bulan Ramadhan amalan yang disuruh oleh Rasulullah saw ialah membayarkan zakat fitrah, suatu kewajiban yang harus dipenuhi oleh umat Islam baik lelaki mahupun perempuan, baik dewasa mahupun kanak-kanak (Riwayat Bukhari dan Muslim). 
Zakat fitrah ini juga berfungsi sebagai pelengkap penyucian untuk pelaku puasa dan untuk membantu kaum fakir miskin. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). 

Ramadhan bulan taubat menuju fitrah 
Selama sebulan penuh, secara berduyun-duyun umat manusia kembali kepada Allah yang Maha Pemurah juga Maha Pengampun. Dia Dzat yang menyampaikan bahawa pada setiap malam bulan Ramadhan Allah membebaskan banyak hambaNya dari api nereka (Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah). Kerana inilah satu kesempatan emas agar umat manusia dapat kembali, bertaubat agar ketika mereka selesai melaksanakan ibadah puasa mereka benar-benar kembali kepada fitrahnya. 
Demikianlah sebahagian amalan Ramadhan yang mudah dan boleh dilakukan oleh setiap Muslim.  Dengan demikian Ramadhan juga mendedahkan salah satu prinsip Islam iaitu kesederhanaan ajarannya. Ramadhan sememangnya bulan yang penuh kebaikan, sehingga Rasulullah saw pernah bersabda, "Apabila orang-orang mengetahui nilai besar Ramadhan, mereka akan berharap agar semua bulan dijadikan sebagai bulan Ramadhan". (Riwayat Ibnu Huzaimah). Semoga Allah menerima amalan puasa dan qiam kita sekalian, amin.


Rujukan : Risalah Khas sempena sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1433H, terbitan HALUAN Negeri Pahang 2012.
Versi .pdf boleh dimuat turun dari capaian ini.


Malam 4 Ramadhan : Panduan Beramal Dalam Ramadhan (Bhg. 2)


8.   Tilawah (membaca) al-Quran
     Ramadhan adalah bulan diturunkannya al-Quran. Firman Allah, "Bulan Ramadhan  yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Oleh demikian sesiapa yang melihat anak bulan maka hendaklah ia berpuasa, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka hendaklah ia menggantikannya sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."  (Baqarah [2] : 185).
       Pada bulan ini Malaikat Jibril pernah turun dan membaca al-Quran dengan Rasulullah saw (Riwayat Bukhori). Maka tidak aneh kalau Rasulullah saw (yang selalu membaca al-Quran pada sepanjang tahun itu) lebih sering membacanya pada sepanjang bulan Ramadhan. 
Imam az-Zuhdi pernah berkata,  "Apabila datang Ramadhan maka kegiatan utama kita (selain puasa) ialah membaca al-Quran". 
     Hal ini tentu saja dilakukan dengan tetap memperhatikan tajwid dan tujuan dasar diturunkannya al-Quran untuk ditadabbur (ditatapi dengan serius), difahami dan diamalkan. Firman Allah yang bermaksud, “Ini adalah sebuah Kitab yang kami turunkan kepadamu dengan penuh dengan keberkat supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya menjadi peringatan kepada orang-orang yang mempunyai fikiran.”

9.   Memberikan makanan dan sadaqah.
     Salah satu amalan Ramadhan Rasulullah saw ialah memberikan makan kepada orang-orang yang berpuasa. Seperti sabda Baginda saw, "Barangsiapa yang memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala senilai pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut." (Riwayat Turmudzi dan an Nasa'i). 
     Hal memberi makan dan sedekah selama bulan Ramadhan ini bukan hanya untuk keperluan berbuka malahan juga untuk segala kebajikan. Rasulullah yang terkenal sebagai dermawan dan penuh prihatin terhadap nasib umat, pada bulan Ramadhan sifat dermawannya lebih menonjol hingga dimisalkan sebagai "lebih cepat dari angin" (Riwayat Bukhori ). 

10.  Mengambil perhatian tentang kesihatan. 
     Rasulullah mementingkan kesihatan para umatnya. Hal ini dilihat dari beberapa peristiwa di bawah ini:
i.     Membersihkan gigi dengan kayu siwak (berus gigi). (Riwayat Bukhori dan Abu Daud); dan  
ii.    Memperhatikan penampilan, seperti pernah diwasiatkan oleh Rasulullah saw kepada sahabat Abdullah ibnu Mas'ud RA, agar memulakan puasa dengan penampilan baik dan tidak dengan wajah yang sedih. ( Riwayat Al-Haitsami). 

11.  Mengambil berat tentang hak-hak keluarga
     Sekalipun puasa adalah ibadah yang khusus diperuntukkan hanyasanya kepada Allah, dan juga juga mempunyai nilai khusus di hadapan Allah, namun puasa menjadi dengan lebih sempurna, jika tidak mengabaikan hak-hak keluarga. 
     Seperti yang diriwayatkan oleh isteri-isteri Baginda saw seperti Aisyah ra dan Ummu Salamah ra bahawa Rasulullah saw adalah tokoh yang paling baik untuk keluarga. Selama bulan Ramadhan, Baginda saw selalu memenuhi hak-hak keluarga Baginda. Bahkan ketika Rasulullah saw berada dalam puncak i'tikaf, hak keluarga tetap terjaga. 

12.  Memperhatikan aktiviti dakwah dan masyarakat 
     Rasulullah saw menjadikan bulan puasa sebagai bulan penuh amal soleh. Selain amalan soleh yang telah disebutkan, Baginda saw juga aktif melakukan dakwah, bergaul bersama masyarakat, bermusafir dan berjihad. 
     Dalam sembilan kali Ramadhan yang pernah Baginda saw alami, Baginda saw telah melakukan perjalanan ke Badr (tahun 2H), Mekah (tahun 8H), dan ke Tabuk (tahun 9H), mengirimkan 6 sariyah (pasukan jihad yang tidak secara langsung Baginda saw ikuti atau pimpin), melaksanakan perkahwinan puterinya Fatimah ra dengan Ali kw, Baginda saw berkeluarga dengan Hafshah ra dan Zainab ra, meruntuhkan berhala-berhala Arab seperti Lata, Manat dan Suwa', dan meruntuhkan masjid adh-Dhiror. 

Rujukan : Risalah Khas sempena sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1433H, terbitan HALUAN Negeri Pahang 2012.
Versi .pdf boleh dimuat turun dari capaian ini.

Malam 3 Ramadhan : Panduan Beramal Dalam Ramadhan (Bhg. 1)


     Ramadhan bagi umat Islam bukan sekadar salah satu nama bulan qomariyah, tapi dia mempunyai makna tersendiri. Ramadhan bagi seseorang muslim adalah rehlah daripada kehidupan materialistik kepada kehidupan ruhiyah, daripada kehidupan yang penuh dengan pelbagai masalah keduniaan menuju kehidupan yang penuh tazkiyatus nafs (penyucian jiwa) dan riyadhotur ruhiyah (latihan roh). Kehidupan yang penuh dengan amal taqorrub kepada Allah, iaitu amalan mendekatkan diri kepada Allah swt mulai dari tilawah Al-Qur'an, menahan syahwat dengan puasa, sujud dalam qiamullail, beriktikaf di masjid, dan lain-lain. Semua ini dalam rangka merealisasikan inti ajaran dan hikmah puasa Ramadhan iaitu sebagaimana firman Allah, “Agar kalian menjadi orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah [2] : 183 dan akhir Al-Hijr). 
     Ramadhan juga merupakan bulan latihan bagi peningkatan kualiti peribadi seorang mulim. Hal ini dilihat pada tujuan puasa yakni agar manusia selalu dapat meningkatkan nilainya di hadapan Allah swt dengan bertaqwa, di samping melaksanakan amalan-amalan soleh (baik) yang ada pada bulan Ramadhan. Amalan-amalan Ramadhan telah dicontohkan oleh Rasulullah saw sama ada amalan ibadah mahupun amalan kemasyarakatan. 
     Amal terpenting selama bulan Ramadhan sudah tentu adalah shiyam (puasa), sebagaimana termaktub dalam firman Allah pada surat al Baqarah [2] : 183-187. Dan antara amalan puasa Ramadhan yang diajarkan oleh Rasulullah saw ialah : 


1.   Mempunyai kefahaman yang jelas tentang matlamat puasa dan menjaga adab-adabnya. 
     Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengetahui adab-adabnya dan memperhatikan apa yang semestinya diperhatikan, maka hal itu akan menjadi pelebur dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelumnya" (Riwayat Ibnu Hibban dan Al Baihaqi). 


2.   Tidak meninggalkan puasa
     Tidak meninggalkan puasa, walaupun sehari, dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syariat Islam. Rasulullah saw bersabda,  "Barangsiapa tidak puasa pada bulan Ramadhan sekalipun sehari tanpa alasan rukhshoh (keringanan yag dibenarkan syariat) atau sakit, hal itu (merupakan dosa besar) yang tidak boleh ditebus bahkan seandainya ia berpuasa sepanjang hidupnya." (Riwayat At Tirmizi).


3.   Menjauhi hal-hal yang dapat mengurangi atau bahkan menggugurkan nilai puasa. 
     Rasulullah saw pernah bersabda, " Bukanlah (hakikat) puasa itu sekadar meninggalkan makan dan minum, melainkan meninggalkan pekerti sia-sia (tak bernilai) dan kata-kata bohong" (Riwayat Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah). 
     Rasulullah saw juga pernah bersabda, "Barangsiapa yang selama berpuasa tidak meninggalkan kata-kata bohong bahkan melakukannya, maka tidak ada nilainya bagi Allah apa yang ia sangkakan sebagai puasa, iaitu sekadar meninggalkan makan dan minum " (Riwayat Bukhori dan Muslim).


4.   Bersungguh-sungguh melakukan puasa dengan menepati aturan-aturannya. 
     Rasulullah saw bersabda, " Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan sepenuh keimanan dan kesungguhan, maka akan diampunkanlah dosa-dosa yang pernah dilakukan " (Riwayat Bukhori, Muslim dan Abu Daud).


5.   Bersahur
     Bersahur, makanan yang berkat (al-ghiza’ al-mubarok). Dalam hal ini Rasulullah saw pernah bersabda, "Sahur itu merupakan suatu keberkatan, maka jangan anda tinggalkan, sekalipun hanya dengan seteguk air. Allah dan para Malaikat mengucapkan salam kepada orang-orang yang bersahur" (Riwayat Ahmad). 
     Dan disunnahkan mengakhirkan waktu makan sahur. 


6.   Berbuka puasa. 
     Rasulullah saw pernah menyampaikan bahawa salah satu tanda kebaikan umat dengan mendahulukan berbuka (berbuka puasa) dan mengakhirkan sahur. Dalam hal berbuka puasa ini, Rasulullah saw juga pernah bersabda bahawa, " Sesungguhnya termasuk hamba Allah yang paling dicintai olehNya, ialah mereka yang bersegera berbuka puasa." (Riwayat Ahmad dan Tirmidzi). 
        Bahkan Baginda mendahulukan berbuka walaupun hanya dengan ruthob (kurma separuh masak), atau tamr (kurma) atau air saja " (Riwayat Abu Daud dan Ahmad). 


7.   Berdoa. 
     Rasulullah saw bersabda, "Ada tiga kelompok manusia yang doanya tidak ditolak oleh Allah. Yang pertama ialah do'a orang-rang yang berpuasa sehingga mereka berbuka" (Riwayat. Ahmad dan Turmudzi). 

Rujukan : Risalah Khas sempena sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1433H, terbitan HALUAN Negeri Pahang 2012.
Versi .pdf boleh dimuat turun dari capaian ini.

Malam 2 Ramadhan : Ramadhan Bulan Berkat


     Salah satu sifat Allah swt adalah Ia memiliki irodah (kehendak), sebagaimana firmanNya, "Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan Dia)." (Al Qoshosh [28] : 68). 
     Allah memilih sesuatu yang dikehendakiNya.  Begitu pula halnya dengan bulan-bulan dalam setahun, Allah telah memilih Ramadhan sebagai bulan yang istimewa, yang namanya disebutkan dalam Al Quran. Firman Allah, "Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Oleh demikian sesiapa yang melihat anak bulan maka hendaklah ia berpuasa, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka hendaklah ia menggantikannya sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Baqarah [2] : 185).  
     Begitu juga halnya dengan bulan Ramadhan, Allah swt tidak akan mengatakan Ramadhan sebagai bulan istimewa jika tidak ada sesuatu di sebaliknya. Baginda Rasulullah saw, ketika berada di penghujung bulan Sya'ban, selalu mengatakan kepada sahabatnya,"Telah datang padamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, maka sambutlah kedatangannya. Telah datang bulan siyam (bulan puasa) membawa segala keberkatan, maka alangkah mulianya tamu yang datang itu." (Riwayat Ath-Thabrani).
     Dalam sabdanya yang lain, "Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Pada bulan itu, dibukakan segala pintu syurga, dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa yang tidak diberikan kebajikan malam itu, bererti telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan." (Riwayat An-Nasai dan Al-Baihaqi).


Rujukan : Risalah Khas sempena sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1433H, terbitan HALUAN Negeri Pahang 2012.
Versi .pdf boleh dimuat turun dari capaian ini.

Malam 1 Ramadhan : Marhaban Ya Ramadhan


     Marhaban barasal dari kata rahb yang bererti luas atau lapang. Marhaban menggambarkan suasana penerimaan tetamu yang disambut dan diterima dengan lapang dada, dan penuh kegembiraan. Marhaban ya Ramadhan (selamat datang Ramadhan), mengandungi erti bahawa kita menyambut Ramadhan dengan lapang dada, penuh kegembiraan, dan tidak dengan keluhan. 
     Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (Baqarah  2 : 183).
     Rasulullah sendiri sentiasa menyambut setiap kedatangan Ramadhan dengan penuh kegembiraan. Berita gembira itu disampaikan pula kepada para sahabatnya seraya bersabda,  "Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardhukan ke atas kamu ibadah puasa. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu surga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh Syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan" (Hadith Riwayat Ahmad). 
     Marhaban Ramadhan, kita ucapkan untuk bulan suci itu, kerana kita mengharapkan agar jiwa raga kita diasah dan diasuh dalam melanjutkan perjalanan kita untuk bertemu Allah SWT. Perjalanan menuju Allah SWT itu dinukilkan oleh para ulama salaf sebagai perjalanan yang banyak ujian dan tentangan. Terdapatnya gunung yang harus didaki, iaitu hawa nafsu. 
     Pada gunung tersebut terdapat lereng yang curam, belukar yang dahsyat, bahkan diibaratkan di dalamnya terdapat banyak perompak yang mengancam, serta iblis yang merayu, agar perjalanan tidak dilanjutkan. Bertambah tinggi gunung didaki, bertambah hebat ancaman dan rayuan, semakin curam dan ganas pula perjalanan. 
     Tetapi, bila tekad tetap membaja, maka  akan nampaklah sinar cahaya yang benderang, dan saat itu akan nampak dengan jelas keindahan perjalanan, tempat-tempat yang indah untuk berteduh, serta telaga-telaga jernih untuk melepaskan dahaga. Dan apabila perjalanan dilanjutkan akan ditemukan kenderaan Ar-Rahman untuk mengantar hamba yang bermusafir bertemu dengan kekasihnya. 
     Untuk sampai kepada tujuan tersebut, sudah tentulah memerlukan bekalan yang mencukupi. Bekalan tersebut adalah benih-benih kebajikan yang harus kita tabur di dalam jiwa kita. Tekad yang keras dan membaja untuk memerangi nafsu, agar kita mampu menghidupkan malam Ramadhan dengan solat dan tadarrus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama.


Rujukan : Risalah Khas sempena sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1433H, terbitan HALUAN Negeri Pahang 2012.

Versi .pdf boleh dimuat turun dari capaian ini.

Rabu, 18 Julai 2012

Khamis, 5 Julai 2012

8 Cara Menyambut Ramadhan


Beberapa kegiatan yang dapat dipersiapkan seseorang Muslim dalam menyambut bulan Ramadhan :
  1. Anjurkan anggota keluarga untuk berpuasa sebanyak-banyaknya di dalam bulan Sya’ban. Bagi yang tidak mampu, cukup dengan puasa Isnin dan Khamis setiap minggu, atau jika belum mampu juga cukup puasa ayyamul-bidh.
  2. Tingkatkan kekerapan tilawah al-Quran di bulan Sya’ban, misalnya dengan mendengarnya di radio atau membacanya sebagai wirid harian.
  3. Ajak pasangan membaca buku fekah ringkas atau membahasnya dalam pertemuan keluarga. Buku yang baik sebagai rujukan ialah seperti Fiqhus Sunnah karya Sayyid Sabiq atau Fiqhus Siyam karya Dr Yusuf al-Qaradhawi.
  4. Susun kembali suasana rumah, teruatam pada minggu terakhir bulan Sya’ban. Misalnya dengan menyusun letak dan membersihkan perabut rumah atau meletakkan kaligrafi al-Quran di dinding yang terlihat. Selain itu, elok juga meletakkan hiasan-hiasan di ruangan-ruangan tertentu, terutama di ruangan anak-anak. Semua itu ialah agar setiap anggota keluarga memberi perhatian dengan kedatangan bulan Ramadhan.
  5. Tunjukkan kecintaan dan kasih sayang serta keintiman dengan pasangan dengan berusaha menghilangkan kesalahfahaman dan bersikap lemah lembut, sehingga tidak mengeruhkan ibadah Ramadhan dengan masalah-masalah baru.
  6. Mempereratkan hubungan silaturrahim sesama sanak keluarga, terutama orang tua, mertua dan keluarga lainnya. Tunjukkan rasa cinta, berbuat baik dan memberikan hadiah kepada mereka. Ini ialah kerana pada bulan Ramadhan, kita sukar untuk saling berkunjungan kerana tidak mahu mengorbankan kesempatan ibadah (yang khusus) di bulan mulia itu.
  7. Eratkan hubungan dengan jiran tetangga terutama jiran yang mempunyai ikatan khusus dan saling mengingatkan antara satu sama lain. Misalnya, buatlah majlis taklim khusus selama bulan Ramadhan, pada sekitar selepas Zuhur atau tarawikh.
  8. Optimakan doa agar Allah swt menyampaikan umur kita ke bulan Ramadhan dan memberikan kekuatan untuk berpuasa. Kuatkan mental dan fizikal anak-anak yang akan menunaikan puasa untuk kali pertama atau yang kali pertama akan menamatkannya hingga akhir bulan. Teruslah bermunajat kepada Allah agar Dia menerima amal ibadat kita.
Versi .pdf Risalah Insan boleh dimuaturun di sini.

Rabu, 4 Julai 2012

Tabiat Manhaj Al-Quran Al-Karim (Bhg 1)


Qadhiyyah (permasalahan) yang asasi
     Al-Qur'an al-Karim diturunkan kepada Rasulullah saw di tahap Makkah dalam masa 13 tahun memperkatakan tentang qadhiyyah yang satu dan tidak pernah berubah-ubah walaupun cara pembentangannya berbeza-beza. Ini kerana, uslub al-Qur'an al-Karim, apabila membentangkan qadhiyyah itu, seolah-olah ia sentiasa dalam keadaan baru seperti kali pertama disentuh.
     Sesungguhnya al-Qur'an al-Karim telah mengubati qadhiyyah yang paling utama, terbesar dan asas di dalam din Islam, iaitu Qadhiyyah 'Aqidah.
     Juga al-Qur'an al-Karim memperkatakan tentang hakikat manusia. Ini kerana manusia arab di zaman itu adalah sama dengan manusia arab di zaman-zaman yang lain dan juga sama dengan manusia 'ajam (bukan arab).
     Hakikat ini tidak berubah, kerana ia merupakan qadhiyyah kewujudan manusia di alam ini, kesudahannya, hubungan manusia dengan alam dan juga hubungannya dengan Pencipta alam ini.
Al-Qur'an al-Karim yang ditanzilkan di tahap Makkah mengemukakan persoalan-persoalan :  Siapakah manusia? Dari mana ia datang? Mengapa ia datang? Ke mana ia akan pergi? Siapakah yang mendatangkannya? Siapakah yang membawa ia pergi? Dan apakah kesudahannya? Juga mengemukakan persoalan-persoalan : Apakah hakikat kewujudan ini? Siapakah Penciptanya?, Siapakah Pentadbirnya? Bagaimana manusia berurusan dengan Pencipta alam ini? Dan bagaimana ia berurusan dengan alam dan manusia lain seluruhnya?
     Demikianlah selama 13 tahun di tahap Makkah, al-Qur'an al-Karim tidak menyentuh persoalan yang berkaitan dengan sistem hidup melainkan setelah qadhiyyah asasiyyah ini telah jelas dan bertapak di dalam jiwa 'usbah (kumpulan) pilihan di kalangan manusia ini (generasi awal Islam). Ini merupakan penentuan Allah swt bahawa din Islam hanya akan tertegak berasaskan hati dan jiwa yang sedemikian sifatnya. Hati dan jiwa itulah yang akan memikul tanggungjawab bagi membangunkan sistem Allah swt.
     Kehendak Allah swt menentukan bahawa qadhiyyah aqidah adalah qadhiyyah yang diketengahkan oleh dakwah Islamiyyah semenjak hari pertama lagi kerasulan Nabi Muhammad saw. Da'wah baginda mengajak manusia bersyahadah dengan kalimah syahadah (tiada ilah melainkan Allah). Serta memperkenalkan Rabb yang sebenar dan mengajak manusia memperhambakan diri hanya kepadaNya semata-mata.
     Orang Arab pada ketika itu telah faham definisi ilah dalam kalimah syahadah. Mereka faham bahawa uluhiyyah itu bererti kuasa tertinggi. Mereka mengerti bahawa mentauhidkan Allah swt dan mengesakanNya dengan kekuasaanNya tertinggi itu bererti mencabut kekuasaan yang selama ini tertanam di dalam sistem mereka yang dipegang oleh para pendita, ketua suku, umara', hakim dan seluruh pembesar. Seterusnya, mengembalikan kekuasaan tersebut kepada Allah swt. Mereka sedar bahawa kalimah syahadah adalah suatu pemberontakan terhadap kekuasaan bumi dan undang-undang manusia. Mereka benar-benar faham akan implikasi daripada kalimah syahadah terhadap peraturan, kepimpinan dan kekuasaan mereka. Kerana itulah mereka menyambut dakwah ini dengan tentangan yang keras dan peperangan demi peperangan.
     Kenapakah qadhiyyah ini yang menjadi titik tolak dakwah Rasulullah saw dan para Rasul sebelumnya? Apakah hikmah Allah swt mengkehendaki bahawa dakwah mesti bermula dengannya?

Jalan nasionalisma
     Rasulullah saw telah diutuskan oleh Allah swt untuk membawa din Islam ketika mana bahagian Semenanjung Arab yang kaya dan subur tidak berada di bawah kekuasaan Arab tetapi di bawah kekuasaan Rumawi yang mana diperintahkan oleh amir-amir Arab sebagai wakil kepada pihak Rumawi. Begitu juga seluruh negeri Yaman tunduk di bawah kekuasaan Farsi yang mana diperintah oleh amir-amir Arab sebagai wakil kepada pihak Farsi. Kawasan yang benar-benar berada di bawah kekuasaan Arab hanyalah Hijaz, Thamah, Haja dan bahagian padang pasir yang berlembah di sana sini sahaja.
     Mungkin ada orang mengatakan bahawa Muhammad saw sebagai orang yang benar lagi amanah serta baginda pernah dilantik menjadi hakim oleh para pembesar Quraisy di dalam peristiwa perletakan semula Hajar al Aswad dan keputusan baginda memuaskan hati semua pihak. Dan, semenjak 15 tahun sebelum perutusan sebagai Rasul, baginda telah berada di puncak Bani Hasyim yang dipandang mulia. Dengan keadaan dan kedudukan itu maka tentulah baginda mampu untuk meniupkan semangat nasionalisma Arab bagi menyatukan qabilah-qabilah Arab yang telah di pecahkan dengan persengketaan dan permusuhan, untuk merebut kembali tanah-tanah mereka yang telah dirampas oleh penjajah Rumawi dan Farsi. Sekaligus baginda boleh mengibarkan bendera Arab dan meniupkan fahaman Arabisma serta membangunkan persatuan nasional Arab di seluruh Semenanjung Tanah Arab ketika itu.
     Mungkin juga ada orang mengatakan sekiranya Rasulullah saw mengajak dengan seruan tersebut nescaya akan disahuti oleh seluruh bangsa Arab. Oleh itu sudah tentu baginda tidak akan menanggung kesusahan selama 13 tahun.
     Mungkin juga ada orang mengatakan, setelah bangsa Arab menyahut seruan baginda dalam bentuk itu, setelah mereka melantik baginda serta menyerahkan pimpinan dan kekuasaan kepada baginda dan setelah terkumpul sepenuh kepimpinan dan kekuasaan di tangan baginda, maka wajar baginda mempergunakan kesempatan itu bagi menerapkan aqidah tauhid dengan tujuan untuk memperhambakan manusia kepada kekuasaan Allah swt, selepas baginda memperhambakan mereka itu kepada kesultanan baginda sendiri (kekuasaan manusia).
     Tetapi Allah swt yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana tidak mengarahkan RasulNya mengikut begitu. Hanya Allah swt memerintah Rasulullah saw berterus terang dengan seruan tauhid yang tegas melalui kalimah syahadah. Dan baginda bersabar serta menanggung berbagai kesusahan bersama dengan sejumlah kecil pengikut-pengikut baginda.
     Sesungguhnya Allah swt tidak bermaksud membiarkan RasulNya serta para Mu'minin menderita dengan kesusahan, tetapi Allah swt Maha Mengetahui bahawa jalannya bukan dengan cara membebaskan bumi ini daripada kekuasaan taghut Arab, sedangkan taghut itu adalah sama sahaja. Bumi ini kepunyaan Allah swt, maka mestilah bersih untuk Allah swt semata-mata. Ia tidak akan bersih melainkan setelah terjulangnya panji-panji kalimah syahadah di atasnya. Manusia seluruhnya hamba Allah swt, tetapi mereka tidak akan menjadi hambaNya sebenar melainkan setelah terjulangnya kalimah syahadah dengan pengertian : tiada     hukum     melainkan     bagi Allah swt, tiada undang-undang lain melainkan dari Allah swt dan tiada kekuasaan seseorang terhadap seseorang yang lain kekuasaan seluruhnya adalah tertentu bagi Allah swt. Ini kerana rupa bangsa yang telah ditentukan oleh Allah swt untuk manusia adalah rupa bangsa aqidah di mana-mana sahaja, meliputi orang Arab, Rumawi, Farsi dan bangsa-bangsa lain. Semuanya berada di bawah panji-panji Allah swt.

Jalan ekonomi
     Seterusnya dilihat pula bahawa Rasulullah saw diutuskan membawa din Islam ketika masyarakat Arab berada di dalam keadaan yang buruk dari segi pengagihan kekayaan. Hanya terkumpul di kalangan mereka yang memiliki harta benda, menguasai perdagangan, bermuamalah dengan riba' yang berlipat ganda, manakala orang ramai tidak memiliki apa-apa kecuali penderitaan dan kelaparan. Mereka yang kaya itu mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang tinggi sedangkan masyarakat tidak memiliki harta benda dan kemuliaan.
     Mungkin juga ada orang mengatakan, bahawa Nabi Muhammad saw boleh menjulang panji-panji keadilan sosial, meniupkan semangat penentangan terhadap golongan bangsawan, melancarkan seruan ke arah memperbaiki keadaan tersebut dan mengembalikan segala harta benda yang terdapat pada jutawan-jutawan tersebut kepada orang-orang fakir dan papa kedana.
     Mungkin juga ada orang yang mengatakan, sekiranya ketika itu Rasulullah saw menyeru dengan seruan tersebut nescaya barisan yang terbanyak akan menyokong seruan baginda.
     Mungkin juga ada orang mengatakan setelah Nabi Muhammad saw mendapat sambutan ramai dan mereka melantik baginda sebagai pemimpin dan mengalahkan golongan minoriti, maka barulah baginda mempergunakan kedudukan dan kekuasaan baginda bagi menanamkan aqidah tauhid kepada Allah swt.
     Allah swt Maha Mengetahui bahawa itu bukan jalannya. Allah swt mengetahui bahawa keadilan sosial pasti lahir daripada konsep aqidah yang syumul di mana segala perkara dirujukkan kepada Allah swt dengan penuh keredhaan terhadap apa sahaja pengagihan yang telah diputuskan oleh Allah swt. Orang yang diambil dan orang yang mengambil telah memahami bahawa mereka sebenarnya telah melaksanakan satu sistem yang ditentukan oleh Allah swt. Mereka sentiasa mengharapkan kebaikan dunia dan akhirat di dalam ketaatan mereka itu. Maka mereka akan terhindar dari sifat-sifat tamak dan dengki. Urusan mereka tidaklah berjalan dengan pedang, tangkapan dan ugutan. Hati mereka juga tidak akan rosak dan jiwa tidak akan tertekan sepertimana yang telah berlaku di dalam masyarakat jahiliyyah yang tidak menerima kalimah syahadah .

Jalan akhlaq
     Di saat kerasulan Nabi Muhammad saw, didapati tingkatan akhlaq dan susila manusia di Semenanjung Tanah Arab berada di tahap yang paling rendah meskipun terdapat hal-hal yang dianggap mulia dari warisan Badawi atau golongan Hunafa' yang masih wujud di dalam masyarakat ketika itu. Kezaliman bermaharajalela. Arak dan judi adalah tradisi yang berleluasa dan menjadi kebanggaan mereka. Begitu juga pelacuran yang beranika bentuk adalah lambang masyarakat tersebut.
     Mungkin juga ada orang mengatakan bahawa Nabi Muhammad saw boleh mengistisyarkan dakwah baginda sebagai satu seruan ke arah reformasi yang merangkumi gerakan pemulihan susila (akhlaq), pembersihan masyarakat dan individu.
     Mungkin juga ada orang mengatakan bahawa Nabi Muhammad saw setelah bertemu dengan orang-orang berjiwa baik yang merasakan jijik dengan kekotoran masyarakat itu, maka tentulah mereka mudah dipengaruhi untuk menyahut seruan pemulihan dan pembersihan.
     Mungkin juga ada orang yang mengatakan jika Rasulullah saw berbuat demikian maka pasti seruannya akan diterima semenjak hari pertama lagi oleh sebilangan besar orarig-orang yang baik susila dan berjiwa luhurnya. Mereka itu akan lebih hampir untuk menerima aqidah Islam dan tidak perlu baginda meniupkan seruan kalimah syahadah, yang telah mencetuskan tentangan hebat sejak permulaannya.
     Allah swt Maha Mengetahui bahawa yang demikian itu bukanlah jalannya. Allah swt Maha Mengetahui bahawa akhlaq tidak dapat dibangunkan melainkan di atas asas aqidah yang betul. Aqidahlah yang menentukan neraca dan nilai. Tanpa aqidah, seluruh nilai akan sentiasa terumbang-ambing. Susila yang dibina di atas asas yang lain akan terumbang ambing.
Jalan tauhid
     Telah terbukti di dalam sirah bahawa apabila tauhid telah wujud, maka manusia pun memperhambakan diri kepada Allah swt semata-mata. Apabila manusia telah bebas dari kekuasaan manusia dan hawa nafsu, di waktu yang sama apabila kalimah syahadah telah bertakhta di jiwa mereka, maka Allah swt memperlihatkan kehendakNya di mana Semenanjung Tanah Arab bersih daripda kekuasaan Rumawi dan Farsi.
     Bukanlah tujuan dakwah Islam untuk mengekalkan kekuasaan Arab, tetapi untuk menegakkan kekuasaan Allah swt di muka bumi. Sesungguhnya bumi pada waktu itu telah dibebaskan daripada kekuasaan taghut Rumawi, taghut Farsi dan taghut Arab seluruhnya. Maka tertegaklah sistem Islam yang adil. Di kala itu jiwa, akhlaq, hati dan ruh telah suci sehingga tidak lagi memerlukan arahan yang banyak untuk meninggalkan ma'siat, bahkan tidak juga memerlukan qisas, hudud dan ta'zir yang telah disyariatkan oleh Allah swt, melainkan amat sedikit yang telah dikenakan hukuman itu.
     Ini kerana ar-riqabah (pengawasan) telah wujud dengan teguh di dalam jiwa mereka. Keinginan mereka hanyalah kepada keredhaan Allah swt. Sifat malu kepada Allah swt dan takutkan azab Allah swt telah bertapak teguh di dalam jiwa mereka. Oleh kerana itu seluruh kehidupan mereka berada di puncak kemuliaan.
     Hal ini tercapai kerana mereka yang telah menegakkan din Islam dalam bentuk daulah itu, telah terlebih dahulu menegakkan din Islam di dalam jiwa dan kehidupan mereka dalam bentuk aqidah, ibadah, syakhsiyyah dan tingkahlaku. Mereka telah dijanjikan dengan satu janji sebagai ganjaran kerana menegakkan din Allah swt. Janji itu bukanlah janji kekuasaan dan kemenangan di dunia, tetapi janji yang tiada bandingannya iaitu al-Jannah (syurga).
     Apabila mereka sabar menempuh segala ujian, jiwa mereka bersih daripada segala kepentingan diri, mereka bekerja bukan mengharapkan balasan duniawi, jiwa mereka bersih daripada pendewaan bangsa, kaum, watan, keluarga dan suku, maka terbuktilah bahawa mereka adalah orang-orang yang beramanah terhadap aqidah Islam. Mereka meletakkan di dalam jiwa mereka bahawa Allah swt sahaja yang berkuasa.
     Mereka juga adalah orang-orang yang beramanah terhadap kekuasaan yang berada di tangan mereka. Mereka hanya menggunakan kekuasaan itu hanya untuk Allah swt semata-mata dan berkhidmat untuk dinNya. Ini kerana mereka sedar bahawa kekuasaan datang daripada Allah swt.
     Sumber :  Asy-Shahid Sayyid Qutb, Maa’lim Fi At-Tariq.
     Salinan versi .pdf Risalah Insan boleh dimuaturun dari sini.

Selasa, 3 Julai 2012

Isnin, 2 Julai 2012