Khamis, 23 Disember 2010

Golongan manusia

        Berusahalah, agar kita tergolong dalam golongan yang sukar dikuasai iblis. Sepertimana yang dikisahkan oleh Wahab Bin Munabbih dalam pertemuan di antara Nabi Yahya bin Zakaria as denan Iblis, dan ditanyakan kepada Iblis, “Ceritakan kepadaku tabiat perangai manusia menurut pandangan kamu.” Maka Iblis menjawab, “Golongan pertama dari manusia ialah dari seperti kamu ini, mereka ini terpelihara (dari kejahatan dan dosa). Golongan kedua ialah mereka yang berada di dalam genggaman kami sebagaimana bola berada di tangan anak-anak kamu, mereka menyerah diri bulat-bulat kepada kami. Manakala golongan yang ketiga pula ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai. Kami menemui salah seorang dari mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai hajat kami, tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan istighfar itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak berputus asa untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami tercapai.”

Proses Pembersihan Hati

Pendahuluan

Di dalam kehidupan ini, insan sentiasa bertarung dengan dirinya sendiri. Ada kalanya ia menang, dan ada kalanya ia kecundang. Ia tetap dalam pertarungan sedemikian, hinggalah ajal maut menjemputnya. Firman Allah, “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah Asy-Syams 91:7-10).

Ayat di atas membahagikan manusia kepada dua golongan, iaitu pertamanya, ialah golongan yang mengikut hawa nafsu. Sebagaimana juga yang difirmankan Allah, “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmuNya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya, dan meletakkan tutupan atas penglihatanny? Maka mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?” (Surah Al-Jaathiyah 5:23).

Keduanya, ialah golongan yang bermujahadah dan bertarung menentang hawa nafsunya. Ada kalanya mereka kalah dalam pertarungan itu, tetapi mereka sedar, insaf, bertaubat dan memohon keampunan dari Allah. Firman Allah juga, “ Dan orang-orang yang mengerjakan perbuatan keji dan menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa melainkan Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedangkan mereka mengetahui.” (Ali-Imran 3:135).

Realiti manusia melakukan dosa masakini – terlalu ramai manusia bergelumang dengan dosa. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu keni’matan. Hawa nafsu menjadi ganas. Hati manusia cinta kepada ma’siat. Hati manusia semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Bahkan hati menolak ubat dan sukakan penyakit, sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.

Penyakit-penyakit hati

Terdapat beberapa penyakit-penyakit hati, di antaranya adalah seperti berikut :

  1. Mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala;
  2. Ingin atau cenderung untuk melakukan amalan yang berdosa kepada Allah swt;
  3. Lalai, tidak mengambil berat atau malas terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah swt kepada hamba yang muslim;
  4. Tidak mengendahkan atau memandang kecil hukum-hakam Allah swt, sebaliknya memuliakan hukum hakam manusia;
  5. Tidak bergantung harap kepada Allah swt, sebaliknya bergantung harap kepada selain daripada Allah swt;
  6. Takut kepada makhluk melebihi takut kepada Allah swt;
  7. Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji Allah swt terhadap hamba-hambanya yang beriman, dan juga terhadap amaran-amaran Allah swt terhadap hamba-hambaNya yang menderhaka;
  8. Menghina dan meremehkan orang yang Allah swt kasihi;
  9. Tidak bersungguh dan istiqamah dalam proses pembangunan diri atau tarbiyah; dan
  10. Memandang negatif terhadap aktiviti-aktiviti atau program-program da’wah dan tarbiyah.
Proses rawatan hati

Tidak ada ubat yang dapat mengubati penyakit-penyakit hati melainkan ubat yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Janganlah kita berusaha mencari ubat-ubat yang lain. Tidak akan sembuh penyakit-penyakit itu melainkan dengan ubat yang telah digunakan oleh Baginda saw. Terdapat beberapa kaedah rawatan, seperti yang dinyatakan di bawah ini.

Kaedah rawatan 1 : Mengubati penyakit hati menggunakan ubatnya yang sebenar

Untuk mengubati sesuatu penyakit, perlu terlebih dahulu kita mengenal jenis penyakit tersebut. Ubat yang mujarab ialah apa yang berlawanan dengan penyakit yang menyerang hati manusia.

Thabit bin Qurrah berkata, “Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.”

  1. Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah swt, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah swt;
  2. Jika penyakit itu sukakan amalan berdosa, ubatnya ialah mendidik hati agar membenci amalan itu dan bertaubat kepada Allah swt;
  3. Jika penyakit hati sukakan kelalaian, tidak mengambil berat atau malas terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah swt, maka ubatnya sentiasa sedar dan bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab tersebut;
  4. Jika penyakit hati itu tidak mengendahkan atau memandang kecil hukum-hakam Allah swt dan memuliakan hukum-hakam manusia, maka ubatnya mengambil berat dan merasa izzah dengan hukum hakam Allah swt;
  5. Jika penyakitnya berharap dan takut kepada makhluk, maka ubatnya berharap dan takut kepada Allah swt; dan
  6. Jika penyakit memandang negatif kepada terhadap aktiviti-aktiviti dan program-program da’wah dan tarbiyah, maka ubatnya kita ialah bersikap positif.
Asas bagi pengubatan hati ialah kembali kepada Allah swt dengan menguatkan iman dan ketaqwaan kepadaNya.

Kaedah rawatan 2 : Tarbiyah dzaatiyah

Tarbiyah dzatiyah ialah pembangunan diri yang direncanakan untuk diri sendiri. Sebagai contohnya :

  1. Melakukan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, puasa dan sebagainya;
  2. Bertaubat. Taubat bermakna kembali kepada Allah swt, peraturanNya dan hukumNya, membuang dan mengosongkan hati daripada perkara-perkara buruk yang merosakkan hati, menutup hati daripada kejahatan dan membuka hati kepada kebaikan, beristighfar kepada Allah swt sambil memurnikan tauhid kepadaNya;
  3. Berzikir, tilawah Al-Qur’an dan berdoa;
  4. Melakukan ibadah-ibadah umum yang lain seperti melakukan aktiviti-aktiviti ilmu dan juga berfikir, contohnya membaca buku-buku fikrah Islamiyah, mengikuti kelas-kelas ilmu, memikirkan keagungan dan kebesaran Allah swt dengan melihat ciptaan-ciptaanNya, memelihara kesihatan dan kecergasan diri dan sebagainya.
Kaedah rawatan 3 : Berjihad melawan hawa nafsu

Dalam suatu hadith, Rasulullah saw bersabda, “Seorang mujahid itu ialah orang yang berjihad melawan nafsunya di jalan Allah.” (Riwayat Muslim).

Imam Ibn Qayyim adalah menjelaskan bahawa jihad melawan hawa nafsu terbahagi 4 peringkat, iaitu :

  1. Berjihad melawan hawanafsu untuk mencari ilmu;
  2. Berjihad melawan hawanafsu untuk beramal dengan ilmu;
  3. Berjihad melawan hawanafsu untuk menyampaikan ilmu kepada manusia (berda’wah, mengajar dan mentarbiyah); dan
  4. Berjihad melawan hawanafsu untuk bersabar dalam berda’wah.
Kaedah rawatan 4 : Istiqamah dengan program-program tarbiyah

Di antara program-program tarbiyah yang dianjurkan ialah :

  1. Liqa’, usrah atau halaqah;
  2. Mukhayyam atau perkhemahan;
  3. Katibah atau qiyamulail;
  4. Rehlah atau musafir;
  5. Nadwah atau seminar; dan
  6. Daurah atau kursus.
Penutup

Ulamak telah menggariskan dua sendi-sendi kekuatan untuk memerangi hawa nafsu.

Pertamanya ialah hati, sebagaimana yang disabdakan Rasulullah saw, “Dan ketahuilah pada setiap jasad itu ada seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keduanya, ialah akal, sebagaimana juga disabdakan Rasulullah saw, “Tidaklah beruntung seseorang lelaki (dengan satu pemberian) dibandingkan dengan kelebihan kurniaan akal yang dapat membimbing pemiliknya kepada petunjuk dan menahannya dari perkara yang buruk.” (Riwayat Mujbir).

Berusahalah, agar kita tergolong dalam golongan yang sukar dikuasai iblis. Sepertimana yang dikisahkan oleh Wahab Bin Munabbih dalam pertemuan di antara Nabi Yahya bin Zakaria as denan Iblis, dan ditanyakan kepada Iblis, “Ceritakan kepadaku tabiat perangai manusia menurut pandangan kamu.” Maka Iblis menjawab, “Golongan pertama dari manusia ialah dari seperti kamu ini, mereka ini terpelihara (dari kejahatan dan dosa). Golongan kedua ialah mereka yang berada di dalam genggaman kami sebagaimana bola berada di tangan anak-anak kamu, mereka menyerah diri bulat-bulat kepada kami. Manakala golongan yang ketiga pula ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai. Kami menemui salah seorang dari mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai hajat kami, tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan istighfar itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak berputus asa untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami tercapai.”

Diadaptasikan dari http://halaqahmuntijah.wordpress.com/2010/12/17/proses-pembersihan-hati/.

Isnin, 8 November 2010

Terima kasih Ya Allah

Tafsir al-Burhan Edisi Al-Ahkam menulis, “Ketika mendapatkan suatu nikmat apapan, maka kalimah pertama yang seharusnya keluar dari mulut seorang muslim adalah ‘Alhamdulillah’. Ucapan itu merupakan perlambang rasa syukur seorang manusia kepada Allah Ar-Razzaq (Sang Pemberi Rezeki), Al-Wahab (Yang Maha Pemberi tanpa imbalan). Seolah kalimah itu mewakili kata ‘terima kasih Ya Allah!"

Jabir ra meriwayatkan sabda Rasul saw, “Sebaik-baik zikir adalah Laa ilaaha illa Allah (tiada Tuhan selain Allah) dan sebaik-baik doa adalah Alhamdulillah (segala puji bagi Allah).” Hadith riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi. Al-Abani menganggapnya hasan.

Ahad, 7 November 2010

Pengertian Iman

Suatu hadith, bahawa Rasulullah saw bersabda, “Iman itu bukan dengan tamanni (banyak berangan) dan bukan pula dengan tahalli (banyak berbuat); iman adalah apa yang menetap dalam hati dan dinyatakan oleh amal perbuatan.” (Hadith riwayat Ibn Najjar dan ad-Dailami).

Jumaat, 5 November 2010

Ujian Ilahi

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah: 155-157)

Khamis, 4 November 2010

Bekalan iman dan taqwa

Kata Ustaz Umar Tilmisani, “Dakwah itu bersifat akidah salafi, realiti dalam pengamalan, ruhani dalam perilaku dan mengikuti Muhammad saw dalam pengamalan. Ia belum (tidak sepatutnya) tercemar oleh syubhat pembaharuan, tidak rela pada kecenderungan kebaratan, dan manhajnya ialah al-Quran.”

Firman Allah, “Sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka ikutilah ia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana jalanitu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.” (Al-An’aam : 153).

Sebagai manusia, kita hendaklah sedar bahawa hidup kita keseluruhannya merupakan suatu perjalanan atau musafir. Sebagai seorang musafir, adalah penting untuk kita menyediakan pada diri kita bekalan yang secukupnya, supaya dengan bekalan itu kita mampu sampai kepada tujuannya yang sebenar. Apatah lagi sebagai seorang aktivis, nescaya lebih memerlukan bekalan yang banyak kerana perjalanan sebagai pendakwah boleh meletihkan.

Syeikh Mustafa Masyhur pernah mengibaratkan bekalan pada diri seseorang itu sebagai bahan api yang menggerakkan kenderaan. Katanya, “Bila kenderaan yang digunakan musafir kehabisan bahan bakar di tengah perjalanan dan tidak ada bahan bakar bekalan, maka kenderaan itu tidak ubah seperti sepotong besi yang tidak dapat membantu musafir itu meneruskan perjalanannya walau hanya selangkah. Demikian juga aktivis yang menapaki jalan dakwah, bila bekal keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah berkurangan atau bahkan habis dan tiada pembaharuan dan penambahan, maka aktivis itu tidak ubah seperti bangkai yang telah beku, atau orang sakit yang tidak mampu bergerak.”

Firman Allah, “Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap-gelita yang sekali-kali tidak dapat keliuar daripadanya?” (Al-An’aam : 122).

Apakah peranan yang dimainkan oleh iman dan taqwa dalam membimbing perjalanan kita? Sesunguhnya iman dan taqwa kepada Allah dapat memancarkan sumber-sumber kebaikan dari dalam hati, melahirkan potensi besar, memupuk dan mempertajamkan tekad dan kemahuan. Hasilnya gerakannya menjadi lancar, tarikan-tarikan dunia melemah, dapat mengatasi pelbagai rintangan dan halangan, dan memperjelaskan haluan jalan dan arah.

Iman dan taqwa juga boleh melahirkan sifat-sifat mulia seperti jujur, tulus, ikhlas, kuat tekad dan teguh jiwa. Maka sifat-sifat ini pula akan menghasilkan prestasi-prestasi hebat di jalan dakwah. Malah, Syeikh Mustafa Masyhur membandingkannya dengan mukjizat!

Malah, yang tidak kurang pentingnya, keimanan dan ketaqwaan boleh memperteguhkan jiwa dan perasaan kita. Hinggakan kita dapat merasai bahawa Allah ada dalam setiap saat dalam kehidupan kita. Juga menyertai setiap langkah, gerak dan diam kita. Sesiapa yang dapat merasai nikmat ini, maka ia tidak akan berasa kekurangan sedikitpun.

Firman Allah swt, “Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kami bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu-dayakan. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang membuat kebaikan.” (An-Nahl : 127-128).

Bagaimanakah pula caranya kita mempertambahkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri, lantas dengan itu memperbanyakkan bekalan kita? Syeikh Mustafa Masyhur telah menganjurkan pelbagai cara dan kaedah, yang antaranya ialah seperti berikut :


  1. Berinteraksi dengan al-Quran;

  2. Merenungkan ciptaan Allah;

  3. Merenungkan nikmat Allah;

  4. Memikirkan hal ghaib yang pasti datang;

  5. Merenungkan hari akhir;

  6. Mengambil pengajaran dari sirah;

  7. Mengambil bekalan-bekalan penting dari ibadat-ibadat solat, puasa, zakat haji, qiyamullail, zikir dan doa;

  8. Mengikuti sunnah;

  9. Melakukan jihad;

  10. Melaksanakan dakwah;

  11. Bersahabat dengan sahabat-sahabat yang baik; dan

  12. Melakukan amal-amal solih yang lain.

Jumaat, 13 Ogos 2010

Balasan orang yang beriman

"Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan Syurga itu, mereka berkata: Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk mereka dalam Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya." (Al-Baqarah : 25).

Selasa, 10 Ogos 2010

Kelebihan Ramadhan

Hadith-hadith Rasulullah saw tentang kelebihan bulan Ramadhan :

  • Dari Abu Hurairah ra, ia berkata, “Rasulullah saw pernah bersabda, ‘Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.”
  • Sabda Nabi saw, “Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan beriman dan mengikuti perintah Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang akan datang.”
  • Rasulullah saw bersabda, “(Bulan Ramadhan) adalah bulan yang pertamanya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan akhirannya adalah kebebasan dari neraka.”
  • Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda, “Dalam bulan Ramadhan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka.”
  • Begitu juga sabda Nabi saw, “Dalam bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu syaitan-syaitan.”
  • Sabda Nabi saw, “Di dalam bulan Ramadhan, terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu malam. Barang siapa yang tidak melakukan kebaikan di dalamnya maka ia benar-benar tidak melakukan kebaikan.”

Isnin, 9 Ogos 2010

Istiqomah dan fokus

Firman Allah swt :

رِجَالٌ لََّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوةِ وَإِيتَاءِ ٱلزَّكَاةِ

يَخَافُونَ يَومًا تَتَقَلَّبُ فِيْهِ ٱلقُلُوبُ وَٱلأَبْصَارُ ❊

“Laki-laki (yang kuat imannya) yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat dan memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” (An-Nuur : 37)

Peribadi yang terhasil dari proses tarbiyah ialah mereka yang istiqamah dan fokus dengan deennya.

Ahad, 8 Ogos 2010

Ramadhan Bulan Tarbiyah

Firman Allah swt :

يَأَيُّهَا ٱلَّذِيْنَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ❊

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas umat-umat sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183).

Sesungguhnya bulan Ramadhan penuh dengan nilai pendidikan, sehingga dinamakan (شَهْرُ ٱلتتَّرْبِيَّةِ) iaitu bulan tarbiyah atau bulan penggembelengan peribadi-peribadi muslim agar menjadi peribadi-peribadi muttaqin. Itulah madrasah penuh berkah di bulan mulia.

Sabtu, 7 Ogos 2010

Keutamaan Ramadhan

Firman Allah swt :

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِِِى أُنْزِلَ فِيْهِ ٱلْقُرَْءَانُ هُدًا لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ ٱلْهُدَى وَالْفُرْقَانِ ❊

“Bulan Ramadhan (adalah) bulan yang didalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan tentang pentunjuk itu dan furqan (pembeza di antara yang haq dan yang batil).” (Al-Baqarah [2] : 185).

Menurut riwayat Ahmad dari Abu Hurairah ra, ia mengatakan bahawa Rasulullah saw sentiasa menanti-nanti kedatangan bulan Ramadhan dengan memberikan berita gembira kepada sahabat-sahabat Baginda, dengan sabdanya yang bermaksud :

“Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah memfardhukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibukakan segala pintu syurga, dikunci segala pintu neraka dan dibelengu seluruh syaitan. Padanya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tiada diberikan kepadanya kebaikan malam itu, maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebaikan.”

Jumaat, 6 Ogos 2010

Balasan kepada mujahid

Firman Allah swt :

إِنَّ اللهَ ٱشْتَرَى مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِى سَبِيْلِ اللهِ فَيُقْتَلُونَ وَيُقْتَلُونَ

وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِِي ٱلتَّوْرَـةِ وَٱلإِنْجِيْلِ وَٱلْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ ے مِنَ اللهِ

فَٱسْتَبْشِرُواْ بِبَيْعِكُمُ ٱلَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ے وَذَلِگ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلعَظِيْمُ ❊

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman aka jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa merea akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya dari Allah. Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenanga yang besar. (At-Taubah [9] : 111).

Khamis, 5 Ogos 2010

Jalan amal Islami

Firman Allah :

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيْبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوَْكَ وَلـَكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ ٱلشُّقَّةُ

وَسَيَحْلِفُونَ بِاللهِ لَوِٱسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُوْنَ أَنْفُسَهُمْ وَاللهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُوْنَ ❊

Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka akan mengikutimu; tetapi tempat yang hendak dituju itu amat jauh terasa oleh mereka, dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata : ‘Jikalau kami sanggup tentulah kami akan berangkat bersama-samamu.’ (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggup mengikutmu).” (At-Taubah [9] : 42).

Bahawa salah satu tanda-tanda kemunafikan ialah merasakan tugasan-tugasan amal Islami sebagai sesuatu yang sangat membebankan, dan sering memberikan pelbagai alasan dusta untuk tidak melakukannya.

Juga bahawa jalan-jalan amal Islami adalah suatu yang panjang dan sukar, dan yang hanya dapat diikuti oleh jiwa-jiwa yang suci dan yang disucikan melalui proses tarbiyah yang sebenar.

Rabu, 4 Ogos 2010

Fitnah Kelengahan

Allah berfirman :

وَالّذِيْنَ كَفَرُواْ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُن فِتْنَةٌ فِي ٱلأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ ❊

“Dan orang-orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain. Jika kalian (hai para Muslimin) tidak melaksanakan apa yang diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Al-Anfal [8] : 73).

Kelengahan dalam membuat tindakan (amal Islami) akan memberi ruang kepada pada musuh Islam untuk bergerak secara berleluasa, yang hanya akan menghasilkan fitnah dan kerosakan besar di muka bumi ini.

Selasa, 3 Ogos 2010

Diin itu Nasihat

Hadith :

عَنْ تَمِيم الدَّارِيِّ أََنََّ النَّبِيِّ صَلَّی الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

اَلدِّيِنُ النَّصِيْحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِله وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلِأَءِمَّتِهِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِ

Dari Tamim ad-Dari, Nabi saw bersabda, “Ad-Diin adalah nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa?” Rasul menjawab, “Untuk Allah, kitabNya, RasulNya, untuk pemimpin Islam dan umatnya.”

(Hadith Riwayat Imam Muslim, Imam Abu Dawud dan Imam An-Nasa’i).

        Yang dimaksudkan dengan nasihat untuk Allah ialah mentauhidkan Allah, menyifatiNya dengan segala sifat Kamal (sempurna) dan Jalal (perkasa), serta menyucikannya dari segala kemusyrikan. Ikhlas kepada Allah dalam beramal, menjauhi kemaksiatan, mentaati dan mencintaiNya serta berjihad terhadap golongan manusia yang mengingkariNya.

        Nasihat kepada Rasululhhan saw pula bermaksud meneladani Rasulullah saw dan segala yang datang darinya. Termasuk di dalamnya adalah mencintai, menghormati, menghidupkan sunnahnya, menyebarkan ilmunya, mencintai orang yang mencintainya, membenci dan memerangi orang yang membenci serta memerangi Rasulullah saw, mencontohi akhlaknya, mengikuti adapnya, serta menyintai keluarga dan sahabatnya.

        Nasihat kepada para pemimpin umat Islam pula bermaksud membantu mereka dalam kebenaran dan mentaati mereka dalam kebaikan. Termasuk di dalamnya ialah mengingatkan dan menyedarkan mereka dengan penuh kelembutan dan penghormatan ketika lalai dan salah, serta mendoakan kebaikan bagi mereka.

        Adapun nasihat kepada umat Islam pula bermakna mengajarkan mereka ajaran Islam dan membimbing mereka, menutupi aib umat Islam, mencintai mereka seperti mencintai diri sendiri, membenci keburukan atas mereka seperti yang dirinya membenci keburukan, serta mendoakan kebaikan kepada mereka di dunia dan akhirat. Selain itu, nasihat tadi meliputi pula menyingkirkan segala hal yang membahayakan umat Islam, mengutamakan kaum fakir, mengajarkan Islam kepada mereka yang belum faham, menyedarkan kesalahan mereka dengan penuh kelembutan, serta menolong mereka dalam kebaikan dan takwa.

Isnin, 2 Ogos 2010

Kehidupan itu pertempuran

Firman Allah swt :

يَاَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا ارْكَعُوٱ وَيْسْجُدُوٱ وَاعْبُدُوٱ رَبَّكُمْ وَفْعَلُوآ الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ❊

“Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah kalian, sujudlah alian, sembahlah Rabb kalian dan perbuatlah kebajikan, supaya kalian mendapat kemenangan.” (Surah al-Hajj [22] : 77)

Bahawa kehidupan ini adalah pertempuran di antara kebenaran dan kebatilan, dan ganjaran kepada kemenangan dalam pentempuran itu ialah kebaikan hidup di dunia dan akhirat.

Ahad, 1 Ogos 2010

Kerugian dan Keberuntungan Hidup Manusia

Pesanan Allah tentang perihal kerugian dan keberuntungan hidup manusia :

وَٱلْعَصْرِ ❊ إِنَّ ٱلْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ ❊ إِلَّا ٱلَّذِيْنَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّالِحَاتِ وَتَوَا صَوْا بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ❊

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang yang beriman, mengerjakan amal saleh, dan nasihat-menasihati dengan kebenaran serta nasihat menasihati dengan kesabaran.” (Al-‘Ashr [103] : 1-2).