Memaparkan catatan dengan label Tazkiyatun Nafs. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkiyatun Nafs. Papar semua catatan

Khamis, 16 Mei 2013

Fenomena Lemah Iman

        Sesungguhnya fenomena lemah iman adalah suatu fenomena yang sudah merebak dan tersebar luas di kalangan kaum muslimin.
        Terdapat banyak orang yang mengadu akan kekerasan hatinya yang diucapkan berkali-kali melalui ungkapan-ungkapan seperti,
        “Aku merasakan adanya kekerasan di dalam hatiku, aku tidak pernah mendapat keni’matan dalam beribadah, aku merasakan bahawa iman di dalam hati ini seakan-akan berada di dalam jurang, aku tidak terpengaruh (terkesan) oleh bacaan Al-Quran dan mengapa mudah sekali aku terjerumus ke dalam kederhakaan?"
        Sesungguhnya penyakit lemah iman itu mempunyai tanda-tandanya, antaranya ialah:

1. Melakukan kederhakaan dan amalan berdosa
        Di kalangan orang-orang yang derhaka ada yang melakukan satu amalan kederhakaan secara terus-menerus dan ada pula yang melakukan berbagai-bagai amalan kederhakaan. Jika seseorang itu sering melakukan kederhakaan, maka kederhakaan itu boleh menjadi kebiasaan yang tidak dapat ditinggalkan. Seterusnya menjadikan hatinya keras daripada merasai kesan buruk kederhakaan itu.
        Akhirnya, pelakunya berani menderhaka secara terang-terangan, sehingga dia termasuk ke dalam golongan yang disebutkan di dalam hadith ini (yang bermaksud):
        “Setiap umatku mendapat perlindungan afiat kecuali orang-orang yang terang-terangan. Dan, sesungguhnya termasuk perbuatan terang-terangan jika seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, kemudian dia berada pada pagi hari, padahal Allah telah menutupinya, namun dia berkata, ‘Hai fulan, malam tadi aku telah berbuat begini dan begini’, padahal Rab-nya telah menutupinya, namun kemudian dia menyelak sendiri apa yang telah ditutupi Allah pada dirinya.” [Riwayat Bukhari]

2. Merasakan adanya kekerasan dan kekakuan dalam hati
        Kerana adanya perasaan keras dan kaku, menjadikan seseorang merasakan seakan-akan hatinya telah berubah laksana batu keras yang hampir mustahil diusik dan dipengaruhi oleh sesuatu apa pun. Allah swt berfirman,
“Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.” [Al-Baqarah: 74].
        Orang yang hatinya keras tidak mampu dipengaruhi dengan nasihat tentang kematian. Tidak pula terpengaruh tatkala dia melihat orang mati atau mayat yang membujur. Bahkan boleh jadi dia sendiri yang mengangkat mayat itu dan meletakkannya di liang kubur, tetapi langkah-langkah kakinya di antara sekian banyak kuburan tidak ubah seperti langkah-langkah kakinya di antara longgokan-longgokan batu.

3. Tidak tekun dan hilang khusyu’ dalam beribadah
        Antara tanda lemah iman ialah tidak khusyu’ dan hilang tumpuan semasa solah, membaca Al-Qur’an, berdoa dan lain-lain. Tidak menyemak dan memikirkan makna-makna doa, sehingga ia membacanya hanya sekadar rutin yang membosankan.
        Boleh jadi, oleh kerana doa yang dibacanya hanya terbatas kepada doa-doa tertentu sahaja, maka ia tidak merasa perlu untuk memikirkan makna-maknanya. Padahal Allah swt tidak menerima doa yang dibaca ala kadar sahaja, sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith (yang bermaksud), “Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai dan main-main.” [At-Termizi].

4. Malas melakukan amal taat dan meremehkan ibadah
        Orang yang lemah iman, kalau pun melakukan ibadah, maka ia lakukan sekadar aktiviti kosong tanpa roh. Allah swt telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya, “Dan, apabila mereka berdiri untuk solah, mereka berdiri dengan malas.” [An-Nisa’: 142]
        Termasuk juga dalam kelompok meremehkan ibadah ialah sikap tidak memperdulikan tanda-tanda kebaikan dan waktu-waktu yang tepat untuk beribadah. Pada masa yang sama tidak ghairah untuk mendapatkan pahala daripada Allah swt. Contohnya, menunda-nunda perlaksanaan haji padahal ia mampu, mundur daripada medan peperangan dan hanya duduk di rumah dan menangguh-nangguh ikut solah berjamaah.
        Orang yang lemah iman sebegini, perasaannya sama sekali tidak tersentuh jika ia tertidur hingga meninggalkan solah wajib. Begitu juga jika ia ketinggalan melakukan solah sunat rawatib atau wirid. Ia juga tidak berhasrat untuk menqadha atau menggantikan apa yang ketinggalan itu. Bahkan boleh jadi ia sengaja meninggalkan amalan sunat atau fardhu kifayah.
        Gambaran ini bertentangan dengan orang-orang yang disifati Allah swt di dalam firman-Nya, “Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan, mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.” [An-Anbiya’: 90].
        Bermacam-macam lagi tanda-tanda kemalasan seperti malas dalam melaksanakan ibadah-ibadah rawatib, solah malam, solah dhuha, solah-solah nafilah dan melengah-lengahkan usaha datang ke masjid. Hatinya sama sekali tidak terketuk untuk melakukan semua itu.

5. Dada terasa sesak dan terbelenggu
        Orang yang lemah iman akan merasakan seolah-olah wujud beban yang berat menghimpitnya. Ia cepat menjadi resah dan gelisah kerana suatu masalah yang remeh dan jauh daripada merasai lapang dalam hatinya. Rasulullah saw telah mensifati iman sebagai berikut, “Iman itu ialah kesabaran dan kelapangan hati.” [As-Silsilah As-Sahihah].

6. Hati tidak tersentuh dengan ayat-ayat Al-Quran
        Hati yang lemah tidak akan tersentuh dengan janji, ancaman, perintah, pengisahan kiamat dan lain-lain di dalam Al-Quran. Orang yang lemah imannya akan menjadi bosan dan malas untuk mendengar kandungan isi Al-Quran. Ia tidak berusaha untuk membuka dirinya agar berhubung secara langsung dengan Al-Quran. Sekiranya ia membuka mushaf, isi kandungannya tidak diperhatikan dan tidak diberikan perhatian.

7. Lalai daripada mengingati Allah swt sewaktu berzikir dan berdo’a
        Berzikir menjadi satu pekerjaan yang berat baginya. Jika ia mengangkat tangannya untuk berdo’a, maka secepat itu pula ia menelangkupkan tangannya dan menamatkan doanya. Allah swt telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya, “Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali.” [An-Nisa’: 142].

8. Tidak merasa tergugah dengan tanggungjawab untuk beramal demi kepentingan Islam
        Orang yang lemah iman tidak mahu berusaha untuk menyebarkan Islam dan menolongnya. Keadaan ini sangat jauh berbeza dengan para sahabat Nabi saw.
        Seorang pemuda, Ibnu Amr Radhiallahu‘anhu, terus beranjak melakukan dakwah kepada kaumnya sebaik sahaja beliau memasuki Islam. Namun majoriti orang-orang Islam di zaman ini hanya suka duduk senang dan tidak memiliki rasa tangunggjawab untuk melakukan dakwah meski pun sudah sekian lama menjadi muslim.

Rujukan:
Muhammad Sholih Al-Munajjid, Obat Lemahnya Iman.

Slaid .ppt boleh dimuaturun di sini.

Selasa, 22 Julai 2008

Perihal dosa

Marilah kita renungkan ungkapan-ungkapan ulamak-ulamak tersohor yang berikut :

Abdullah bin Mubarak ra berkata,
“Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu, adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa.”
Dan Thabit bin Qurrah ra pula berkata,
“Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Jesturu itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.”
Bacaan lain :
Kaedah-kaedah mengubati penyakit hati
Konflik di antara dua tarikan
Suluhan hati yang bersih

Isnin, 21 Julai 2008

Kaedah-kaedah mengubati penyakit hati

Penyakit-penyakit hati timbul akibat daripada kelalaian kita untuk mempertahankan keimanan, termasuklah lalai dalam mengingati Allah atau melakukan dosa-dosa. Dengan terhinggapnya penyakit-penyakit hati di dalam diri kita, kita akan merasa malas dan berat untuk mentaati Allah dan hilang keyakinan kepada janji-janji Allah.

Jika kita mempunyai penyakit-penyakit hati ini, kita mestilah mengubatinya segera agar ia tidak merebak. Pada peringkat awal, penyakit ini akan melemahkan jiwa seperti mana racun melemahkan tubuh. Tetapi jika tidak dikawal atau dibendung, penyakit-penyakit hati boleh merosakkan jiwa, malah mematikannya, na'uzu billah.

Lantas itu, ubatilah penyakit-penyakit hati dengan melakukan amal-amal soleh seperti membaca al-Quran, mengingati mati dan sebagainya. Kaedah-kaedah untuk mengubati penyakit ini amatlah banyak, sebanyak pula jalan-jalan untuk mengakibatkan hati terjangkit dengannya.

Ibnu al-Qayyim al-Jauzi menyimpulkan tentang kaedah-kaedah melawan penyakit hati ini seperti berikut :
  • Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah;
  • Jika penyakit itu ialah melakukan amalan berdosa, ubatnya ialah meninggalkan amalan-amalan berdosa itu dan seterusnya bertaubat kepada Allah;
  • Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diberikan Allah, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab tersebut;
  • Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara yang disukai Allah, ubatnya ialah mengambil berat suka redha dan cinta terhadapnya; dan
  • Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah, maka ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah swt dalam semua hal kehidupan.
Bacaan lain :
Konflik di antara dua tarikan
Suluhan hati yang bersih

Ahad, 20 Julai 2008

Konflik antara dua tarikan

Dalam suasana masakini yang sangat mencabar, setiap orang mukmin menghadapi cabaran yang sangat getir pada setiap masa. Cabaran-cabaram itu datang dari luar dan dari dalam diri mukmin itu sendiri. Masing-masing saling tarik-menarik agar mukmin itu jatuh ke dalam dakapannya.

Seorang ulamak, Muhammad Ahmad al-Rashid berkata bahawa orang-orang yang beriman tidak dapat melarikan diri dari dua tarikan yang berikut :
  1. Tarikan iman, niat, pertimbangan dan kesedaran terhadap tanggungjawab; yang tarikannya akan mendorong perlakuan amal-amal soleh dan keberadaan dalam keazaman yang baik; dan
  2. Tarikan syaitan yang memperdayakan; yang godaannya boleh mengakibatkan seseorang mukmin itu mencintai dunia hingga menyebabkan dia lalai, malas berusaha, panjang angan-angan dan malas menuntut ilmu.
Konflik di antara dua tarikan ini wujud secara semulajadi dalam diri manusia secara berterusan selagi mana manusia itu bernyawa.

Oleh yang demikian, mahu atau tidak, seseorang mukmin mesti berada dalam keadaan sedar dan bermujahadah pada setiap masa. Jika ia lalai barang sejenakpun, pasti akan ada bisikan-bisikan syaitan yang akan memujuk rayu dirinya untuk lalai daripada mengingati Allah.

Bacaan lain :
Suluhan hati yang bersih

Isnin, 14 Julai 2008

Suluhan hati yang bersih

Penjagaan hati agar sentiasa bersih dan suci merupakan ajaran Rasulullah saw. Baginda pernah berpesan melalui hadithnya yang bermakud,
"Ketahuilah bahawa sesungguhnya dalam jasad itu terdapat segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahawa ia adalah hati (alqalbu)." Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka dengan itu, adalah menjadi kewajipan kita untuk menjaga kesejahteraan hati. Ini adalah kerana pancaran hati ini akan memacar kepada tindak-tanduk dan amalan kita seluruhnya, sebagaimana yang boleh kita fahami daripada sabda Rasulullah saw iaitu "... baiklah seluruh tubuhnya" seperti yang ternyata dalam hadith tadi.

Kesan hati yang bersih ini, tidak hanya kita akan terasa tenang dan nyaman, malah ianya juga akan membangkitkan rasa seronok dan bahagianya kita dalam melakukan amal-amal Islami. Maka dengan itu, pengerjaan ibadah-ibadah kita tidak akan terasa berat atau seperti dipaksa-paksa. Dan tidak perlu juga kita bersusah-payah untuk mengikhlaskan hati, kerana hati yang bersih akan memusatkan amalan-amalan kita agar hanya tertumpu untuk mendapatkan keredhaan Allah swt semata-mata dan bukannya pujian manusia.

Bukan setakat itu sahaja. Sinar yang terpancar dari hati yang bersih akan menyuluhi apa yang berada di sekitar hati itu. Ini termasuklah hati-hati yang berada di dalam tubuh-tubuh individu-individu yang berdekatan. Pastinya hati-hati yang lain tersebut akan turut sama berasakan ketenangan dan kejernihan hati yang bersih tersebut. Sebab itulah, jika kita berada berdekatan dengan orang-orang yang soleh, kita akan merasai kenyamanan hati-hati mereka. Tidak perlu untuk mereka mengucapkan bait-bait kalimah keluar dari lidah-lidah mereka. Cukuplah keberadaan mereka, nescaya kita dapat berkongsi atau mempelajari himah-hikmah tertentu daripada mereka.

Itulah keajaiban orang-orang yang beriman.