BATU PAHAT, 12 FEBRUARI – Seramai 6 orang relawan HALUAN unit Gombak telah menyertai Misi Kemanusiaan Banjir Johor 2011 (MKBJ11) yang diterajui oleh HALUAN Johor di beberapa lokasi yang terjejas di sekitar Kampung Seri Medan, Batu Pahat, Johor.
Perjalanan para relawan bermula pada malam Jumaat 11 Februari 2011 di Tadika Raudhah Ibn Kathir, Gombak. Di sana, taklimat ringkas telah diberikan oleh ketua misi banjir HALUAN unit Gombak. Sesudah taklimat, pembahagian tugas dan pemeriksaan peralatan telah dilakukan. Para relawan kemudian bertolak ke Johor sekitar pukul 9 malam.
Perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 4 jam dan para relawan tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan, Batu Pahat sekitar jam 1 pagi. Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Medan telah berbesar hati menyediakan bilik makmal sains sekolah bagi dijadikan bilik gerakan misi banjir HALUAN daerah Batu Pahat. Para relawan kemudiannya mengambil kesempatan untuk berehat bagi meneruskan kerja-kerja pada esok hari.
Keesokan paginya, sesudah solat subuh berjemaah, ketua misi sempat memberikan sedikit tazkirah ringkas di surau sekolah tersebut. Beliau mengingatkan bahawa betapa musibah yang menimpa ini adalah merupakan suatu ujian daripada Allah s.w.t, sedangkan Allah s.w.t. masih memberi nikmat-nikmat lain yang jauh lebih besar seperti nikmat kesihatan dan masa yang lapang yang perlu disyukuri. Begitu juga dengan nikmat iman yang sangat berharga.
Selepas bersarapan, para relawan segera berkemas dan terus bergerak menuju ke Sekolah Rendah Agama Seri Duyong, Kampung Seri Medan, Batu Pahat seperti diarahkan oleh En. Hair Zaki Zakaria yang merupakan koordinator lapangan MKBJ11 daerah Batu Pahat. Tujuan misi ialah untuk menjalankan operasi pembersihan sekitar sekolah yang sedikit terjejas akibat daripada banjir yang melanda baru-baru ini. Setibanya di Sekolah Rendah Agama Seri Duyong, para relawan telah disambut oleh Guru Besar sekolah dan Ketua Kampung Seri Duyong.
Di sana juga, para relawan HALUAN dari unit Gombak telah bergabung bersama 11 orang relawan dari Haluan Kedah serta 20 orang relawan dari Haluan Johor. Turut serta juga ialah beberapa orang penduduk kampung sekitar. Seusai taklimat ringkas oleh En. Hair Zaki para relawan terus memulakan kerja-kerja pembersihan. Antara kerja yang diilakukan ialah pembersihan kelas-kelas, bilik-bilik stor, surau, longkang, koridor, mencuci langsir serta halaman persekitaran sekolah.
Kerja-kerja pembersihan tamat sekitar jam 11.30 pagi. Di kesempatan akhir itu, Guru Besar Sekolah Agama Seri Duyong mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak HALUAN yang sudi membantu beliau membersihkan serta mengoperasikan semula sekolahnya. Selaku wakil dari HALUAN, En. Hair Zaki juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah yang sudi memberikan peluang untuk para relawan HALUAN berbakti pada kali ini. “Kebetulan nama kampung ini ialah Seri Medan, dan alhamdulillah Allah telah mengurniakan kampung Seri Medan ini sebagai medan untuk ahli-ahli HALUAN menjalankan kerja-kerja mendidik dan berbakti” ujar En. Hair Zaki berseloroh.
Selesai di SRA Seri Duyong, kesemua relawan bergerak kembali menuju ke bilik gerakan misi banjir HALUAN daerah Batu Pahat di SMK Seri Medan bagi sesi penutupan misi kemanusiaan banjir Johor 2011 (MKBJ11) yang telah berlangsung hampir 2 minggu bermula dari 31 Januari 2011. Majlis disempurnakan oleh Dr. Baharuddin Busu selaku koordinator negeri bagi MKBJ11 kali ini. Dalam ucapannya, Dr Baharuddin mengungkapkan bahawa musibah yang menimpa hakikatnya merupakan peluang bagi HALUAN untuk mendekati masyarakat sekaligus memasyarakatkan Islam dalam setiap gerak kerja yang dilakukan. Majlis juga diselangi dengan ucapan dari wakil HALUAN dari Gombak, Kedah serta wakil Pemuda HALUAN.
Secara keseluruhannya MKBJ11 kali ini telah meninggalkan berbagai kenangan kepada 6 orang relawan HALUAN dari unit Gombak, Selangor. Meskipun hanya sempat berbakti pada hari-hari terakhir misi, para relawan sedar bahawa peluang seperti ini adalah sangat sukar didapati. Pada sesi kalimah akhirah setibanya di Gombak, ketua misi sekali lagi mengingatkan para relawan untuk mengikhlaskan diri supaya amal-amal in akan diterima oleh Allah. “Walaupun mungkin kita tidak mendapat pujian atau penghargaan dari mana-mana pihak, kita mesti sentiasa mengikhlaskan diri agar kita mendapat penghargaan yang sebenar disisi Allah” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan