Memaparkan catatan dengan label Tarbiyah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tarbiyah. Papar semua catatan

Khamis, 13 Jun 2013

Cara Islam menanam keperibadian rabbani dalam jiwa dan kehidupan manusia

        Islam sentiasa berusaha untuk menanamkan keperibadian Rabbani ke dalam jiwa dan kehidupan setiap Muslim melalui berbagai cara. Cara-cara tersebut ialah:

1. Melalui Jalan Ibadah
        Melalui ibadah-ibadah wajib dan ibadah-ibadah sunat yang digalakkannya, seperti melalui pengulangan solah setiap hari. Ibadah merupakan roh bagi kehidupan seperti roh yang ada pada setiap jasad. Ibadah menemukan setiap orang mukmin dengan Allah swt.
        Dalam perlaksanaan solah, apabila manusia tenggelam dalam permasalahan kehidupannya, maka bangunlah mu'azzin melaungkan kalimah Allah Yang Maha Besar, mempersaksikan bahawa hanyalah Allah swt Ilah yang ditauhidkan dan Muhammad adalah Rasulullah, mengajak kepada menunaikan solah waktu dan kepada kemenangan yang hakiki, maka terangkatlah muslim dari kesibukan dunianya untuk mengadap Rabnya untuk beberapa waktu. Ini semua akan mendorong dirinya untuk menjadi penyeru ke arah kebaikan untuk umatnya. Serta, mengangkat dirinya daripada alam kebendaan ke alam kerohanian, daripada keegoan kepada mementingkan orang lain.
        Berpuasa sebulan yang diulangi pada setiap tahun juga menanamkan roh rabbani ke dalam jiwa muslim. Ketika berpuasa, semua Muslimin mengekang diri daripada diperhambakan oleh hawa nafsu samada berupa makan minum, hubungan jenis dan pelbagai aktlviti kehidupan yang lain.
Setiap hari bermula dari terbitnya fajar hingga jatuhnya matahari, merupakan tarbiah bagi kemahuan dan kehendak nafsu, melatih muslim untuk menuju takwa dan mencapai kesempuman ibadah kepada Allah swt.
         Allah swt berfirman dalam sebuah Hadith Qudsi (yang bermaksud), "Puasa itu kepunyaanKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya; hamba yang meninggalkan makanan keranaKu, hamba yang meninggalkan minuman keranaKu, hamba yang meninggalkan Isteri keranaKu dan hamba yang meninggalkan kelazatan keranaKu."
        Berzakat iaitu dengan selalu mengeluarkan harta dapat menghapuskan sifat bakhil, membersihkan harta dan jiwa muslim, di samping dapat memupuk rasa syukur kepada Allah swt di atas segala nikmat pemberlanNya.
        Firman Allah swt, "Ambillah zakat dari sebahagian dari harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Taubah : 103).
        Dinamakan zakat kerana ia mengandungi makna pembersihan, pertumbuhan dan keberkatan. Manakala perkataan dharibah (cukai) pula mengandungi makna pemaksaan, kekerasan dan hutang. Dengan demikian tuntutan Islam menunaikan zakat adalah lebih mulia. Ia lahir secara suka rela dan redha-meredhai.
        Haji pula memisahkan seseorang Muslim daripada tanah airnya, meninggalkan keluarga dan sanak-saudaranya, berhijrah kepada Allah swt, mengorbankan diri dan hartanya, menanggung beban perpisahan dan beberapa kesusahan kerana menunaikan kehendak Allah swt, hingga sampai ke Tanah Suci, iaitu tanah di mana telah didirikan rumah ibadah yang pertama di muka bumi ini. Di sana terdapat sejarah penghijrahan Nabi Ibrahim as dan pengorbanan Nabi Ismail as. Juga kesan peninggalan Nabi Muhammad saw dan kesan dakwah kepada kebenaran selepas kewafatan baginda.
        Di sana semua orang Islam dari berbagai bangsa dan keturunan meninggalkan sesuatu yang melambangkan gejala-gejala perbezaan - kedudukan, pangkat, keturunan dan negeri. Mereka memakai pakaian yang seakan-akan kain kafan orang mati, yang mana pakaian itu lebih tinggi kedudukannya di musim haji. Semua muslim menghalakan segala hati, lisan, perasaan dan harapan kepada Allah swt. Muslim berkata (bermaksud): "Aku perkenankan seruanMu wahai Rabku, aku perkenankan seruanMu, yang tiada sekutu bagiMu. Sesunguhnya segala pujian dan nikmat adalah kepunyaanMu dan juga segala pemerintahan, dan tiada sekutu bagiMu"
        Di samping fardu asasi yang tertentu, yang mana merupakan batasan minima yang mencorakkan hubungan manusia dengan Allah swt, Islam membuka pintu untuk membuat amalan yang sunat (nawafil), untuk mendekatkan dirl kepada Allah swt dan melakukan perkara yang disukaiNya. Antaranya - solat-solat sunat di samping solat-solat wajib lima waktu, puasa-puasa sunat di samping puasa wajib Ramadan, sedekah-sedekah di samping zakat yang wajib, haji dan umrah sunat di samping haji dan umrah yang wajib. Di dalam perkara tersebut terjadilah perlumbaan di kalangan mereka yang ingin berlumba-lumba dalam membuat perkara kebaikan dan dahulu-mendahului di kalangan mereka yang bertaqwa kepada Allah swt.
        Di dalam sebuah Firman Allah swt, yang diriwayatkan di dalam hadith Qudsi (bermaksud), "Tiada yang lebih sempurna taqarrub hambaKu kepadaKu kecuali dengan menunaikan fardu-fardu yang Aku wajibkan ke atasnya, hambaKu yang sering mendekatkan diri kepadaKu dengan melakukan Nawafil (ibadat-ibadat sunat) sehingga Aku senangi dan Aku cintai. Apabila Aku telah menyenanginya, Aku melindungi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, matanya yang denganya ia melihat, tangannya yang dengannya
ia mempergunakannya. Jika ia meminta perlindungan, Aku memberi perlindungan kepadanya dan jika ia meminta sesuatu, Aku memberikan kepadanya." (Riwayat Bukhari)
        Bukanlah ibadat itu (fardu atau sunat), hanya menghubungkan seseorang makhluk dengan Khaliknya di saat-saat peribadatannya sahaja, kemudian selepas itu tidak ada lagi hubungan dengan Rab, lalu ia kembali semula di muka bumi mengikut hawa nafsunya. Sama sekali tidak. Peranan ibadat adalah menanamkan keperibadian Islam di dalam hati nurani orang-orang yang menunaikannya, menanam jiwa takwa kepada Allah swt yang Maha Tinggi kedudukanNya, memberi kepadanya bekalan ingatan kepada Allah swt apabila ia lupa, menguatkan azamnya apabila ia lemah dan menerangi jalan kehidupannya apabila lampu-lampu yang menerangi kehidupan di sekelilingnya padam.
        Islam tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadl manusia Rabbani di dalam masjid, di sana ia rukuk, sujud dan bermunajat serta berdoa, tetapi apabila ia keluar dari masjid ia berubah corak dari Insan Rabbani kepada Insan Haiwani atau Jnsan Syaitani.
       Islam tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadi manusia Rabbani di Bulan Ramadan, tetapi apabila hilangnya bulan Ramadan, maka hilanglah bersamanya sifat ibadah dan ketaatannya kepada Allah swt. Seolah-olah ia menyembah Bulan Ramadan bukan Rab Bulan Ramadan. Salaf as-Soleh (golongan soleh yang terdahulu) di kalangan Umat Islam berkata, "Jadilah orang-orang yang Rabbani, tetapi janganlah menjadi orang-orang yang hanya beribadat di Bulan Ramadan sahaja."
        Islam juga tidak suka seseorang itu hanya menjadi orang Rabbani ketika mana ia berada di sisi Bait al-Haram, Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masya'ir Muqaddasah (tempat syi'ar yang suci). Apabila selesai sahaja ibadah hajinya, umrahnya dan ziarahnya dan apabila ia berkira bicara untuk pulang, maka ia pun melupakan udara dan makna Rabbani. Tenggelamlah ia dalam perut kehidupan kebendaan sebagai mana tenggelamnya orang-orang yang lalai.
        Islam tidak suka Muslim seperti ini, malah Islam menghendaki agar seseorang Muslim itu sentiasa mempunyai hubungan dengan Rabnya - di masjid, di jalan, di tempat kerja, di bulan Ramadan serta di semua tempat dan keadaan. Rasulullah saw berpesan dalam sabdanya, "Bertakwaiah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada."(Riwayat Tirmizi).
        Firman Allah swt, "Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka ke mana kamu menghadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya) lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah : ayat 115).
        Sabda Rasulullah saw lagi, "Sebaik-baik amalan yang disukai Allah ialah amalan yang sentiasa (istiqamah) dilakukan walau pun sedikit." (Riwayat Bukhari)

2. Melalui Jalan Akhlak.
        Jalan seterusnya untuk menanam keperibadian Rabbani ke dalam hati nurani Muslim dan di dalam kehidupannya ialah jalan akhlak as-salimah (akhlak yang sejahtera). Akhlak lahir pada setiap ketika dalam kehidupan muslim sama ada yang berkaitan dengan individu mahu pun masyarakat. Islam mengambll kesempatan mendidik keperibadian manusia dalam pelbagai perkara harian melalui jalan akhlak.
     Apabila dia duduk di hadapan hidangan makanan, maka dia mendahului dengan nama Allah, Bismillahirrahmanirrahim - yang mana Allah swt lah yang menyediakan sebab-sebab sehingga sampai rezeki yang halal di hadapannya.
        Apabila dia merasa kenyang dan beredar dari hidangan, maka disudahi pula dengan pujian kepada Allah swt, Alhamdu Lillah. Apabila dia minum, dia berkata, "Segala pujian bagi Allah swt yang menjadikan air seenak sungai Furat dengan rahmatNya dan tidak menjadikan air masln dan pahit dengan sebab-sebab dosa kami."
        Apabila dia memakai pakaian, dia berkata, "Segala pujian bagi Allah swt yang telah memberikan pakaian kepadaku. Wahai Rabku, bahawasanya aku memohon kepadaMu dari kebajikan pakaian ini dan dari sesuatu pakaian ini dibuatkan untuknya. Dan aku bertindung dengan Engkau dari kejahatan pakaian ini dan dari kejahatan sesuatu yang pakaian ini dibuatkan untuknya."
       Apabila dia menunggang binatang atau menaiki sebarang kenderaan, dia berkata, "Maha suci yang menggerakkan kenderaan ini untuk kita, padahal sebenarnya kita tidak memlliki kekuatan untuk menundukkannya dan bahawasanya kita pasti kembali kepada Rab kita."
        Apabila dia bermusafir, dia berkata, "Wahai Rab, Engkaulah teman di dalam permusafiran ini dan Engkaulah yang menjadi pengganti penjaga keluargaku. Wahai Rab temanilah kami di dalam permusafiran kami dan lindungilah keluarga kami."
        Dan apabila dia pulang dari permusafiran, dia berkata, "Kami adalah orang yang kembali, orang yang bertaubat, orang yang beribadat, orang yang memuji Allah, Rab kami."
        Apabila dia meletakkan rusuknya untuk tidur, dia berkata, "Dengan nama Engkau, ya Rabku, aku letakkan rusukku dengan nama Engkau dan dengan nama Engkau juga aku mengangkatnya."
        Dan apabila bangun dari tidur untuk kembali ke bahtera kehidupan, dia berkata, "Segala pujian bagi Allah yang telah menghidupkan aku sesudah mematikan aku dan kepadaNya tempat kembali."
        Malah ketika menikmati nafsu seks, seseorang Muslim itu masih mengingati unsur Rabbani, yang boleh mengurangkan kebuasan dan membawa ia ke ufuk ketinggian, semasa menyetubuhi isterinya dan dia berkata, "Dengan nama Allah, wahai Rab, jauhilah kami dari godaan syaitan dan jauhkanlah pula daripada godaannya itu apa sahaja yang Allah anugerahi kepada kami." Begitulah dia berdoa apabila memanfaatkan sesuatu nikmat pemberian Allah swt.
        Begitulah kehidupan seseorang Muslim, ia tidak pernah lupa kepada Rabnya, tidak pernah lalai terhadap hubungannya dengan Rabnya, malah sentiasa merasa dekat denganNya, jinak denganNya. Inilah keperibadian rabbani yang sentiasa ada bersamanya di mana sahaja ia berada.

3. Melalui jalan pendidikan dan pembentukan
      Sementara jalan ketiga untuk memantapkan keperibadian rabbani ialah jalan pendidikan. Ia merupakan jalan yang paling penting dan berkesan.
       Pendidikan hendaklah bermula di rumah, kemudian di sekolah iaitu dengan menanam keperibadian rabbani tersebut ke dalam fikiran anak-anak yang sedang membesar dengan menggunakan cara yang balk dan berhikmah.
        Seorang bapa merasakan dia bertanggungjawab menyediakan makanan dan keperluan fizikal anak-anaknya, supaya anak-anaknya tidak terdedah kepada penyakit dan maut. Sesungguhnya seorang bapa lebih bertanggungjawab untuk mernberikan makanan roh kepada mereka. Ia tidak patut melalaikan tanggungjawab sebenar, kerosakan yang lebih dahsyat daripada kelaparan atau maut. Kelalaian ini mendedahkan orang-orang yang di bawah tanggungjawabnya kepada kematian hati atau rohani. Jika berlaku hal ini, maka ia akan membawa kepada kerosakan yang berkekalan.
        Oleh sebab itu, pendidikan sangat penting. Sabda Rasulullah saw, “Setiap orang adalah pengembala dan setiap daripada kamu bertanggungjawab terhadap gembalaannya." (Riwayat Muslim dan Bukhari).
        Firman Allah swt, "Hai orang-orang yang beriman, periharaiah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintah." (At-Tahrim: ayat 6).
        Oleh yang demikian, ibubapa diwajibkan agar mendidik anak-anak mereka untuk taat kepada Allah swt dan menunaikan apa yang difardukanNya apabila anak-anak telah sampai kepada umur yang boleh menerima pengajaran, ialtu tujuh tahun. Ketegasan pula perlu digunakan ketika mereka berumur sepuluh tahun. Sabda Rasulullah saw, "Suruhlah (latihlah) anak-anak kamu menunaikan solah ketika berumur tujuh tahun, pukullah mereka ketika berumur sepuluh tahun."
        Suruhan memukul bukanlah bererti menganiaya atau menyeksa kanak-kanak, tetapi sebagai tanda kesungguhan bapa mentarbiah anak lelaki dan perempuan mereka agar mentaati Allah swt. Ibubapa murabbi tentulah ia tidak sanggup membiarkan keingkaran anak-anaknya itu begitu sahaja tanpa dihukum. Seperti yang telah ditegaskan oleh Rasulullah saw, pergaulan ibu dengan anak-anak kecil lebih memberi kesan daripada pergaulan dengan bapa pada kebanyakan keadaan.
        Sementara itu, sekolah juga mempunyai peranan untuk mendidik pelajar-pelajarnya (lelaki dan perempuan) dengan nilai-nilai rabbani. Tidak mencukupi jika sekolah hanya memberi pengetahuan, kemahiran kebendaan dan ilmu kehidupan di dunia sahaja, kemudian meninggalkan mereka teraba-raba jahil berhadapan dengan permasalahan kewujudan yang pelbagai ragam dan kompleks.
        Mereka ditinggalkan dengan soalan-soalan yang tidak dibekali dengan jawapan seperti, “Dari mana kita datang?”, “Siapa yang menjadikan kita?', 'Mengapa kita dijadikan?', TCe mana kita akan pergi selepas ini?', 'Apakah risalah Islam dan siapakah yang membawanya?', 'Apakah balasan bagi yang menunaikan ajaran Islam atau apakah balasan bagi yang mengingkari ajaran Islam?'.
        Hanya keimanan kepada Allah swt sahajalah yang dapat menjawab segala persoalan ini dengan seyakin-yakinnya dan melapangkan hati manusia. Inilah iman hakiki. Iman yang diajar oleh Islam, yang terselamat daripada kesalahan manusia, keraguan, kelemahan hati dan pertentangan fikiran.
        Sekolah yang tidak menanamkan keimanan kepada jiwa pelajar-pelajarnya akan melahirkan generasi yang gelisah dan mempunyai unsur penentangan dalam diri. Generasi ini akan mengharung gelombang kehidupan dengan rasa resah dan gelisah. Tanpa panduan dan petunjuk Islam, maka sudah tentu mereka akan bertambah sesat dan tidak menjumpai jalan pulang sebenar, iaitu jalan yang lurus.
Wallahu A'lam.

Slaid .ppt boleh dimuaturun dari capaian ini.

Sumber : Risalah Ta’rif 3, yang disumberkan kepada tulisan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Al-Khasais al-'Ammah U al-Islam. 

Khamis, 16 Mei 2013

Fenomena Lemah Iman

        Sesungguhnya fenomena lemah iman adalah suatu fenomena yang sudah merebak dan tersebar luas di kalangan kaum muslimin.
        Terdapat banyak orang yang mengadu akan kekerasan hatinya yang diucapkan berkali-kali melalui ungkapan-ungkapan seperti,
        “Aku merasakan adanya kekerasan di dalam hatiku, aku tidak pernah mendapat keni’matan dalam beribadah, aku merasakan bahawa iman di dalam hati ini seakan-akan berada di dalam jurang, aku tidak terpengaruh (terkesan) oleh bacaan Al-Quran dan mengapa mudah sekali aku terjerumus ke dalam kederhakaan?"
        Sesungguhnya penyakit lemah iman itu mempunyai tanda-tandanya, antaranya ialah:

1. Melakukan kederhakaan dan amalan berdosa
        Di kalangan orang-orang yang derhaka ada yang melakukan satu amalan kederhakaan secara terus-menerus dan ada pula yang melakukan berbagai-bagai amalan kederhakaan. Jika seseorang itu sering melakukan kederhakaan, maka kederhakaan itu boleh menjadi kebiasaan yang tidak dapat ditinggalkan. Seterusnya menjadikan hatinya keras daripada merasai kesan buruk kederhakaan itu.
        Akhirnya, pelakunya berani menderhaka secara terang-terangan, sehingga dia termasuk ke dalam golongan yang disebutkan di dalam hadith ini (yang bermaksud):
        “Setiap umatku mendapat perlindungan afiat kecuali orang-orang yang terang-terangan. Dan, sesungguhnya termasuk perbuatan terang-terangan jika seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, kemudian dia berada pada pagi hari, padahal Allah telah menutupinya, namun dia berkata, ‘Hai fulan, malam tadi aku telah berbuat begini dan begini’, padahal Rab-nya telah menutupinya, namun kemudian dia menyelak sendiri apa yang telah ditutupi Allah pada dirinya.” [Riwayat Bukhari]

2. Merasakan adanya kekerasan dan kekakuan dalam hati
        Kerana adanya perasaan keras dan kaku, menjadikan seseorang merasakan seakan-akan hatinya telah berubah laksana batu keras yang hampir mustahil diusik dan dipengaruhi oleh sesuatu apa pun. Allah swt berfirman,
“Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.” [Al-Baqarah: 74].
        Orang yang hatinya keras tidak mampu dipengaruhi dengan nasihat tentang kematian. Tidak pula terpengaruh tatkala dia melihat orang mati atau mayat yang membujur. Bahkan boleh jadi dia sendiri yang mengangkat mayat itu dan meletakkannya di liang kubur, tetapi langkah-langkah kakinya di antara sekian banyak kuburan tidak ubah seperti langkah-langkah kakinya di antara longgokan-longgokan batu.

3. Tidak tekun dan hilang khusyu’ dalam beribadah
        Antara tanda lemah iman ialah tidak khusyu’ dan hilang tumpuan semasa solah, membaca Al-Qur’an, berdoa dan lain-lain. Tidak menyemak dan memikirkan makna-makna doa, sehingga ia membacanya hanya sekadar rutin yang membosankan.
        Boleh jadi, oleh kerana doa yang dibacanya hanya terbatas kepada doa-doa tertentu sahaja, maka ia tidak merasa perlu untuk memikirkan makna-maknanya. Padahal Allah swt tidak menerima doa yang dibaca ala kadar sahaja, sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith (yang bermaksud), “Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai dan main-main.” [At-Termizi].

4. Malas melakukan amal taat dan meremehkan ibadah
        Orang yang lemah iman, kalau pun melakukan ibadah, maka ia lakukan sekadar aktiviti kosong tanpa roh. Allah swt telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya, “Dan, apabila mereka berdiri untuk solah, mereka berdiri dengan malas.” [An-Nisa’: 142]
        Termasuk juga dalam kelompok meremehkan ibadah ialah sikap tidak memperdulikan tanda-tanda kebaikan dan waktu-waktu yang tepat untuk beribadah. Pada masa yang sama tidak ghairah untuk mendapatkan pahala daripada Allah swt. Contohnya, menunda-nunda perlaksanaan haji padahal ia mampu, mundur daripada medan peperangan dan hanya duduk di rumah dan menangguh-nangguh ikut solah berjamaah.
        Orang yang lemah iman sebegini, perasaannya sama sekali tidak tersentuh jika ia tertidur hingga meninggalkan solah wajib. Begitu juga jika ia ketinggalan melakukan solah sunat rawatib atau wirid. Ia juga tidak berhasrat untuk menqadha atau menggantikan apa yang ketinggalan itu. Bahkan boleh jadi ia sengaja meninggalkan amalan sunat atau fardhu kifayah.
        Gambaran ini bertentangan dengan orang-orang yang disifati Allah swt di dalam firman-Nya, “Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan, mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.” [An-Anbiya’: 90].
        Bermacam-macam lagi tanda-tanda kemalasan seperti malas dalam melaksanakan ibadah-ibadah rawatib, solah malam, solah dhuha, solah-solah nafilah dan melengah-lengahkan usaha datang ke masjid. Hatinya sama sekali tidak terketuk untuk melakukan semua itu.

5. Dada terasa sesak dan terbelenggu
        Orang yang lemah iman akan merasakan seolah-olah wujud beban yang berat menghimpitnya. Ia cepat menjadi resah dan gelisah kerana suatu masalah yang remeh dan jauh daripada merasai lapang dalam hatinya. Rasulullah saw telah mensifati iman sebagai berikut, “Iman itu ialah kesabaran dan kelapangan hati.” [As-Silsilah As-Sahihah].

6. Hati tidak tersentuh dengan ayat-ayat Al-Quran
        Hati yang lemah tidak akan tersentuh dengan janji, ancaman, perintah, pengisahan kiamat dan lain-lain di dalam Al-Quran. Orang yang lemah imannya akan menjadi bosan dan malas untuk mendengar kandungan isi Al-Quran. Ia tidak berusaha untuk membuka dirinya agar berhubung secara langsung dengan Al-Quran. Sekiranya ia membuka mushaf, isi kandungannya tidak diperhatikan dan tidak diberikan perhatian.

7. Lalai daripada mengingati Allah swt sewaktu berzikir dan berdo’a
        Berzikir menjadi satu pekerjaan yang berat baginya. Jika ia mengangkat tangannya untuk berdo’a, maka secepat itu pula ia menelangkupkan tangannya dan menamatkan doanya. Allah swt telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya, “Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali.” [An-Nisa’: 142].

8. Tidak merasa tergugah dengan tanggungjawab untuk beramal demi kepentingan Islam
        Orang yang lemah iman tidak mahu berusaha untuk menyebarkan Islam dan menolongnya. Keadaan ini sangat jauh berbeza dengan para sahabat Nabi saw.
        Seorang pemuda, Ibnu Amr Radhiallahu‘anhu, terus beranjak melakukan dakwah kepada kaumnya sebaik sahaja beliau memasuki Islam. Namun majoriti orang-orang Islam di zaman ini hanya suka duduk senang dan tidak memiliki rasa tangunggjawab untuk melakukan dakwah meski pun sudah sekian lama menjadi muslim.

Rujukan:
Muhammad Sholih Al-Munajjid, Obat Lemahnya Iman.

Slaid .ppt boleh dimuaturun di sini.

Jumaat, 19 Disember 2008

Pendidikan Islam

Realiti masyarakat kini ialah kita semua berada di ambang kehancuran. Ramai yang tidak mengetahui atau memahami mengenai tujuan kehidupan mereka yang sebenar. Di kalangan mereka yang mengetahui tujuan kehidupan pula, ramai juga yang tidak mengaplikasikannya dengan sebenar.

Tujuan penciptaan manusia yang sebenar ialah untuk beribadat kepada Allah, sebagaimana firmanNya,
“Dan tidak Aku (Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku (Allah).” (Adz-Dzariyaat 51 :56).
Pengertian “ibadah” mempunyai ruang lingkup yang luas dan ada tahap kesempurnaanya. Ia tidaklah terbatas semata-mata kepada ibadah-ibadah fardhu yang biasa sahaja, tetapi lebih daripada itu. Seperti yang disimpulkan oleh Dr Yusuf al-Qardhawi, ibadah itu merangkumi dua teras atau tugas iaitu :
  1. Menyeru kepada kemakrufan dan mencegah dari kemungkaran; dan
  2. Bekerja di jalan Allah swt.
Kita percaya bahawa satu-satunya jalan yang dapat menyampaikan kita kepada tahap ibadah dan tujuan penciptaan kita yang sebenar ialah melalui pendidikan Islam.

Walaupun sukar, pendidikan Islam mampu menghasilkan kualiti

Jalan pendidikan Islam adalah sukar. Namun begitu, ia mampu melahirkan kualiti yang jarang dapat dihasilkan melalui sistem-sistem biasa.

Hasil yang berkualiti lazimnya melalui proses yang sukar dan sulit. Sirah Rasulullah saw sendiri membuktikan kesukaran dan kesulitan itu. Dalam tempoh lima tahun yang pertama dakwah baginda di Mekah, baginda hanya dapat menghasilkan 40 orang lelaki dan lima orang wanita yang beriman.

Namun 45 orang inilah yang menjadi teras kepada perubahan masyarakat. Mereka bukan sahaja penerima dakwah tetapi juga penerima perubahan, menjadi agen perubahan yang merubah masyarakat daripada masyarakat jahiliah kepada masyarakat Islam.

Jalan pendidikan Islam itu memang berliku-liku dan sukar, tetapi ia adalah satu-satunya jalan yang berjaya membentuk individu muslim mukmin dan ummah Islamiyah yang sebenar.

Walaupun panjang, pendidikan terpelihara keaslian natijahnya

Agenda pendidikan Islam adalah agenda yang panjang, mungkin tidak dapat dipenuhi oleh satu generasi, bahkan memerlukan beberapa generasi. Renungkan peristiwa ketika Rasulullah saw menghayunkan kayunya untuk memecahkan batu-batu di parit Khandaq. Ketika itu, terpercik percikan api, dan baginda membayangkan bahawa umatnya kelak akan menakluki Rumawi (Byzantium). Padahal Rumawi hanya dapat dikalahkan di zaman Kerajaan Uthmaniyah, yakni setelah berlalunya beberapa generasi.

Begitulah jalan pendidikan Islam yang panjang. Akan tetapi, betapapun ia panjang, namun keaslian dan semangatnya tetap terpelihara. Islam yang sampai ke Rumawi adalah sama dengan Islam yang ditegakkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat baginda ra.

Keperibadian yang asli adalah keperibadian yang telah teruji lahir melalui jalan pendidikan Islam dan dakwah yang panjang.

Lambat tetapi hasilnya terjamin

Pendidikan Islam adalah umpama larian jarak jauh dan bukan larian jarak dekat. Larian jarak jauh memerlukan kesabaran untuk mencapai matlamatnya. Ia memang kelihatan lambat, tetapi memerlukan tenaga dan keazaman yang sangat kuat. Oleh itu, larian pelari perlu dirancang agar mencapai garis penamat dengan jayanya.

Sifat lambat hanya dibenarkan dalam proses dan tahapan pendidikan Islam. Ia tidak dibenarkan dalam sikap dan tingkah laku mukmin sejati. Ini kerana sikap dan tingkah laku mukmin sejati yang lambat merupakan suatu bentuk kelalaian atau kecuaian, yang akan melambatkan perjalanan pendidikan Islam.

Kesimpulan

Salah satu jaminan dari proses pendidikan Islam, dengan taufiq daripada Allah, ialah lahirnya peribadi yang lengkap dan seimbang dan bebas dari sifat-sifat kemunafikan. Peribadi yang lengkap dan seimbang itu meliputi keteguhan akidah, keluruhan akhlak, kebersihan hati, keelokan diri, kebaikan ibadah, berjiwa kebersamaan dan berdisiplin. Peribadi yang sempurna ini juga akan tahan diuji dan terus konsisten dengan Islam dalam pelbagai keadaan dan suasana.

Sabtu, 11 Oktober 2008

Inilah Madrasah Tarbiyah Rasulullah

Artikel ini adalah petikan dari laman web www.haluan.org.my. Klik di sini untuk artikel asal.

Rasulullah saw tidak mempunyai manhaj selain Al Quran. Beliau tidak mempunyai fakulti, institut, mahupun sekolah untuk mendidik, selain masjid. Murid-muridnya adalah Abu Bakar, Umar, Utsman, Ali, dan sahabat-sahabat lainnya. Dari madrasah itulah peradaban Islam terbina untuk mengubah dunia dengan manhajnya. Adakah anda melihat sebuah madrasah yang lebih bersih dan lebih aktif dari madrasah itu? Satu kaum yang duduk di atas pasir. Universitinya dihampari pelepah kurma. Pembatasnya adalah iman. Dan kesatuan hati menambah ikatan mereka. Pada awalnya. mereka adalah sedikit, kemudian membentuk kafilah yang disegani. Mereka dihujani dengan cemuh, cerca dan ugutan kemudian berubah menjadi ’role model’ dan ikutan. Mereka menjadi berwibawa dengan agama ini.

Padahal kekuatan (kewibawaan) itu hanyalah milik Allah, Rasul-Nya, dan kaum Mukminin. Akan tetapi orang-orang munafik tidak mengetahuinya.” (Al Munaafiquun, 63:8 )

Dari madrasah itulah lahir orang paling cerdas dan cergas yang pernah lahir ke dunia, yang menjadi guru dunia dalam segala keutamaan dan ilmu pengetahuan. Itulah madrasah yang dicurahi rahmat, dibacakan padanya ayat-ayat Allah, bersinar di dalamnya cahaya Rabbul ‘Alimin, sehingga kelak para alumninya menjadi guru-guru dunia.

Ada pertanyaan yang mendalam tentang generasi yang ditarbiyah secara langsung oleh Rasulullah saw itu: Apa yang mereka mimpikan? Apa yang mereka fikirkan? Apa yang mereka inginkan? Setinggi manakah cita-cita kelompok yang berkumpul secara sembunyi-sembunyi itu dan dipulaukan pula oleh kaum mereka sendiri?

Tidak ada yang mereka inginkan selain mengisi pemikiran manusia dengan akal baru; menegakkan agama baru di muka bumi; mereka membangun peradaban manusia; menghubungkan antara langit dan bumi sambil mengatakan, “Kepada-Mu kami mengabdi dan kepada-Mu pula kami memohon pertolongan;” dan mereka ingin memberi petunjuk kepada manusia, dengan izin Rabb mereka, kepada aturan baru, dan kemanusiaan baru. Mereka ingin menghimpun hati manusia untuk menuju kepada Tuhan manusia. Mereka ingin memasukkan perasaan baru di hati manusia yang pada gilirannya membentuk mereka menjadi umat terbaik yang diorbitkan untuk manusia, sebagaimana yang dikehendaki oleh Rabb manusia. Itu semua dilakukan dengan tarbiyah yang bertumpu pada tiga tonggak, yang dengannya mereka membuktikan pengabdian kepada Allah Rabb sekalian alam. Ketiga tonggak itu adalah:

Pertama: Iman yang mendalam.

Iman yang membersihkan segala tujuan selain tujuan dakwah mereka. Mereka telah mendengar seruan. Lalu mereka berlari menuju Allah lantas menjadikan ‘laa ilaaha illallah’ sebagai syi’ar mereka seraya menganggap kecil semua selain itu. Mereka tidak tertarik dengan peradaban Parsi dan Romawi, tidak pula dengan kemajuan materialistik mereka pada masa itu. Mereka juga tidak disibukkan oleh kemajuan ilmu yang dicapai oleh orang sebelum mereka. Sebab, orang-orang itu menuhankan selain Allah. Dan Parsi, begitupun tinggi pencapaian kemajuan, namun mereka berada dalam kesesatan kerana menyembah syahwat dan hawa nafsu mereka. Dan apa yang ada di bumi beredar dalam orbit kesesatan bila tidak mengambil petunjuk dan cahaya Allah.

Begitulah mereka memandang peradaban yang ada di sekitar mereka. Kerana memang demikianlah madrasah Rasul mengajar mereka. Madrasah itu mengajar dan mendidik mereka bahawa mereka berada dalam kebenaran yang nyata. Sebab, mereka telah membersihkan diri dari athisme, hawa nafsu, dan syahwat mereka, dan mempersembahkan semua itu kepada Allah. Mereka tidak beribadah kepada selain Allah. Tidak tunduk selain kepada Allah. Tidak bersandar selain kepada Allah. Tidak memohon selain kepada Allah. Tidak merasakan kenikmatan selain saat mereka merasa dekat dengan Allah. Mereka tidak merasakan penderitaan kecuali dengan dosa yang mereka lakukan akibat jauh dari Allah. Hal-hal itulah yang mempersatukan hati mereka, setelah mereka mengetahui bahawa bumi ini akan Allah wariskan kepada orang yang Dia kehendaki dan bahawa kesudahan yang baik adalah milik orang-orang yang bertakwa. Mereka hanya berpegang pada sibghah (celupan) Allah:

“(Pegang teguhlah) celupan Allah. Dan siapakah lagi yang lebih baik celupannya dari pada (celupan) Allah.” (Al Baqarah, 2: 138)

Kedua: Cinta, ukhuwwan dan kesatuan hati hati yang unggul dan kepaduan rohani.

Atas hal apa mereka berselisih? Atas sekecil keuntungan dunia? Atas perbezaan peringkat, pangkat, gelaran, padahal mereka mengetahui,

Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalian di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa.” (Al Hujuraat, 49: 13)

Tidak ada faktor-faktor yang membuat mereka – para pencipta sejarah dan peradaban rabbani itu – berpecah dan kesatuan mereka pincang. Makanya mereka bersatu dan menjadi saudara di jalan Allah. Tidak seorang pun menghina yang lainnya. Bahkan masing-masing mencintai saudaranya itu melebihi cinta kepada dirinya sendiri. Sebab, mereka membaca firman Allah:

Katakanlah jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta yang kamu kumpulkan, perdagangan yang kamu khuaatirkan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai dari pada Allah, Rasul-Nya, dan jihad di jalan-Nya, maka tunggulah hingga Allah mendatangkan siksa-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.” (At-Taubah, 9: 24)

Cinta mereka di jalan Allah. Benci mereka kerana Allah. Mereka memberi kerana Allah. Tidak memberi, juga kerana Allah. Lalu terceluplah kehidupan mereka dengan cinta dan dengan cinta itu pula mereka mendakwahi manusia. Begitulah mereka ditarbiyah.

Ketiga: Mereka juga dibina untuk berkorban dan berjihad

Mereka juga dibina untuk berkorban dan berjihad sehingga mendorong mereka mempersembahkan segala yang mereka miliki kepada Allah, Rabb sekalian alam.

Sampai-sampai ada di antara mereka yang berkeberatan untuk menerima ghanimah yang padahal dihalalkan Allah, hingga Allah menurunkan ayat,

Makan makanlah dari sebagian rampasan perang yang telah kamu ambil itu sebagai makanan yang halal lagi baik.” (Al Anfal, 8: 69).

Jadi, dalam hal yang halal saja mereka amat hati-hati dan meninggalkannya kerana menginginkan perhitungan dari Allah. Mereka ingin bahawa dalam amal mereka tidak tercemari dengan debu-debu kecintaan terhadap dunia. Dengan cara itu mereka keluar dari kehinaan menuju kejayaan, dari keterasingan menuju kesatuan, dan dari kebodohan menuju ilmu. Merekalah pembangun peradaban dan pemberi petunjuk kepada manusia dalam erti yang sesungguhnya. Dan semua itu mereka peroleh dari pensucian (tazkiyah) yang dilakukan oleh Rasulullah saw.