Isnin, 23 Mei 2011

Isi Utama Ucapan Dasar Presiden Haluan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-22 (Bhg. 1)

Mukaddimah

  • (Para 6) Haluan kini sudah menjangkau usia 22 tahun. Suatu tempoh yang panjang dan telah mencapai usia kematangannya. Kewujudan Haluan di persada masyarakat di Malaysia khususnya dan dunia amnya, tidak lain dari bertujuan melaksanakan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar.
  • Firman Allah swt, “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji), dan mereka yan bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Ali Imran : 104).
  • ,
  • (Para 7) Haluan laksana sebatang pokok yang akarnya bertunjang ke bumi. Alhamdulillah berdirinya dengan teguh. Manakala dahan-dahan dan dedaunnya subur menjulang ke langit. Dedaunnya menjadi tempat berteduh para musafir, dedahannya menjadi tempat burung-burung menghinggap. Kewujudannya laksana pengimbang antara langit dan bumi.
  • Firman Allah swt, “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik. Yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluar buah-buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya, dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).” (Ibrahim : 24-25).
  • (Para 8) Sejak penubuhan Haluan, kita telah melalui pelbagai fasa. Antaranya fasa pembinaan organisasi dan ahli, diikuti dengan fasa pengukuhan dalaman dan seterusnya fasa menerokai khidmat kemasyarakatan. Banyak yang telah kita pelajari sepanjang perjalanan yang panjang ini. Sesuatu yang sangat berharga dan tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Pengalaman yang dilalui ini menjadi aset utama dan penting serta menjadi titik tolak untuk kita terus memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan.
  • (Para 9) Moto HALUAN dahulunya "Mendidik dan Berbakti" dan kini adalah "Berakhlak, Mendidik dan Berbakti." Perubahan ini selaras dengan gerakerja kita mendidik dan berbakti berlandaskan kemurnian akhlak dan bukan kepada asas-asas yang lain. Akhlak yang mulia merupakan teras kepada kejayaan kerja. Contoh akhlak yang terbaik dan terunggul adalah akhlak Rasulullah saw yakni akhlak Al-Quran. Kita percaya bahawa beramal dengan akhlak ini memampukan kita untuk menghadapi pelbagai cabaran dan halangan dalaman mahupun luaran semasa melaksanakan kerja kerja mendidik dan berbakti kepada masyarakat.
  • (Para 10) Kita juga meyakini bahawa khidmat bakti berasaskan amal soleh pasti menjuruskan kita kepada hubungan langsung dengan Pencipta kita, Allah swt. Kita juga percaya bahawa semua orang berhak mendapat khidmat bakti ini tanpa mengira batasan kaum maupun geografi.
  • (Para 11)"Kota Rom tidak dibina dalam satu hari". Rasulullah saw menyempurnakan risalahnya sehingga terbentuk sebuah negara mengambil masa lebih 20 tahun. Kita percaya bahawa untuk berubah ia tidak mungkin berlaku dalam sekelip mata. Ia perlukan kepada satu proses yang panjang dan pengorbanan yang tinggi.
  • (Para 12) Perubahan yang kita hajatkan adalah perubahan yang menyeluruh, meliputi seluruh aspek dalam kehidupan di alam nyata ini. HALUAN percaya bahawa proses tarbiyah (pendidikan) dan dakwah (khidmat bakti) adalah perkara utama untuk menuju kepada perubahan yang dicita-citakan. Tanpa keduanya perubahan yang berlaku akan hanya bertahan untuk suatu jangka masa yang singkat, rapuh dan tidak akan mampu bertahan lama. Lebih-lebih lagi dalam mengharungi pancaroba dunia serba canggih ini.
  • (Para 13) Kita mengatakan bahawa kita 'peneraju perubahan' Kita yakin dengan kemampuan yang kita miliki. Kita yakin dengan jalan ini yang bersumberkan panduan Rabbani dalam rangka meraih keredhaan Ilahi. Dalam masa yang sama kita mengharapkan pertolongan dan hidayah Allah swt agar terus dilimpahi kekuatan rohani, aqli, emosi dan akal untuk terus menabur bakti. Sesungguhnya kerja-kerja ini adalah kerja-kerja yang sangat mulia. Sabda Rasulullab saw, "Barangsiapa yang bergembira atas kebaikannya dan bersedih atas keburukannya maka dia adalah seorang Mukmin" (Riwayat Al-Thabrani dari Abu Musa r.a).
  • Huraian Tema
  • (Para 14) Kita memilih tema "Memperkasakan Identiti, Membangunkan Ummah" sesuai dengan peredaran masa, gerak kerja dan usia kita. Sebuah organisasi umpama satu bangunan yang teguh berdiri hasil daripada susunan batu bata yang kukuh lagi berkualiti. Kita berkeyakinan bahawa dengan ‘memperkasakan identiti’ bagi setiap ahli akan memberi kesan langsung dalam memperkasakan organisasi itu sendiri.
  • Kita mahukan ahli-ahli yang memiliki dan menghayati sifat-sifat yang mencakupi pembangunan sahsiah Mukmin bermula dengan pembaikan diri sehinggalah memiliki aqidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, tubuh badan yang sihat dan kuat, akhlak yang ampuh, pemikiran berilmu, mampu berdikari, mujahadah melawan nafsu, menjaga masa, tersusun segala urusan dan bermanfaat kepada orang lain.
  • (Para 15) Susunan batu bata akan memperlihatkan reka bentuk sesebuah bangunan, teguh dan kukuh atau sebaliknya. Oleh itu, "Membangunkan Ummah" yang kita maksudkan adalah membangunkan masyarakat dengan mengambil model atau rekabentuk unggul iaitu model ummah yang telah dibentuk oleh Rasulullah saw. Ummah yang disifatkan oleh as Syahid Sayyid Qutb sebagai 'Generasi al-Quran yang unik'.
  • Ummah yang dicita-citakan adalah ummah yang mendapat keberkatan, sanjungan, pertolongan serta rahmat dari Yang Maha Berkuasa. Firman Allah swt yang bermaksud, “Dan (Tuhan berfirman lagi), ‘Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Surah al A'raf: 96).
  • Bersambung.