Rabu, 25 Jun 2014

Rehlah Syabab HALUAN Gombak (Jun 2014)

Antara syabab yang hadir
SG. KEMENSAH 21-22 Jun 2014 - Ukhuwwah merupakan satu nikmat dari Allah. Tambahan pula, jika tali ukhuwwah yang dijalin itu telah menjangkau sebahagian besar dari garis masa kehidupan kita. Inilah agaknya yang dirasakan oleh sebahagian besar peserta yang menyertai Rehlah Syabab HALUAN Gombak pada 21 dan 22 Jun yang lalu bertempat di Air Terjun Mini Jeram, Sungai Kemensah, Gombak.

Sebahagian mereka mungkin telah terpisah setelah habis sekolah rendah dan sebahagian yang lain setelah menamatkan sekolah menengah. Sebahagian juga mungkin dipisahkan dek kerana jarak umur yang panjang antara sesama mereka. Manakala sebahagian yang lain mungkin baru kali pertama bertemu. Namun, semua ini tidak menghalang untuk mereka kembali bersama-sama mempertaut kembali ukhuwwah yang pernah terbina serta bersama-sama memperjelas kembali tanggungjawab diri sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini.

Program bermula dengan sesi taklimat ringkas setelah peserta selesai mendirikan khemah dan solat Asar berjemaah. Kemudian, peserta tidak melepaskan peluang untuk mandi dan menikmati sejuk air Sungai Kemensah. Persiapan minum petang turut berlangsung diketuai oleh saudara Abdul Azim, seorang lulusan dalam bidang kulinari. Roti sardin goreng bersalut telur menjadi pilihan beliau. Sedap lagi lazat, itulah antara komen para peserta.

Riang ria bersama air terjun
Menjelang Maghrib, setelah solat Maghrib berjemaah, peserta duduk bersama-sama dalam pembacaan ma’thurat. Alunan zikir mereka memecah kesunyian malam diiring sama dengan zikir unggas di rimba. Selesai ber-wazifah, mereka mengambil kesempatan untuk saling kenal-mengenal. Majoriti perkenalan berkisar tentang kehidupan mereka setelah menamatkan sekolah menengah. Masing-masing kini menuntut dalam bidang yang pelbagai.

Azan Isha’ kemudian berkumandang. Selesai solat berjemaah, mereka bergotong-royong menyediakan makanan malam. Oleh kerana tempoh yang lama untuk menunggu nasi masak didalam mess-tin, dua orang ditugaskan untuk membeli nasi putih dari kedai makan berdekatan. Ada juga yang memotong bawang dan cili berlapikkan belakang pinggan. Ada juga yang memecahkan ais dengan menghentak plastiknya ke tanah untuk menyediakan air. Ada juga yang ber-parang memotong kayu api untuk terus menyalakan unggun api. Dan ada juga yang menggoreng telur dan sayur untuk dijadikan lauk. Suasana yang terbina sangat mengenyangkan jiwa, terasa seakan seperti satu keluarga, walau berlainan ibubapa.

Penyampaian yang mengesankan dari
saudara Wan Mohd Basyir
Selesai makan malam, diterangi lampu minyak tanah dan lampu suluh handphone, aktiviti diteruskan dengan penyampaian daripada saudara Wan Mohd Basyir. Saudara Basyir memperingatkan peserta akan realiti Islam dagang kali kedua serta tuntutan keatas setiap muslim untuk berusaha memperteguh keimanan mereka. Kerna kata beliau, hakikat iman itu ialah ia takkan mampu didapati tanpa melalui usaha dan proses berterusan. Selesai penyampaian beliau, para peserta mengambil giliran untuk berjaga malam.

Keesokan paginya, peserta memulakannya dengan solat subuh berjemaah dan bacaan ma’thurat pagi. Selesai ber-wazifah, persiapan sarapan pagi dimulakan diketuai sekali lagi oleh saudara Abdul Azim. Menu kali ini ialah roti berintikan scramble-egg dan sardine. Air teh panas yang dimasak menggunakan mess-tin turut disediakan. Pagi itu, mereka sekali lagi mengambil peluang untuk mandi sungai.

Selesai mandi sungai, khemah pun diturunkan sebagai persiapan untuk berkemas pulang. Rehlah kemudian diakhiri oleh sedikit ucapan penutup dari wakil syabab HALUAN Gombak, saudara Ar Rasyid Jaafar.

Ber-selfie bersama ikan-ikan
Bergotong-royong menyediakan makanan
Para peserta tidak melepaskan sesi monopod selfie