Khamis, 23 Disember 2010

Proses Pembersihan Hati

Pendahuluan

Di dalam kehidupan ini, insan sentiasa bertarung dengan dirinya sendiri. Ada kalanya ia menang, dan ada kalanya ia kecundang. Ia tetap dalam pertarungan sedemikian, hinggalah ajal maut menjemputnya. Firman Allah, “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah Asy-Syams 91:7-10).

Ayat di atas membahagikan manusia kepada dua golongan, iaitu pertamanya, ialah golongan yang mengikut hawa nafsu. Sebagaimana juga yang difirmankan Allah, “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmuNya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya, dan meletakkan tutupan atas penglihatanny? Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?” (Surah Al-Jaathiyah 5:23).

Keduanya, ialah golongan yang bermujahadah dan bertarung menentang hawa nafsunya. Ada kalanya mereka kalah dalam pertarungan itu, tetapi mereka sedar, insaf, bertaubat dan memohon keampunan dari Allah. Firman Allah juga, “ Dan orang-orang yang mengerjakan perbuatan keji dan menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa melainkan Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedangkan mereka mengetahui.” (Ali-Imran 3:135).

Realiti manusia melakukan dosa masakini – terlalu ramai manusia bergelumang dengan dosa. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu keni’matan. Hawa nafsu menjadi ganas. Hati manusia cinta kepada ma’siat. Hati manusia semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Bahkan hati menolak ubat dan sukakan penyakit, sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.

Penyakit-penyakit hati

Terdapat beberapa penyakit-penyakit hati, di antaranya adalah seperti berikut :

  1. Mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala;
  2. Ingin atau cenderung untuk melakukan amalan yang berdosa kepada Allah swt;
  3. Lalai, tidak mengambil berat atau malas terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah swt kepada hamba yang muslim;
  4. Tidak mengendahkan atau memandang kecil hukum-hakam Allah swt, sebaliknya memuliakan hukum hakam manusia;
  5. Tidak bergantung harap kepada Allah swt, sebaliknya bergantung harap kepada selain daripada Allah swt;
  6. Takut kepada makhluk melebihi takut kepada Allah swt;
  7. Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji Allah swt terhadap hamba-hambanya yang beriman, dan juga terhadap amaran-amaran Allah swt terhadap hamba-hambaNya yang menderhaka;
  8. Menghina dan meremehkan orang yang Allah swt kasihi;
  9. Tidak bersungguh dan istiqamah dalam proses pembangunan diri atau tarbiyah; dan
  10. Memandang negatif terhadap aktiviti-aktiviti atau program-program da’wah dan tarbiyah.
Proses rawatan hati

Tidak ada ubat yang dapat mengubati penyakit-penyakit hati melainkan ubat yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Janganlah kita berusaha mencari ubat-ubat yang lain. Tidak akan sembuh penyakit-penyakit itu melainkan dengan ubat yang telah digunakan oleh Baginda saw. Terdapat beberapa kaedah rawatan, seperti yang dinyatakan di bawah ini.

Kaedah rawatan 1 : Mengubati penyakit hati menggunakan ubatnya yang sebenar

Untuk mengubati sesuatu penyakit, perlu terlebih dahulu kita mengenal jenis penyakit tersebut. Ubat yang mujarab ialah apa yang berlawanan dengan penyakit yang menyerang hati manusia.

Thabit bin Qurrah berkata, “Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.”

  1. Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah swt, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah swt;
  2. Jika penyakit itu sukakan amalan berdosa, ubatnya ialah mendidik hati agar membenci amalan itu dan bertaubat kepada Allah swt;
  3. Jika penyakit hati sukakan kelalaian, tidak mengambil berat atau malas terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah swt, maka ubatnya sentiasa sedar dan bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab tersebut;
  4. Jika penyakit hati itu tidak mengendahkan atau memandang kecil hukum-hakam Allah swt dan memuliakan hukum-hakam manusia, maka ubatnya mengambil berat dan merasa izzah dengan hukum hakam Allah swt;
  5. Jika penyakitnya berharap dan takut kepada makhluk, maka ubatnya berharap dan takut kepada Allah swt; dan
  6. Jika penyakit memandang negatif kepada terhadap aktiviti-aktiviti dan program-program da’wah dan tarbiyah, maka ubatnya kita ialah bersikap positif.
Asas bagi pengubatan hati ialah kembali kepada Allah swt dengan menguatkan iman dan ketaqwaan kepadaNya.

Kaedah rawatan 2 : Tarbiyah dzaatiyah

Tarbiyah dzatiyah ialah pembangunan diri yang direncanakan untuk diri sendiri. Sebagai contohnya :

  1. Melakukan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, puasa dan sebagainya;
  2. Bertaubat. Taubat bermakna kembali kepada Allah swt, peraturanNya dan hukumNya, membuang dan mengosongkan hati daripada perkara-perkara buruk yang merosakkan hati, menutup hati daripada kejahatan dan membuka hati kepada kebaikan, beristighfar kepada Allah swt sambil memurnikan tauhid kepadaNya;
  3. Berzikir, tilawah Al-Qur’an dan berdoa;
  4. Melakukan ibadah-ibadah umum yang lain seperti melakukan aktiviti-aktiviti ilmu dan juga berfikir, contohnya membaca buku-buku fikrah Islamiyah, mengikuti kelas-kelas ilmu, memikirkan keagungan dan kebesaran Allah swt dengan melihat ciptaan-ciptaanNya, memelihara kesihatan dan kecergasan diri dan sebagainya.
Kaedah rawatan 3 : Berjihad melawan hawa nafsu

Dalam suatu hadith, Rasulullah saw bersabda, “Seorang mujahid itu ialah orang yang berjihad melawan nafsunya di jalan Allah.” (Riwayat Muslim).

Imam Ibn Qayyim adalah menjelaskan bahawa jihad melawan hawa nafsu terbahagi 4 peringkat, iaitu :

  1. Berjihad melawan hawanafsu untuk mencari ilmu;
  2. Berjihad melawan hawanafsu untuk beramal dengan ilmu;
  3. Berjihad melawan hawanafsu untuk menyampaikan ilmu kepada manusia (berda’wah, mengajar dan mentarbiyah); dan
  4. Berjihad melawan hawanafsu untuk bersabar dalam berda’wah.
Kaedah rawatan 4 : Istiqamah dengan program-program tarbiyah

Di antara program-program tarbiyah yang dianjurkan ialah :

  1. Liqa’, usrah atau halaqah;
  2. Mukhayyam atau perkhemahan;
  3. Katibah atau qiyamulail;
  4. Rehlah atau musafir;
  5. Nadwah atau seminar; dan
  6. Daurah atau kursus.
Penutup

Ulamak telah menggariskan dua sendi-sendi kekuatan untuk memerangi hawa nafsu.

Pertamanya ialah hati, sebagaimana yang disabdakan Rasulullah saw, “Dan ketahuilah pada setiap jasad itu ada seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keduanya, ialah akal, sebagaimana juga disabdakan Rasulullah saw, “Tidaklah beruntung seseorang lelaki (dengan satu pemberian) dibandingkan dengan kelebihan kurniaan akal yang dapat membimbing pemiliknya kepada petunjuk dan menahannya dari perkara yang buruk.” (Riwayat Mujbir).

Berusahalah, agar kita tergolong dalam golongan yang sukar dikuasai iblis. Sepertimana yang dikisahkan oleh Wahab Bin Munabbih dalam pertemuan di antara Nabi Yahya bin Zakaria as denan Iblis, dan ditanyakan kepada Iblis, “Ceritakan kepadaku tabiat perangai manusia menurut pandangan kamu.” Maka Iblis menjawab, “Golongan pertama dari manusia ialah dari seperti kamu ini, mereka ini terpelihara (dari kejahatan dan dosa). Golongan kedua ialah mereka yang berada di dalam genggaman kami sebagaimana bola berada di tangan anak-anak kamu, mereka menyerah diri bulat-bulat kepada kami. Manakala golongan yang ketiga pula ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai. Kami menemui salah seorang dari mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai hajat kami, tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan istighfar itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak berputus asa untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami tercapai.”

Diadaptasikan dari http://halaqahmuntijah.wordpress.com/2010/12/17/proses-pembersihan-hati/.

Tiada ulasan: