Sabtu, 30 Jun 2012

Kepentingan Zikrullah


Adab-Adab Pelajar di Sekolah


Adab-adab pelajar di sekolah adalah pra-syarat kepada kejayaan pembelajaran di sekolah. Pelajar-pelajar diingatkan dari masa ke semasa untuk memahami dan mengikutinya. Setiap pelajar dilatih oleh guru-guru untuk memiliki adab-adab yang mulia dan tinggi.
Adab-adab di sekolah
  1. Belajar kerana Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
  2. Belajar dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh.
  3. Jiwa, akal dan fizikal bersedia menghadapi pelajaran.
  4. Menghormati pentadbir dan guru serta patuh kepada arahan mereka.
  5. Menjaga ketenteraman suasana  pengajaran dan pembelajaran.
  6. Menjaga kebersihan dan ketertiban di tempat belajar.
  7. Menjaga keselamatan harta benda sekolah.
  8. Bertatatertib ketika masuk dan keluar kelas serta sebarkan salam.
  9. Tidak mengganggu orang lain dalam kelas dan di luar kelas.
  10. Berukhuwah Islamiyah dan saling bekerjasama antara pelajar dan guru.
  11. Sentiasa mengingati matlamat menuntut ilmu ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah.
  12. Mulakan pelajaran dengan doa (pelajaran pertama setiap hari).
  13. Berhemah tinggi dan sentiasa berusaha untuk maju dalam syakhsiyyah dan pelajaran.
  14. Sempurnakan kerja dan tugas seperti yang diminta.
  15. Sentiasa bermuraqabah Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam setiap tindakan.
  16. Tidak melakukan dosa dan kesalahan.
  17. Hidupkan semangat berlummba-lumba untuk maju dalam pelajaran dan akhlak.
  18. Bertanggungjawap dalam setiap pekerjaan dan tindakan.
  19. Suka menolong dalam kerja-kerja kebajikan.
  20. Belajar dan bekerja secara berpasukan.
  21. Beri kerjasama serta patuh kepada arahan pentadbir, guru dan ketua.
  22. Memelihara masa.
  23. Berpegang kepada matlamat yang jelas setiap masa iaitu untuk mengejar redha Allah dan membangunkan ajaran Islam.

Versi pdf Risalah Insan boleh dimuatturun dari sini.

Rabu, 13 Jun 2012

Marhaban Ya Ramadhan

Pengenalan
        Prof Yusuf al-Qaradhawi berkata bahawa Islam yang diturunkan oleh Allah swt mempunyai karekter ar-rabbaniyah (ketuhanan), al-insaniyah (kemanusiaan), asy-syumuliyah (universal), al-wasathiyyah (sederhana), al-waqi’iyyah (kontektual), al-wudhuh (jelas) dan at-tathawwur (transformasi) dan ath-tsabat (konsistensi).
        Menurut Ustaz Sa’id Hawwa, Allah swt menegaskan secara pasti di dalam al-Quran bahawa Islam adalah deen bagi seluruh Nabi dan Rasul sejak Adam as hinggalah Nabi Muhammad saw, pembawa risalah samawi yang terakhir.
        Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Islam itu dibangunkan di atas lima dasar iaitu bersaksi sesungguhnya tidak ada Tuhan kecuali Allah, Muhammad itu hamba dan utusanNya, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji ke Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan.” Lima dasar ini hanyalah sebagai paksi atau inti Islam, tetapi bukanlah keseluruhan Islam. Di atas lima dasar ini dibangunkan kesyumulan Islam yang merangkumi aqidah, ibadah, akhlak, ekonomi, sosial, politik, perdamaian, peperangan, jihad, hukum, muamalah, perkahwinan, warisan, jual beli dan sebagainya.
        Kita cuba menerokai hakikat, kedudukan, peranan dan kesan apabila kurikulum Madrasah Ramadhan diaplikasi untuk menyumbang kepada pembangunan Islam sebagai satu sistem.
        Peranan ibadah puasa kepada sistem Islam samalah seperti peranan tangan kepada tubuh. Tangan akan kehilangan fungsi jika ianya dipisahkan daripada tubuh, sebagaimana ibadah puasa tidak mampu berkesan tanpa melaksanakan Islam sebagai satu sistem hidup.
        Dari Abu Hurairah ra, beliau berkata, “Bila tiba Ramadhan, Rasulullah saw bersabda, ‘Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan penuh barakah, di dalamnya Allah wajibkan berpuasa, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelanggu. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Siapa tidak mendapat kebaikannya, sesungguhnya ia telah rugi.’” (Riwayat Ahmad).
        Ibnu Rajab al-Hambali pula menggalakkan kita untuk saling bertahniah dengan merasa bahagia kerana orang salih dibukakan pintu syurga, penderhaka ditutupkan pintu neraka dan orang yang berakal senang kerana syaitan dibelenggu. Kedatangan Ramadhan dinanti-nanti dan dirindui.

Persiapan menghadapi Ramadhan
        Ulamak menyarankan agar kita membuat persiapan dalam menghadapi Ramadhan. Pertamanya ialah melakukan persiapan amalan iaitu melalui amalan berpuasa dan membaca al-Quran.
        Dari ‘Aisyah ra, beliau berkata, “Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengira beliau tidak berbuka. Tidaklah kami melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasanya sebulan penuh selain bulan Ramadhan, tidaklah kami melihat beliau lebih banyak berpuasa selain bulan Sya’ban.” (Riwayat Bukhari).
        Usamah bin Zaid pula pernah bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah saw, saya tidak melihat anda berpuasa pada bulan lain seperti berpuasa pada bulan Sya’ban.” Jawab Baginda, “Sya’ban bulan antara Rejab dan Ramadhan yang selalu dilupakan manusia, ia bulan diangkat amalan kepada Allah Rabbul ‘alamin. Aku ingin amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa” (Riwayat an-Nasa’i).
        Dalam membuat pengulasan, Ibnu Rajab menyatakan bahawa puasa bulan Sya’ban adalah latihan bagi menghadapi puasa Ramadhan supaya tidak terasa berat, sebaliknya berasa nikmat berpuasa supaya lebih bersemangat untuk melaksanakan puasa Ramadhan, dan bagi mengatasi masalah lupa masa berpuasa Ramadhan.
        Sementara itu, Anas Bin Malik ra berkata, “Ketika kaum muslimin masukki bulan Sya’ban, mereka sibuk membaca al-Quran dan mengeluarkan zakat harta untuk membantu fakir miskin yang berpuasa.” ini ialah bagi menghilangkan karat-karat dosa bulan sebelumnya hingga hati bersedia terima petunjuk dan hidayah Allah dalam bulan Ramadhan.
        Firman Allah swt, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah maka bergemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.” (Al-Anfal : 2). Latihan membaca al-Quran di bulan Sya’ban untuk intensif bulan Ramadhan
        Persiapan yang kedua ialah mental dan jiwa, melalui doa-doa dan mengingati keutamaan Ramadhan.
        Nabi saw bersabda, “Ya Allah! Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan berkatilah pula kami di bulan Ramadhan. (Riwayat Ahmad).
        Al-Ma’ali bin Fadhl berkata, para sahabat ra berdoa dipertemukan Ramadhan enam bulan sebelum kedatangannya dan enam bulan selepas itu berdoa supaya diterima amalan.
        Manakala Yahya bin Abi Katsir pula menyatakan bahawa di antara doa orang saleh menyambut Ramadhan ialah “Ya, Allah! Selamatkanlah aku ke bulan Ramadhan, dan selamatkanlah Ramadhan bagiku, dan terimalah Ramadhan itu bagiku.”
        Diriwayatkan bahawa Nabi saw menyebut keutamaan Ramadhan sejak bulan Rejab dan Sya’ban. Manakala pada minggu keempat bulan Sya’ban, beliau menaiki mimbar untuk menyampaikan khabar gembira, menyatakan faedah dan anugerah yang disediakan didalam bulan dirindui itu.
        Salman al-Farisi menyatakan bahawa khutbah Nabi saw di akhir Sya’ban, “Wahai manusia! Telah datang kepadamu bulan agung, penuh barakah, padanya terdapat satu malam lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasa di siang hari sebagai wajib, qiamullail (terawih) sebagai sunnah. Siapa bertaqarrub kepadanya dengan satu kebaikan, maka (wajib) ia bagaikan melakukan 70 kali amalan wajib pada bulan lain. Ianya bulan kesabaran dan pahala sabar adalah syurga. Ia adalah bulan infaq, bulan di dalamnya rezeki orang mukmin ditambah. Barang siapa memberi kepada orang yang berbuka puasa, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya, membebaskannya daripada neraka dan akan memberi pahala seperti pahala orang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Tidak semua kami mempunyai makanan untuk memberi kepada orang berpuasa.” Rasulullah menjawab, “Allah akan memberikan pahala kepada orang memberi makanan iftar walau pun dengan sebiji kurma atau seteguk air sejuk atau air susu. Bulan ini awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya pembebasan daripada api neraka. Oleh itu perbanyakkanlah melakukan empat perkara. Dua perkara menyebabkan Robbmu redha kepada kamu dan dua perkara lagi menyebabkan ia mencukupi. Dua perkara pertama ialah kesaksian tiada Ilah selain Allah dan beristighfar kepadaNya. Dua perkara lagi yang akan mencukupi ialah permohonan syurga dan pembebasan dari api neraka.” (Riwayat. Ibnu Khuzaimah).

Bertemu dengan Ramadhan
        Doa Nabi saw bila lihat anak bulan, menanti pertemuan dgn penuh persiapan, “Ya Allah! Terbitkanlah hilal (anak bulan Ramadhan) kepada kami dengan aman dan iman, keselamatan dan Islam, Robbku dan Robbmu adalah Allah.” (Riwayat Ibnu Hibban).
        Sabda Rasulullah saw dari Abu Hurairah ra, “Bila datang malam pertama Ramadhan, syaitan dan jin dipenjara, pintu neraka ditutup hingga tiada terbuka, pintu syurga dibuka hingga tiada tertutup, para malaikat menyeru, ‘Wahai pemburu kebaikan! Sambutlah (Ramadhan), Hai para penderhaka! Kuranglah melakukan maksiat.’ Demi Allah, Dia bebaskan (orang beriman) dari pedihnya siksaan neraka dan ianya terjadi pada tiap-tiap malam.”
        Hasan al-Basri berkata, “Allah menjadikan Ramadan medan persaingan makhlukNya. Mereka berlumba melakukan ketaatan untuk meraih redhaNya. Sebahagian berjaya dan keluar sebagai pemenang, namun setengah lagi meninggalkan ketaatan dan mereka rugi.”
        Firman Allah swt, “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” (Ali Imran : 133).
        Allah menyebut bahawa Ramadhan adalah bulan penurunan al-Quran. “Bulan Ramadhan, bulan yang diturunkan Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk dan pembeda (antara hak dan batil).” (Al-Baqarah : 185).
        “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (44 : 3).
        “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam kemuliaan.” (97 : 1).
      Sabda Nabi saw, “Siapa yang bangun pada malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka dosanya terdahulu akan diampunkan. Siapa melakukan puasa dengan keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka dosanya yang lalu akan diampunkan.” (Riwayat Bukhari).
        Imam al-Malaghi menyatakan pula bahawa dua nikmat Ramadhan ialah nikmat membaca al-Quran (ilmu, nur dan hidayah) dan nikmat berpuasa (terima anugerah dari Allah).

Kerinduan hati
        Cara merindui ketibaan Ramadhan ialah melalui berpuasa, bertahajjud, ber‘iktikaf, bertilawah al-Quran, berzikir dan berdoa. Juga dengan mengingati anugerah, barakah, kebaikan melimpah, rahmat, maghfirah dan pengampunan Allah. Juga dengan menginsafi kelemahan, kekurangan dan kecuaian dalam Ramadhan lalu, seperti ghibah, namimah dan kha’inah (penipuan), mensia-siakan masa (tidak qiam, TV, tidak hadir halaqah zikir). Juga dengan terus-menerus berdoa, “Ya Allah! Sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” Juga dengan membuat perancangan untuk Ramadhan yang bakal menjelang.

Perancangan meraih syurga
        Dalam halaqah keluarga, pada malam pertama Ramadhan, berikan tazkirah keutamaan Ramadhan.
     Tentukan sasaran minima setiap ibadah, seperti al-Quran (baca, tadabbur satu juz sehari), terawih (tentukan masjid, pertimbangan, jauh-dekat, kualiti bacaan imam dan jumlah jamaahnya), anak-anak (puasa, motivasi puasa, ikut terawih, pelajaran), iktikaf (jumlah hari dan masjid, perlu cuti, penglibatan zaujah), makanan (tentukan bajet), amal soleh (infaq), halaqah (tentukan masa, kalau boleh libatkan jiran, tentukan buku rujukan), zikir dan doa (pagi dan petang dalam keluarga, pilih buku, al-Ma’thurat), tahajjuj (bersungguh-sungguh untuk maksima, niat baik, tidur awal, ulang hafazan/baca dari muahhaf (Hanafi)).
        Sabda Rasulullah saw, “Allah merahmati seorang lelaki bangun malam untuk solat dan bangunkan isterinya untuk menunaikan solat. Jika isterinya enggan, ia percikkan air kemukanya. Dan Allah merahmati wanita bangun malam untuk solat dan kejutkan suaminya untuk solat. Jika suaminya enggan, ia percikkan air ke mukanya.” (Riwayat An-Nasa’i).

Latih amal
Sediakan perancangan Ramadhan secara individu mengikut format:
1. Mempertingkatkan hubungan dengan Allah, melalui al-Quran, zikir, terawih, qiyamullail dan dakwah Ilallah;
2. Peningkatan diri, melalui akhlaqul karimah, kesihatan, ilmu tentang puasa, ibadah (puasa dan solat), pengurusan masa efektif, dan tingkatkan amalan baik (solat tepat waktu);
3. Keluarga, melalui hubungan suami-isteri, suasana rumah, anak-anak dan bajet Ramadhan.
4. Bersama orang lain, melalui mad’u, keluarga dekat, jiran dan sahabat.

Versi .pdf Risalah Insan boleh dimuat turun dari pautan ini.

Rujukan : Mohd Ghani Bin Salleh, Marhaban Ya Ramadhan.ppt.