Isnin, 6 Jun 2011

Isi Utama Ucapan Dasar Presiden Haluan dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-22 (Bhg. 2)

Hala Tuju Kita

  1. (Para 20) Seusia 22 tahun HALUAN ditubuhkan, persoalannya sekarang, apakah hala tuju HALUAN MALAYSIA kini? Halatuju kita tidak lain dan tidak bukan adalah terus menyebarluaskan khidmat kemasyarakatan, melahirkan lebih ramai individu-individu yang sedia bergabung jiwa serta tenaga dan mampu berkhidmat seterusnya membentuk masyarakat yang mempunyai jatidiri dan berkeperibadian mulia. Selagi nadi masih berdenyut dan akal yang waras, biarpun bertongkat, istilah undur dari memberi khidmat kepada masyarakat tidak mungkin sama sekali terpabat dalam minda kita masing-masing.
  2. (Para 21) Wahai Para Kepimpinan HALUAN, kepimpinan adalah amanah. Amanah besar yang diwarisi dari Rasulullab saw. Kepimpinan yang hanya mencari ganjaran dan keredhaan Allah swt semata-mata. Allah swt memberi penghargaan yang besar kepada pemimpin yang amanah dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
  3. (Para 22) Dari Abi Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda (bermaksud) "Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan selain perlindunganNya iaitu imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil, lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, lelaki yang diajak perempuan cantik (untuk melakukan maksiat) ia berkata aku takut kepada Allah, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya dan orang yang bermunajat kepada Allah sehingga mengalir air matanya." (Riwayat Bukhari & Muslim).
  4. Allah swt juga menempelak pemimpin yang tidak amanah atau tidak melaksanakan tanggungjawab kepimpinan mereka. Maksud Hadis, "Siapapun para pemimpin yang mengurusi urusan kaum Muslimin, kemudian ia tidak bekerja keras untuk kemaslahatan mereka dan tidak pula menasihati mereka, maka ia tidak akan masuk syurga bersama mereka.” (Riwayat Muslim).
  5. (Para 23) Ancaman ini bukanlah alasan untuk melepaskan diri dari memikul tugas kepimpinan bila diamanahkan. Kita semua sebenarnya adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas orang yang berada di bawah kepimpinan kita. Tidak perlu gusar atau ragu menerima amanah kepimpinan. Selagi mana kita berada di atas landasan yang benar selagi itulah kita akan terselamat daripada ancaman Allah swt.
  6. "Setiap amalan ada semangatnya (meningkat/kuat), setiap semangat (masa kuat) ada lemahnya, dan sesiapa yang di masa keadaan lemah berada di alas sunnahku, dia mendapat petunjuk." (Riwayat Ahmad dalam Shahih at-Targhib/Riwayat Mujahid dalam Musnad Ahmad).
Agenda Perubahan
  1. (Para 24) Kita mahukan perubahan yang menyeluruh. Tidak bersifat tempelan kepada bahagian-bahagian yang carik sahaja. Kepada barisan kepimpinan HALUAN samada di peringkat pusat, negeri, daerah atau unit-unit kecil, saya menyeru agar mengambil perhatian kepada beberapa perkara yang perlu dicapai dalam usaha kita membentuk organisasi yang benar-benar mantap dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Pertama : Kita ingin melahirkan barisan kepimpinan yang berwibawa
  1. Kepimpinan berwibawa adalah mereka yang memiliki sifat-sifat atau kualiti diri yang tinggi. Hidup yang berteraskan prinsip-prinsip serta kualiti unggul. Kepimpinan perlulah sentiasa mengharapkan balasan akhirat dan ikhlas kerana Allah swt semata-mata. Di samping itu juga diperkemaskan dengan sifat-sifat lain seperti kuat daya ingatan, bijak, cerdas, berpengalaman dan berwawasan. Mereka juga perlulah berpandangan jauh ke depan, mampu menganalisa pelbagai persoalan dengan cepat dan tepat, penyantun, penuh kasih sayang, lemah lembut dan ramah. Tidak cukup dengan itu mereka perlu berani, bertindak berasaskan fakta dan garis panduan syarak, benar, tawaduk, memaafkan, menahan amarah dan berlaku ihsan dan lebih banyak lagi sifat-sifat yang mulia.
  2. Untuk mencapai hasrat ini perancangan latihan yang mantap dan jitu amat diperlukan. Modul pengurusan organisasi mesti diikuti oleh seluruh barisan kepimpinan agar apa yang dihasratkan akan tercapai. Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada bakat semulajadi ataupun berpada dengan apa yang ada. Kerja-kerja yang semakin banyak memerlukan kekuatan dan kemampuan yang besar. Oleh itu saya menyeru agar perkara ini diberi perhatian yang sewajarnya.
  3. Firman Allah swt, bermaksud, “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." (Al- Ahzab : 23).
  4. Sudah sampai masanya untuk kita menjadi dominan dalam masyarakat. Kita tidak mahu hanya dikenali oleh kelompok-kelompok tertentu sahaja. Kita bukannya organisasi eksklusif yang terbatas untuk satu-satu golongan sahaja. Sebagai anggota dalam kepimpinan, kita perlu merasakan bahawa tiada satu golongan pun yang tertinggal dalam perhatian kita dan tidak ada satu inci pun bumi ini hilang dari pandangan kita.
(Bersambung).

Tiada ulasan: