Kedua : Memberi fokus kepada kepimpinan pelapis
Saidina Umar al-Khattab ra pernah bertanya kepada sahabat-sahabatnya, apakah yang mereka inginkan. Lain antara mereka ada yang bercita-cita untuk memiliki sejumlah harta yang banyak, dan dengan harta itu dapat mereka sedekah dan belanjakan pada jalan Allah. Namun Sayyidina Umar ra berkata: "Aku inginkan sekumpulan manusia yang hebat seperti Abu Ubaydah Al-Jarrah, Muaz Ibn Jabal dan Salim Maula Abi Hudhaifah untuk membantu aku mendaulatkan agama Allah."
Putaran sejarah terus berulang seperti mana siang dan malam. Yang pergi perlu diganti dan yang lemah perlu dipapah agar usaha-usaha murni ini tidak terganggu di pertengahan jalan. Kerja-kerja kita lebih banyak dari masa yang ada. Oleh itu, adalah suatu yang sangat penting untuk memberi perhatian kepada proses melahirkan pewaris kepimpinan untuk kesinambungan kerja-kerja kita. Pewaris-pewaris ini perlu dilengkapkan dengan ilmu-ilmu syarak dan pengurusan serta kemahiran insaniah, juga didedahkan dengan pengalaman-pengalaman yang berguna. Kita perlu meletakkan mereka di medan-medan amal dan pada masa yang sama memberikan pendidikan yang berterusan sehingga lahir penampilan dan terjemahan al-Quran dalam kehidupan mereka.
Rasulullah saw pada peringkat awal dakwah Islam, bermula dengan membina anasir-anasir yang nantinya mampu melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan. Pendidikan yang bermula di rumah Arqam bin Abi Arqam adalah pendidikan yang melahirkan generasi teras yang kemudiannya melaksanakan kerja-kerja pendidikan dan perubahan.
Generasi pewaris kepimpinan umpama permata dalam lumpur yang tidak bernilai jika hanya dibiarkan begitu sabaja. Sebaliknya mereka perlu dicari, digilap dan dibentuk untuk menjadi permata yang berharga. Oleh itu, generasi belia, pemuda, pemudi dan graduan institusi pengajian tinggi haruslah kita berikan perhatian dan tumpuan sepenuhnya.
Ketiga : Menambahkan bilangan ahli anggota
Usaha-usaha menambahkan bilangan anggota perlu digiatkan dan perancangan bersepadu perlu dilaksanakan. Setiap aktiviti yang dilaksanakan janganlah sekadar mengisi masa dan ruang semata-mata. Ia mestilah dalam rangka untuk melahirkan lebih ramai ahli anggota HALUAN.
Pada pandangan saya, pelbagai aktiviti yang tidak menjurus kepada penambahan anggota umpama pokok yang tidak berbuah. lanya hilang begitu sahaja dengan berakhirnya sesuatu aktiviti. Oleh itu kita mesti merebut peluang untuk menambahkan bilangan anggota secara berterusan dan penuh kesungguhan tanpa mengenal jemu.
PELAN TINDAKAN STRATEGIK TAHUN 2011 - 2012
26. "Kegagalan untuk merancang adalah merancang untuk gagal" - Itulah kata-kata yang sering kita dengar atau kita baca. Kerja tanpa perancangan bukan sahaja tidak memberikan kesan yang baik malah melibatkan kerugian masa, tenaga dan wang ringgit. Kepada kepimpinan HALUAN dan ahli-ahli HALUAN, saya melihat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dalam perancangan dan pelan tindakan kita terutamanya untuk tempoh terdekat (tahun 2011-2012) ini.
Keenam : Tanggungjawab ahli-ahli HALUAN
HALUAN memandang bahawa pengukuhan jatidiri anggota adalah sesuatu yang tidak boleh diambil mudah atau dibiarkan tanpa mengikut perencanaan tertentu. Binaan bangunan yang kukuh adalah hasil daripada cantuman atau gabungan batu bata yang kuat dan kukuh juga. Andainya dalam ribuan batu-bata berkenaan banyak yang cacat, pastinya akan memberi kesan terhadap kekuatan bangunan berkenaan. Kekuatan jatidiri akan memberikan daya tahan menghadapi pelbagai rintangan.
Tidak mudah futur (lemah/malas), tidak mudah kendur semangat juang, tidak jumud dalam pemikiran, tidak bingung menghadapi kritikan bahkan mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan yang menghadang. Kekuatan jatidiri menjadikan seseorang itu tidak hanya menunggu arahan atau menjadi orang yang menurut sahaja. Aspek-aspek ruhiyah, fikriyah, maaliyah, penguasaan pelbagai bidang dan kemahiran berorganisasi adalah tunggak utama pembentukan jatidiri yang perlu dihadam setiap anggota.
Para sahabat Rasulullah saw telah membuktikan bahawa mereka mampu melaksanakan kerja-kerja atau amanah yang dipikulkan walaupun berada jauh daripada Rasulullah saw dan kelompok kaum muslimin lain.
Jaafar bin Abi Talib ra dan sahabat-sahabatnya berada di Habsyah dalam waktu yang cukup lama, namun masih mampu mempertahankan aqidah mereka. Demikian juga Mus'ab bin Umair, duta Islam pertama di Madinah. Berkemampuan melaksanakan kerja-kerjanya tanpa pertolongan sesiapa sehingga Madinah menjadi tempat asas berkembangnya Islam selepas hijrah Rasulullah saw.
27. Kita tidak sepatutnya merasa selesa dengan berdiam diri atau tenggelam dengan pelbagai angan-angan. Di hadapan kita terbentang jalan perjuangan yang jauh, pertembungan antara kebenaran dan kesesatan, antara yang baik dan yang jahat, antara pejuang kebenaran dan penentang kebenaran, antara yang benar-benar ikhlas dan yang hipokrit.
28. Kepada kepimpinan dan ahli-ahli HALUAN saya sekali lagi berseru agar mempersiapkan diri dengan ilmu, keimanan, taqwa, kasih sayang, sedia berkorban dan bersedia untuk berkhidmat. Usaha-usaha penambahan ilmu, peningkatan keimanan dan taqwa, mengukuhkan kasih sayang, kesediaan berkorban dan berkhidmat perlu dibuat sepanjang masa dalam perjalanan hidup ini dan tidak boleh dipandang mudah. Kita belajar daripada sejarah betapa ramai manusia telah kecundang dalam perjalanan lantaran persiapan diri yang lemah atau lalai dalam menjaga diri untuk menghadapi halangan dan dugaan yang mendatang.
29. Syeikh Mustafa Mashyur menyatakan bahawa tanpa ciri-ciri yang berkenaan maka hanya kegagalan yang menjadi milik mereka (umat ini). Kita perlu menguasai dunia untuk memiliki akhirat Dunia ini kita genggam, akhirat yang kita semai. Biarlah keperitan dan kesusahan kehidupan dunia ini ditukarganti dengan janji-janji Allah swt. Kita meyakini bahawa dunia ini diberikan Allah swt kepada sesiapa sahaja yang mencari atau mencintainya tetapi deen Islam ini hanya diberikan kepada insan-insan terpilih dan kita berharap bahawa kita adalah di antara pilihan itu.
Allah swt berfirman, "Oleh itu Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan." (Ali-Imran: 148).
30. Renungilah apa yang diperkatakan oleh Imam Hasan al Banna "Saya dapat menggambarkan seorang mujahid (pekerja Islam) adalah seorang yang sentiasa dalam keadaan siap siaga dan membekali diri mereka, berfikir tentang keberadaannya pada segenap dinding hatinya. Dia selalu dalam keadaan berfikir dan siap untuk menyambut seruan. Waktu pagi dan petangnya, bicaranya, keseriusannya dan permainannya, tidak melanggar batas-batas yang dia persiapkan untuk dirinya. Dia tidak melakukan sesuatu kecuali misi hidupnya, berjihad di jalanNya. Anda dapat membaca pada raut wajahnya, anda dapat melihat pada bola matanya, anda dapat mendengar dari ucapan lidahnya yang menunjukkan terhadap sesuatu yang bergolak di dalam hatinya, suasana tekad, semangat besar serta tujuan jangka panjang yang telah memuncak dalam jiwanya yang jauh dari unsur menarik keuntungan sedikit di sebalik perjuangannya. Adapun mujahid yang tidur sepenuh kelopak matanya, makan seluas mulutnya, tertawa seluas bibirnya, menggunakan waktu untuk bermain dan berbuat perkara sia-sia; mustahil dia termasuk dalam kalangan orang yang menang dan mustahil tercatat dalam barisan mujahidin." (Petikan dari Buku Ikhwan Muslimin - Syeikh Jasim Muhalhil).
31. Akhir kata, sama-sama kita memohon ke hadrat Ilahi agar Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN ke-22 akan berada di bawah lindunganNya, dirahmatiNya serta diberikan kekuatan kepada kita untuk meneliti program yang berlalu, menilai hasil yang telah dicapai, menerima secara ikhlas akan kesilapan atau kekurangan dan seterusnya mencari idea-idea penambahbaikan.