Jumaat, 19 Disember 2008

Pendidikan Islam

Realiti masyarakat kini ialah kita semua berada di ambang kehancuran. Ramai yang tidak mengetahui atau memahami mengenai tujuan kehidupan mereka yang sebenar. Di kalangan mereka yang mengetahui tujuan kehidupan pula, ramai juga yang tidak mengaplikasikannya dengan sebenar.

Tujuan penciptaan manusia yang sebenar ialah untuk beribadat kepada Allah, sebagaimana firmanNya,
“Dan tidak Aku (Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku (Allah).” (Adz-Dzariyaat 51 :56).
Pengertian “ibadah” mempunyai ruang lingkup yang luas dan ada tahap kesempurnaanya. Ia tidaklah terbatas semata-mata kepada ibadah-ibadah fardhu yang biasa sahaja, tetapi lebih daripada itu. Seperti yang disimpulkan oleh Dr Yusuf al-Qardhawi, ibadah itu merangkumi dua teras atau tugas iaitu :
  1. Menyeru kepada kemakrufan dan mencegah dari kemungkaran; dan
  2. Bekerja di jalan Allah swt.
Kita percaya bahawa satu-satunya jalan yang dapat menyampaikan kita kepada tahap ibadah dan tujuan penciptaan kita yang sebenar ialah melalui pendidikan Islam.

Walaupun sukar, pendidikan Islam mampu menghasilkan kualiti

Jalan pendidikan Islam adalah sukar. Namun begitu, ia mampu melahirkan kualiti yang jarang dapat dihasilkan melalui sistem-sistem biasa.

Hasil yang berkualiti lazimnya melalui proses yang sukar dan sulit. Sirah Rasulullah saw sendiri membuktikan kesukaran dan kesulitan itu. Dalam tempoh lima tahun yang pertama dakwah baginda di Mekah, baginda hanya dapat menghasilkan 40 orang lelaki dan lima orang wanita yang beriman.

Namun 45 orang inilah yang menjadi teras kepada perubahan masyarakat. Mereka bukan sahaja penerima dakwah tetapi juga penerima perubahan, menjadi agen perubahan yang merubah masyarakat daripada masyarakat jahiliah kepada masyarakat Islam.

Jalan pendidikan Islam itu memang berliku-liku dan sukar, tetapi ia adalah satu-satunya jalan yang berjaya membentuk individu muslim mukmin dan ummah Islamiyah yang sebenar.

Walaupun panjang, pendidikan terpelihara keaslian natijahnya

Agenda pendidikan Islam adalah agenda yang panjang, mungkin tidak dapat dipenuhi oleh satu generasi, bahkan memerlukan beberapa generasi. Renungkan peristiwa ketika Rasulullah saw menghayunkan kayunya untuk memecahkan batu-batu di parit Khandaq. Ketika itu, terpercik percikan api, dan baginda membayangkan bahawa umatnya kelak akan menakluki Rumawi (Byzantium). Padahal Rumawi hanya dapat dikalahkan di zaman Kerajaan Uthmaniyah, yakni setelah berlalunya beberapa generasi.

Begitulah jalan pendidikan Islam yang panjang. Akan tetapi, betapapun ia panjang, namun keaslian dan semangatnya tetap terpelihara. Islam yang sampai ke Rumawi adalah sama dengan Islam yang ditegakkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat baginda ra.

Keperibadian yang asli adalah keperibadian yang telah teruji lahir melalui jalan pendidikan Islam dan dakwah yang panjang.

Lambat tetapi hasilnya terjamin

Pendidikan Islam adalah umpama larian jarak jauh dan bukan larian jarak dekat. Larian jarak jauh memerlukan kesabaran untuk mencapai matlamatnya. Ia memang kelihatan lambat, tetapi memerlukan tenaga dan keazaman yang sangat kuat. Oleh itu, larian pelari perlu dirancang agar mencapai garis penamat dengan jayanya.

Sifat lambat hanya dibenarkan dalam proses dan tahapan pendidikan Islam. Ia tidak dibenarkan dalam sikap dan tingkah laku mukmin sejati. Ini kerana sikap dan tingkah laku mukmin sejati yang lambat merupakan suatu bentuk kelalaian atau kecuaian, yang akan melambatkan perjalanan pendidikan Islam.

Kesimpulan

Salah satu jaminan dari proses pendidikan Islam, dengan taufiq daripada Allah, ialah lahirnya peribadi yang lengkap dan seimbang dan bebas dari sifat-sifat kemunafikan. Peribadi yang lengkap dan seimbang itu meliputi keteguhan akidah, keluruhan akhlak, kebersihan hati, keelokan diri, kebaikan ibadah, berjiwa kebersamaan dan berdisiplin. Peribadi yang sempurna ini juga akan tahan diuji dan terus konsisten dengan Islam dalam pelbagai keadaan dan suasana.

Rabu, 17 Disember 2008

Perhitungan amal manusia

“Telah semakin dekat dengan manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat).”
Al-Anbiya’ : 1

Isnin, 15 Disember 2008

Petunjuk Allah

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak ada yang mampu menyesatkannya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada yang mampu memberikan petunjuk kepadanya.

Sabtu, 13 Disember 2008

Bertakwalah dan berucaplah yang benar

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan ucapkan perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki amalan-amalan kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian. Dan barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia mendapat kemenangan besar.
Al-Ahzab’:70-71.

Khamis, 11 Disember 2008

Sepuluh ciri muslim

  1. Aqidah yang lurus dan sejahtera
  2. Ibadah yang benar
  3. Akhlak yang mulia dan mantap
  4. Mampu berdikari
  5. Pemikiran yang terdidik
  6. Jasmani yang kuat
  7. Berjihad melawan hawa nafsu
  8. Menjaga dan menghormati waktu
  9. Teratur dalam segala urusan
  10. Bermanfaat terhadap orang lain

Selasa, 9 Disember 2008

Muhasabah diri

Kata Umar ibn Khattab ra :
“Muhasabahlah diri kamu sebelum kamu dihisab, tuntutlah diri kamu untuk jujur dalam beramal sebelum kamu dituntut, timbangkanlah amal perbuatan kamu sebelum kamu ditimbang kerana itu lebih mudah bagi kamu daripada di akhirat kelak, dan bersedialah untuk menghadapi Hari Kiamat.”