Jumaat, 20 Julai 2012

Malam 2 Ramadhan : Ramadhan Bulan Berkat


     Salah satu sifat Allah swt adalah Ia memiliki irodah (kehendak), sebagaimana firmanNya, "Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan Dia)." (Al Qoshosh [28] : 68). 
     Allah memilih sesuatu yang dikehendakiNya.  Begitu pula halnya dengan bulan-bulan dalam setahun, Allah telah memilih Ramadhan sebagai bulan yang istimewa, yang namanya disebutkan dalam Al Quran. Firman Allah, "Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Oleh demikian sesiapa yang melihat anak bulan maka hendaklah ia berpuasa, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka hendaklah ia menggantikannya sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Baqarah [2] : 185).  
     Begitu juga halnya dengan bulan Ramadhan, Allah swt tidak akan mengatakan Ramadhan sebagai bulan istimewa jika tidak ada sesuatu di sebaliknya. Baginda Rasulullah saw, ketika berada di penghujung bulan Sya'ban, selalu mengatakan kepada sahabatnya,"Telah datang padamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, maka sambutlah kedatangannya. Telah datang bulan siyam (bulan puasa) membawa segala keberkatan, maka alangkah mulianya tamu yang datang itu." (Riwayat Ath-Thabrani).
     Dalam sabdanya yang lain, "Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Pada bulan itu, dibukakan segala pintu syurga, dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa yang tidak diberikan kebajikan malam itu, bererti telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan." (Riwayat An-Nasai dan Al-Baihaqi).


Rujukan : Risalah Khas sempena sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1433H, terbitan HALUAN Negeri Pahang 2012.
Versi .pdf boleh dimuat turun dari capaian ini.

Malam 1 Ramadhan : Marhaban Ya Ramadhan


     Marhaban barasal dari kata rahb yang bererti luas atau lapang. Marhaban menggambarkan suasana penerimaan tetamu yang disambut dan diterima dengan lapang dada, dan penuh kegembiraan. Marhaban ya Ramadhan (selamat datang Ramadhan), mengandungi erti bahawa kita menyambut Ramadhan dengan lapang dada, penuh kegembiraan, dan tidak dengan keluhan. 
     Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (Baqarah  2 : 183).
     Rasulullah sendiri sentiasa menyambut setiap kedatangan Ramadhan dengan penuh kegembiraan. Berita gembira itu disampaikan pula kepada para sahabatnya seraya bersabda,  "Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardhukan ke atas kamu ibadah puasa. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu surga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh Syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan" (Hadith Riwayat Ahmad). 
     Marhaban Ramadhan, kita ucapkan untuk bulan suci itu, kerana kita mengharapkan agar jiwa raga kita diasah dan diasuh dalam melanjutkan perjalanan kita untuk bertemu Allah SWT. Perjalanan menuju Allah SWT itu dinukilkan oleh para ulama salaf sebagai perjalanan yang banyak ujian dan tentangan. Terdapatnya gunung yang harus didaki, iaitu hawa nafsu. 
     Pada gunung tersebut terdapat lereng yang curam, belukar yang dahsyat, bahkan diibaratkan di dalamnya terdapat banyak perompak yang mengancam, serta iblis yang merayu, agar perjalanan tidak dilanjutkan. Bertambah tinggi gunung didaki, bertambah hebat ancaman dan rayuan, semakin curam dan ganas pula perjalanan. 
     Tetapi, bila tekad tetap membaja, maka  akan nampaklah sinar cahaya yang benderang, dan saat itu akan nampak dengan jelas keindahan perjalanan, tempat-tempat yang indah untuk berteduh, serta telaga-telaga jernih untuk melepaskan dahaga. Dan apabila perjalanan dilanjutkan akan ditemukan kenderaan Ar-Rahman untuk mengantar hamba yang bermusafir bertemu dengan kekasihnya. 
     Untuk sampai kepada tujuan tersebut, sudah tentulah memerlukan bekalan yang mencukupi. Bekalan tersebut adalah benih-benih kebajikan yang harus kita tabur di dalam jiwa kita. Tekad yang keras dan membaja untuk memerangi nafsu, agar kita mampu menghidupkan malam Ramadhan dengan solat dan tadarrus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama.


Rujukan : Risalah Khas sempena sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1433H, terbitan HALUAN Negeri Pahang 2012.

Versi .pdf boleh dimuat turun dari capaian ini.

Rabu, 18 Julai 2012

Khamis, 5 Julai 2012

8 Cara Menyambut Ramadhan


Beberapa kegiatan yang dapat dipersiapkan seseorang Muslim dalam menyambut bulan Ramadhan :
  1. Anjurkan anggota keluarga untuk berpuasa sebanyak-banyaknya di dalam bulan Sya’ban. Bagi yang tidak mampu, cukup dengan puasa Isnin dan Khamis setiap minggu, atau jika belum mampu juga cukup puasa ayyamul-bidh.
  2. Tingkatkan kekerapan tilawah al-Quran di bulan Sya’ban, misalnya dengan mendengarnya di radio atau membacanya sebagai wirid harian.
  3. Ajak pasangan membaca buku fekah ringkas atau membahasnya dalam pertemuan keluarga. Buku yang baik sebagai rujukan ialah seperti Fiqhus Sunnah karya Sayyid Sabiq atau Fiqhus Siyam karya Dr Yusuf al-Qaradhawi.
  4. Susun kembali suasana rumah, teruatam pada minggu terakhir bulan Sya’ban. Misalnya dengan menyusun letak dan membersihkan perabut rumah atau meletakkan kaligrafi al-Quran di dinding yang terlihat. Selain itu, elok juga meletakkan hiasan-hiasan di ruangan-ruangan tertentu, terutama di ruangan anak-anak. Semua itu ialah agar setiap anggota keluarga memberi perhatian dengan kedatangan bulan Ramadhan.
  5. Tunjukkan kecintaan dan kasih sayang serta keintiman dengan pasangan dengan berusaha menghilangkan kesalahfahaman dan bersikap lemah lembut, sehingga tidak mengeruhkan ibadah Ramadhan dengan masalah-masalah baru.
  6. Mempereratkan hubungan silaturrahim sesama sanak keluarga, terutama orang tua, mertua dan keluarga lainnya. Tunjukkan rasa cinta, berbuat baik dan memberikan hadiah kepada mereka. Ini ialah kerana pada bulan Ramadhan, kita sukar untuk saling berkunjungan kerana tidak mahu mengorbankan kesempatan ibadah (yang khusus) di bulan mulia itu.
  7. Eratkan hubungan dengan jiran tetangga terutama jiran yang mempunyai ikatan khusus dan saling mengingatkan antara satu sama lain. Misalnya, buatlah majlis taklim khusus selama bulan Ramadhan, pada sekitar selepas Zuhur atau tarawikh.
  8. Optimakan doa agar Allah swt menyampaikan umur kita ke bulan Ramadhan dan memberikan kekuatan untuk berpuasa. Kuatkan mental dan fizikal anak-anak yang akan menunaikan puasa untuk kali pertama atau yang kali pertama akan menamatkannya hingga akhir bulan. Teruslah bermunajat kepada Allah agar Dia menerima amal ibadat kita.
Versi .pdf Risalah Insan boleh dimuaturun di sini.

Rabu, 4 Julai 2012

Tabiat Manhaj Al-Quran Al-Karim (Bhg 1)


Qadhiyyah (permasalahan) yang asasi
     Al-Qur'an al-Karim diturunkan kepada Rasulullah saw di tahap Makkah dalam masa 13 tahun memperkatakan tentang qadhiyyah yang satu dan tidak pernah berubah-ubah walaupun cara pembentangannya berbeza-beza. Ini kerana, uslub al-Qur'an al-Karim, apabila membentangkan qadhiyyah itu, seolah-olah ia sentiasa dalam keadaan baru seperti kali pertama disentuh.
     Sesungguhnya al-Qur'an al-Karim telah mengubati qadhiyyah yang paling utama, terbesar dan asas di dalam din Islam, iaitu Qadhiyyah 'Aqidah.
     Juga al-Qur'an al-Karim memperkatakan tentang hakikat manusia. Ini kerana manusia arab di zaman itu adalah sama dengan manusia arab di zaman-zaman yang lain dan juga sama dengan manusia 'ajam (bukan arab).
     Hakikat ini tidak berubah, kerana ia merupakan qadhiyyah kewujudan manusia di alam ini, kesudahannya, hubungan manusia dengan alam dan juga hubungannya dengan Pencipta alam ini.
Al-Qur'an al-Karim yang ditanzilkan di tahap Makkah mengemukakan persoalan-persoalan :  Siapakah manusia? Dari mana ia datang? Mengapa ia datang? Ke mana ia akan pergi? Siapakah yang mendatangkannya? Siapakah yang membawa ia pergi? Dan apakah kesudahannya? Juga mengemukakan persoalan-persoalan : Apakah hakikat kewujudan ini? Siapakah Penciptanya?, Siapakah Pentadbirnya? Bagaimana manusia berurusan dengan Pencipta alam ini? Dan bagaimana ia berurusan dengan alam dan manusia lain seluruhnya?
     Demikianlah selama 13 tahun di tahap Makkah, al-Qur'an al-Karim tidak menyentuh persoalan yang berkaitan dengan sistem hidup melainkan setelah qadhiyyah asasiyyah ini telah jelas dan bertapak di dalam jiwa 'usbah (kumpulan) pilihan di kalangan manusia ini (generasi awal Islam). Ini merupakan penentuan Allah swt bahawa din Islam hanya akan tertegak berasaskan hati dan jiwa yang sedemikian sifatnya. Hati dan jiwa itulah yang akan memikul tanggungjawab bagi membangunkan sistem Allah swt.
     Kehendak Allah swt menentukan bahawa qadhiyyah aqidah adalah qadhiyyah yang diketengahkan oleh dakwah Islamiyyah semenjak hari pertama lagi kerasulan Nabi Muhammad saw. Da'wah baginda mengajak manusia bersyahadah dengan kalimah syahadah (tiada ilah melainkan Allah). Serta memperkenalkan Rabb yang sebenar dan mengajak manusia memperhambakan diri hanya kepadaNya semata-mata.
     Orang Arab pada ketika itu telah faham definisi ilah dalam kalimah syahadah. Mereka faham bahawa uluhiyyah itu bererti kuasa tertinggi. Mereka mengerti bahawa mentauhidkan Allah swt dan mengesakanNya dengan kekuasaanNya tertinggi itu bererti mencabut kekuasaan yang selama ini tertanam di dalam sistem mereka yang dipegang oleh para pendita, ketua suku, umara', hakim dan seluruh pembesar. Seterusnya, mengembalikan kekuasaan tersebut kepada Allah swt. Mereka sedar bahawa kalimah syahadah adalah suatu pemberontakan terhadap kekuasaan bumi dan undang-undang manusia. Mereka benar-benar faham akan implikasi daripada kalimah syahadah terhadap peraturan, kepimpinan dan kekuasaan mereka. Kerana itulah mereka menyambut dakwah ini dengan tentangan yang keras dan peperangan demi peperangan.
     Kenapakah qadhiyyah ini yang menjadi titik tolak dakwah Rasulullah saw dan para Rasul sebelumnya? Apakah hikmah Allah swt mengkehendaki bahawa dakwah mesti bermula dengannya?

Jalan nasionalisma
     Rasulullah saw telah diutuskan oleh Allah swt untuk membawa din Islam ketika mana bahagian Semenanjung Arab yang kaya dan subur tidak berada di bawah kekuasaan Arab tetapi di bawah kekuasaan Rumawi yang mana diperintahkan oleh amir-amir Arab sebagai wakil kepada pihak Rumawi. Begitu juga seluruh negeri Yaman tunduk di bawah kekuasaan Farsi yang mana diperintah oleh amir-amir Arab sebagai wakil kepada pihak Farsi. Kawasan yang benar-benar berada di bawah kekuasaan Arab hanyalah Hijaz, Thamah, Haja dan bahagian padang pasir yang berlembah di sana sini sahaja.
     Mungkin ada orang mengatakan bahawa Muhammad saw sebagai orang yang benar lagi amanah serta baginda pernah dilantik menjadi hakim oleh para pembesar Quraisy di dalam peristiwa perletakan semula Hajar al Aswad dan keputusan baginda memuaskan hati semua pihak. Dan, semenjak 15 tahun sebelum perutusan sebagai Rasul, baginda telah berada di puncak Bani Hasyim yang dipandang mulia. Dengan keadaan dan kedudukan itu maka tentulah baginda mampu untuk meniupkan semangat nasionalisma Arab bagi menyatukan qabilah-qabilah Arab yang telah di pecahkan dengan persengketaan dan permusuhan, untuk merebut kembali tanah-tanah mereka yang telah dirampas oleh penjajah Rumawi dan Farsi. Sekaligus baginda boleh mengibarkan bendera Arab dan meniupkan fahaman Arabisma serta membangunkan persatuan nasional Arab di seluruh Semenanjung Tanah Arab ketika itu.
     Mungkin juga ada orang mengatakan sekiranya Rasulullah saw mengajak dengan seruan tersebut nescaya akan disahuti oleh seluruh bangsa Arab. Oleh itu sudah tentu baginda tidak akan menanggung kesusahan selama 13 tahun.
     Mungkin juga ada orang mengatakan, setelah bangsa Arab menyahut seruan baginda dalam bentuk itu, setelah mereka melantik baginda serta menyerahkan pimpinan dan kekuasaan kepada baginda dan setelah terkumpul sepenuh kepimpinan dan kekuasaan di tangan baginda, maka wajar baginda mempergunakan kesempatan itu bagi menerapkan aqidah tauhid dengan tujuan untuk memperhambakan manusia kepada kekuasaan Allah swt, selepas baginda memperhambakan mereka itu kepada kesultanan baginda sendiri (kekuasaan manusia).
     Tetapi Allah swt yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana tidak mengarahkan RasulNya mengikut begitu. Hanya Allah swt memerintah Rasulullah saw berterus terang dengan seruan tauhid yang tegas melalui kalimah syahadah. Dan baginda bersabar serta menanggung berbagai kesusahan bersama dengan sejumlah kecil pengikut-pengikut baginda.
     Sesungguhnya Allah swt tidak bermaksud membiarkan RasulNya serta para Mu'minin menderita dengan kesusahan, tetapi Allah swt Maha Mengetahui bahawa jalannya bukan dengan cara membebaskan bumi ini daripada kekuasaan taghut Arab, sedangkan taghut itu adalah sama sahaja. Bumi ini kepunyaan Allah swt, maka mestilah bersih untuk Allah swt semata-mata. Ia tidak akan bersih melainkan setelah terjulangnya panji-panji kalimah syahadah di atasnya. Manusia seluruhnya hamba Allah swt, tetapi mereka tidak akan menjadi hambaNya sebenar melainkan setelah terjulangnya kalimah syahadah dengan pengertian : tiada     hukum     melainkan     bagi Allah swt, tiada undang-undang lain melainkan dari Allah swt dan tiada kekuasaan seseorang terhadap seseorang yang lain kekuasaan seluruhnya adalah tertentu bagi Allah swt. Ini kerana rupa bangsa yang telah ditentukan oleh Allah swt untuk manusia adalah rupa bangsa aqidah di mana-mana sahaja, meliputi orang Arab, Rumawi, Farsi dan bangsa-bangsa lain. Semuanya berada di bawah panji-panji Allah swt.

Jalan ekonomi
     Seterusnya dilihat pula bahawa Rasulullah saw diutuskan membawa din Islam ketika masyarakat Arab berada di dalam keadaan yang buruk dari segi pengagihan kekayaan. Hanya terkumpul di kalangan mereka yang memiliki harta benda, menguasai perdagangan, bermuamalah dengan riba' yang berlipat ganda, manakala orang ramai tidak memiliki apa-apa kecuali penderitaan dan kelaparan. Mereka yang kaya itu mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang tinggi sedangkan masyarakat tidak memiliki harta benda dan kemuliaan.
     Mungkin juga ada orang mengatakan, bahawa Nabi Muhammad saw boleh menjulang panji-panji keadilan sosial, meniupkan semangat penentangan terhadap golongan bangsawan, melancarkan seruan ke arah memperbaiki keadaan tersebut dan mengembalikan segala harta benda yang terdapat pada jutawan-jutawan tersebut kepada orang-orang fakir dan papa kedana.
     Mungkin juga ada orang yang mengatakan, sekiranya ketika itu Rasulullah saw menyeru dengan seruan tersebut nescaya barisan yang terbanyak akan menyokong seruan baginda.
     Mungkin juga ada orang mengatakan setelah Nabi Muhammad saw mendapat sambutan ramai dan mereka melantik baginda sebagai pemimpin dan mengalahkan golongan minoriti, maka barulah baginda mempergunakan kedudukan dan kekuasaan baginda bagi menanamkan aqidah tauhid kepada Allah swt.
     Allah swt Maha Mengetahui bahawa itu bukan jalannya. Allah swt mengetahui bahawa keadilan sosial pasti lahir daripada konsep aqidah yang syumul di mana segala perkara dirujukkan kepada Allah swt dengan penuh keredhaan terhadap apa sahaja pengagihan yang telah diputuskan oleh Allah swt. Orang yang diambil dan orang yang mengambil telah memahami bahawa mereka sebenarnya telah melaksanakan satu sistem yang ditentukan oleh Allah swt. Mereka sentiasa mengharapkan kebaikan dunia dan akhirat di dalam ketaatan mereka itu. Maka mereka akan terhindar dari sifat-sifat tamak dan dengki. Urusan mereka tidaklah berjalan dengan pedang, tangkapan dan ugutan. Hati mereka juga tidak akan rosak dan jiwa tidak akan tertekan sepertimana yang telah berlaku di dalam masyarakat jahiliyyah yang tidak menerima kalimah syahadah .

Jalan akhlaq
     Di saat kerasulan Nabi Muhammad saw, didapati tingkatan akhlaq dan susila manusia di Semenanjung Tanah Arab berada di tahap yang paling rendah meskipun terdapat hal-hal yang dianggap mulia dari warisan Badawi atau golongan Hunafa' yang masih wujud di dalam masyarakat ketika itu. Kezaliman bermaharajalela. Arak dan judi adalah tradisi yang berleluasa dan menjadi kebanggaan mereka. Begitu juga pelacuran yang beranika bentuk adalah lambang masyarakat tersebut.
     Mungkin juga ada orang mengatakan bahawa Nabi Muhammad saw boleh mengistisyarkan dakwah baginda sebagai satu seruan ke arah reformasi yang merangkumi gerakan pemulihan susila (akhlaq), pembersihan masyarakat dan individu.
     Mungkin juga ada orang mengatakan bahawa Nabi Muhammad saw setelah bertemu dengan orang-orang berjiwa baik yang merasakan jijik dengan kekotoran masyarakat itu, maka tentulah mereka mudah dipengaruhi untuk menyahut seruan pemulihan dan pembersihan.
     Mungkin juga ada orang yang mengatakan jika Rasulullah saw berbuat demikian maka pasti seruannya akan diterima semenjak hari pertama lagi oleh sebilangan besar orarig-orang yang baik susila dan berjiwa luhurnya. Mereka itu akan lebih hampir untuk menerima aqidah Islam dan tidak perlu baginda meniupkan seruan kalimah syahadah, yang telah mencetuskan tentangan hebat sejak permulaannya.
     Allah swt Maha Mengetahui bahawa yang demikian itu bukanlah jalannya. Allah swt Maha Mengetahui bahawa akhlaq tidak dapat dibangunkan melainkan di atas asas aqidah yang betul. Aqidahlah yang menentukan neraca dan nilai. Tanpa aqidah, seluruh nilai akan sentiasa terumbang-ambing. Susila yang dibina di atas asas yang lain akan terumbang ambing.
Jalan tauhid
     Telah terbukti di dalam sirah bahawa apabila tauhid telah wujud, maka manusia pun memperhambakan diri kepada Allah swt semata-mata. Apabila manusia telah bebas dari kekuasaan manusia dan hawa nafsu, di waktu yang sama apabila kalimah syahadah telah bertakhta di jiwa mereka, maka Allah swt memperlihatkan kehendakNya di mana Semenanjung Tanah Arab bersih daripda kekuasaan Rumawi dan Farsi.
     Bukanlah tujuan dakwah Islam untuk mengekalkan kekuasaan Arab, tetapi untuk menegakkan kekuasaan Allah swt di muka bumi. Sesungguhnya bumi pada waktu itu telah dibebaskan daripada kekuasaan taghut Rumawi, taghut Farsi dan taghut Arab seluruhnya. Maka tertegaklah sistem Islam yang adil. Di kala itu jiwa, akhlaq, hati dan ruh telah suci sehingga tidak lagi memerlukan arahan yang banyak untuk meninggalkan ma'siat, bahkan tidak juga memerlukan qisas, hudud dan ta'zir yang telah disyariatkan oleh Allah swt, melainkan amat sedikit yang telah dikenakan hukuman itu.
     Ini kerana ar-riqabah (pengawasan) telah wujud dengan teguh di dalam jiwa mereka. Keinginan mereka hanyalah kepada keredhaan Allah swt. Sifat malu kepada Allah swt dan takutkan azab Allah swt telah bertapak teguh di dalam jiwa mereka. Oleh kerana itu seluruh kehidupan mereka berada di puncak kemuliaan.
     Hal ini tercapai kerana mereka yang telah menegakkan din Islam dalam bentuk daulah itu, telah terlebih dahulu menegakkan din Islam di dalam jiwa dan kehidupan mereka dalam bentuk aqidah, ibadah, syakhsiyyah dan tingkahlaku. Mereka telah dijanjikan dengan satu janji sebagai ganjaran kerana menegakkan din Allah swt. Janji itu bukanlah janji kekuasaan dan kemenangan di dunia, tetapi janji yang tiada bandingannya iaitu al-Jannah (syurga).
     Apabila mereka sabar menempuh segala ujian, jiwa mereka bersih daripada segala kepentingan diri, mereka bekerja bukan mengharapkan balasan duniawi, jiwa mereka bersih daripada pendewaan bangsa, kaum, watan, keluarga dan suku, maka terbuktilah bahawa mereka adalah orang-orang yang beramanah terhadap aqidah Islam. Mereka meletakkan di dalam jiwa mereka bahawa Allah swt sahaja yang berkuasa.
     Mereka juga adalah orang-orang yang beramanah terhadap kekuasaan yang berada di tangan mereka. Mereka hanya menggunakan kekuasaan itu hanya untuk Allah swt semata-mata dan berkhidmat untuk dinNya. Ini kerana mereka sedar bahawa kekuasaan datang daripada Allah swt.
     Sumber :  Asy-Shahid Sayyid Qutb, Maa’lim Fi At-Tariq.
     Salinan versi .pdf Risalah Insan boleh dimuaturun dari sini.