Ahad, 1 Mac 2015

Pengorbanan

Tazkirah subuh:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

'Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.'
(Ali-Imran- 92)

Isnin, 23 Februari 2015

Pelbagai cara memperingatkan kita kepada Allah

Salah seorang ulamak salaf berkata, "Dulu ketika aku lemah dan malas dalam beribadah, aku pun menjumpai Muhammad bin Wasi' Al-Asadi. Lalu aku lihat wajahnya maka aku pun menjadi rajin beribadah dalam beberapa minggu."

Hanya dengan melihat orang-orang solih, boleh mengingatkan kita akan Allah. 

Sumber : Dr A'idh al-Qarni, Selagi Masih Muda. Aqwam, Solo, 2013. Muka surat 61. 

Rabu, 18 Februari 2015

Ibrah

Seorang wanita muslimah berdiri di sebuah pasar di daerah Amuriyah, negara Iraq. Dia bersaksi bahawa tidak ada Ilah selain Allah. Dia melakukan solat lima waktu dan dia juga takut kepada Allah. 

Tiba-tiba datanglah seorang Romawi menghampiri dan memukul wajah wanita muslimah ini. Muslimah ini kemudian berteriak, "Wahai (Khalifah) Al-Mu'tashim."

Al-Mu'tashim adalah seorang khalifah pada zaman Bani Abbasiyah di Baghdad. 

Maka orang Romawi itu tertawa lalu berkata kepadanya, "Tunggulah Khalifah sampai dia datang dengan kudanya yang bercak-bercak untuk menolong kamu."

Ada seorang muslim yang memberitahukan peristiwa itu kepada Khalifah. Setelah mendengar peristiwa itu, Khalifah pun naik pitam dan sangat murka di dalam istananya. Lalu dia berkata, "Demi Allah, aku tidak akan melalui malam dalam keadaan berjunub, sehingga aku berangkat untuk menolongnya dengan izin Allah."

Maka sang Khalifah berangkat dengan perajurit dalam keadaan siaga satu. Perajurit muslim, perajurit yang sentiasa melakukan solat tahajjud, perajurit yang sentiasa berzikir di setiap saat. 

Abu Tammam berkata, "Sembilan puluh ribu perajurit bagaikan singa-singa yang kelaparan. Kulit mereka menjadi matang, sebelum buah tin dan buah anggur matang."

Maka sang Khalifah dan pasukannya berangkat. Kota-kota di negeri itupun menggeletar dan terlumat satu demi satu, tatkala kemenangan diraih kaum muslimin. 

Sumber : Dr A'idh Al-Qarni, Selagi Masih Muda. Aqwam, Solo 2013. 

Rabu, 25 Jun 2014

Rehlah Syabab HALUAN Gombak (Jun 2014)

Antara syabab yang hadir
SG. KEMENSAH 21-22 Jun 2014 - Ukhuwwah merupakan satu nikmat dari Allah. Tambahan pula, jika tali ukhuwwah yang dijalin itu telah menjangkau sebahagian besar dari garis masa kehidupan kita. Inilah agaknya yang dirasakan oleh sebahagian besar peserta yang menyertai Rehlah Syabab HALUAN Gombak pada 21 dan 22 Jun yang lalu bertempat di Air Terjun Mini Jeram, Sungai Kemensah, Gombak.

Sebahagian mereka mungkin telah terpisah setelah habis sekolah rendah dan sebahagian yang lain setelah menamatkan sekolah menengah. Sebahagian juga mungkin dipisahkan dek kerana jarak umur yang panjang antara sesama mereka. Manakala sebahagian yang lain mungkin baru kali pertama bertemu. Namun, semua ini tidak menghalang untuk mereka kembali bersama-sama mempertaut kembali ukhuwwah yang pernah terbina serta bersama-sama memperjelas kembali tanggungjawab diri sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini.

Program bermula dengan sesi taklimat ringkas setelah peserta selesai mendirikan khemah dan solat Asar berjemaah. Kemudian, peserta tidak melepaskan peluang untuk mandi dan menikmati sejuk air Sungai Kemensah. Persiapan minum petang turut berlangsung diketuai oleh saudara Abdul Azim, seorang lulusan dalam bidang kulinari. Roti sardin goreng bersalut telur menjadi pilihan beliau. Sedap lagi lazat, itulah antara komen para peserta.

Riang ria bersama air terjun
Menjelang Maghrib, setelah solat Maghrib berjemaah, peserta duduk bersama-sama dalam pembacaan ma’thurat. Alunan zikir mereka memecah kesunyian malam diiring sama dengan zikir unggas di rimba. Selesai ber-wazifah, mereka mengambil kesempatan untuk saling kenal-mengenal. Majoriti perkenalan berkisar tentang kehidupan mereka setelah menamatkan sekolah menengah. Masing-masing kini menuntut dalam bidang yang pelbagai.

Azan Isha’ kemudian berkumandang. Selesai solat berjemaah, mereka bergotong-royong menyediakan makanan malam. Oleh kerana tempoh yang lama untuk menunggu nasi masak didalam mess-tin, dua orang ditugaskan untuk membeli nasi putih dari kedai makan berdekatan. Ada juga yang memotong bawang dan cili berlapikkan belakang pinggan. Ada juga yang memecahkan ais dengan menghentak plastiknya ke tanah untuk menyediakan air. Ada juga yang ber-parang memotong kayu api untuk terus menyalakan unggun api. Dan ada juga yang menggoreng telur dan sayur untuk dijadikan lauk. Suasana yang terbina sangat mengenyangkan jiwa, terasa seakan seperti satu keluarga, walau berlainan ibubapa.

Penyampaian yang mengesankan dari
saudara Wan Mohd Basyir
Selesai makan malam, diterangi lampu minyak tanah dan lampu suluh handphone, aktiviti diteruskan dengan penyampaian daripada saudara Wan Mohd Basyir. Saudara Basyir memperingatkan peserta akan realiti Islam dagang kali kedua serta tuntutan keatas setiap muslim untuk berusaha memperteguh keimanan mereka. Kerna kata beliau, hakikat iman itu ialah ia takkan mampu didapati tanpa melalui usaha dan proses berterusan. Selesai penyampaian beliau, para peserta mengambil giliran untuk berjaga malam.

Keesokan paginya, peserta memulakannya dengan solat subuh berjemaah dan bacaan ma’thurat pagi. Selesai ber-wazifah, persiapan sarapan pagi dimulakan diketuai sekali lagi oleh saudara Abdul Azim. Menu kali ini ialah roti berintikan scramble-egg dan sardine. Air teh panas yang dimasak menggunakan mess-tin turut disediakan. Pagi itu, mereka sekali lagi mengambil peluang untuk mandi sungai.

Selesai mandi sungai, khemah pun diturunkan sebagai persiapan untuk berkemas pulang. Rehlah kemudian diakhiri oleh sedikit ucapan penutup dari wakil syabab HALUAN Gombak, saudara Ar Rasyid Jaafar.

Ber-selfie bersama ikan-ikan
Bergotong-royong menyediakan makanan
Para peserta tidak melepaskan sesi monopod selfie


Sabtu, 12 Oktober 2013

Riadhah bola sepak di Pinggiran Batu Caves

Sabtu, 12 Oktober 2013 - Syukur kepada Allah swt, belumpun genap sebulan berlalunya program Khidmat Masyarakat (KHIDMAH) di Pinggiran Batu Caves, Batu Caves, Selangor, suatu program susulan remaja di bawah Kelab Remaja Haluan (KeArah) telah berjaya dilaksanakan.

Program yang dimaksudkan itu ialah aktiviti riadhah bola sepak, yang dianjurkan oleh Unit Pemuda, Haluan Unit Gombak. Aktiviti itu telah dilakukan di padang Pinggiran Batu Caves, dengan disertai oleh lebih daripada 20 orang remaja di sekitarnya.

Jamuan ringkas bersama
Di dalam aktiviti riadhah tersebut, para peserta telah berlawan bola sepak yang telah berkesudahan dengan keputusan 5-2, hasil daripada jaringan-jaringan gol yang menarik. Setelah itu, mereka telah diraikan dengan jamuan pagi yang ringkas. Aktiviti taaruf telah dilangsungkan kemudiannya bagi mempermantapkan perkenalan sesama peserta, dan kemudiannya telah diikuti oleh aktiviti tazkirah. Kesemuanya itu telah dilaksanakan di padang permainan yang sama, dalam suasana yang penuh harmoni. 


Sesi tazkirah

Program riadhah ini ialah program pertama yang dirancangkan pasca KHIDMAH. KHIDMAH merupakan program kemasyarakatan yang dianjurkan pada 21hb September 2013 yang lalu, secara bersama oleh Pejabat Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang, Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA dan Surau Al-Kahfi Pinggiran Batu Caves.

Melalui aktiviti riadhah sebegini, ahli-ahli Unit Pemuda, Haluan Unit Gombak telah dapat membina dan mempereratkan hubungan ukhuwwah yang terjalin sesama dengan remaja-remaja Pinggiran Batu Caves. Semoga hubungan yang telah terbina hasil penyertaan mereka di dalam KHIDMAH tempoh hari, akan dapat terus disuburkan terutamanya melalui siri aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan secara berkala kelak, insyaAllah.

Isnin, 23 September 2013

Forum Perdana menutup tirai KHIDMAH 2013


BATU CAVES 21 September 2013 – Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA, bersama-sama dengan Pejabat Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang dan Surau Al-Kahfi Pinggiran Batu Caves telah menganjurkan suatu program khidmat kemasyarakatan, bertempat di Surau Al-Kahfi Pinggiran Batu Caves.
Forum Perdana
Program khidmat kemasyarakatan tersebut atau KHIDMAH 2013 telah dianjurkan untuk membolehkan HALUAN MALAYSIA memberi perkhidmatan-perkhidmatan yang berasaskan pendidikan dan kebajikan kepada pengunjung-pengunjung KHIDMAH 2013 serta penduduk di sekitar Pinggiran Batu Caves. 

KHIDMAH 2013 adalah terjemahan daripada moto HALUAN MALAYSIA iaitu “Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.” Maka dengan itu pelbagai program dan aktiviti yang berbentuk pendidikan dan kebajikan telah dilaksanakan sepanjang KHIDMAH 2013.  Di antaranya ialah kuliah subuh, motivasi pelajar rendah, motovasi pelajar menengah, pemeriksaan kesihatan, nasihat guaman, sukan persahabatan dan forum perdana.

Bagi lebih memperkenalkan HALUAN MALAYSIA kepada pengunjung KHIDMAH 2013, maka suatu slot khas telah diadakan di antara solat Maghrib dan Isyak, bertempat di Surau Al-Kahfi. Melalui slot itu, penerangan telah dibuat berkenaan dengan HALUAN MALAYSIA.

Sesi penerangan tersebut telah dilakukan oleh Mohd Hafiizh bin Mohd @ Ghazali yang merupakan Exco, Biro Khidmat Guaman, HALUAN MALAYSIA. Beliau telah menjelaskan mengenai aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dilakukan oleh HALUAN MALAYSIA bagi sepanjang tahun 2013 ini, termasuklah aktiviti remaja dan belia, misi-misi kemanusiaan dan sebagainya. Selain itu, beliau juga telah turut berkongsi beberapa kisah kejayaan HALUAN MALAYSIA yang terkini seperti pengislaman saudara-saudara baru di Sabah iaitu dari kalangan masyarakat Bajau Laut dan lain-lain.

Aktiviti terakhir bagi KHIDMAH 2013 ialah forum perdana, yang bertajuk “Ibrah kisah pemuda-pemudi di dalam al-Quran.” Ia telah disampaikan oleh Tuan Haji Noorazman Bin Haji Mohd Samsuddin iaitu seorang aktivis HALUAN MALAYSIA, dan Ustaz Shahrul Hizam Bin Mokhtar, pensyarah di Kolej Darul Hikmah, Kajang. Forum tersebut telah dipengerusikan oleh Ustaz Azhari Bin Johari dari Biro Pemuda, HALUAN MALAYSIA.

Ustaz Shahrul Nizam
Ustaz Shahrul Nizam selaku ahli panel yang pertama, telah berjaya membangkitkan kesedaran di kalangan para peserta forum tentang serangan-serangan akidah dan akhlak yang sedang mengancam pemuda dan pemudi Islam pada masa kini. Katanya, “Kita takut anak-anak yang telah kita pelihara dan didik mereka dengan baik sejak dari kecil hingga belasan tahun lamanya, tetapi kemudiannya bertindak dengan tindakan-tindakan yang tidak mencerminkan akidah dan akhlak Islam yang sebenar.”

Tuan Haji Noorazman Mohd Samsuddin
Begitu juga dengan Tuan Hj Noorazman selaku ahli panel yang kedua. Beliau banyak mengaitkan kisah-kisah pemuda di dalam Al-Quran dengan kaedah pendidikan Islam yang sebenar hingga para peserta forum tersebut kelihatan terdorong untuk melaksanakan pendidikan Islam di dalam keluarga, bermula daripada pengislahan terhadap diri sendiri masing-masing. Kata Tuan Haji Noorazman, “Maka Islamlah yang menjadi penyelesaian kepada semua permasalahan pemuda dan pemudi kita. Kembalilah kepada Islam dan pendidikan Islam, nescaya kita akan dapat mengukuhkan akhlak dan akidah pemuda dan pemudi generasi pewaris masa hadapan kita kelak.”

Forum tersebut telah disempurnakan dengan penyampaian cenderamata kepada pengerusi dan ahli-ahli forum oleh Tuan Haji Zulkifli Bin Majid selaku Pengerusi Surau Al-Kahfi.

Dengan berakhirnya forum perdana tersebut beerti KHIDMAH 2013 telah melabuhkan tirainya. 

Seramai lebih kurang 14 orang dewasa telah memohon untuk menjadi relawan HALUAN MALAYSIA. Selain itu, 21 orang pelajar sekolah menengah dan 18 orang pelajar sekolah rendah juga telah memohon untuk menjadi ahli Kelab Remaja Haluan (KeARAH). Kesemua mereka akan ditawarkan untuk mengikuti aktiviti-aktiviti HALUAN MALAYSIA yang akan disusun dari masa ke semasa kelak.

Ketika ditemui selepas berakhirnya forum perdana tersebut, Muhd Ridha Bin Abdul Ghani selaku pengarah KHIDMAH 2013 telah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga terhadap Pejabat Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang dan Surau Al-Falah Pinggiran Batu Caves atas kerjasama yang telah diberikan ke arah menjayakan KHIDMAH 2013 ini.