Isnin, 21 Julai 2008

Kaedah-kaedah mengubati penyakit hati

Penyakit-penyakit hati timbul akibat daripada kelalaian kita untuk mempertahankan keimanan, termasuklah lalai dalam mengingati Allah atau melakukan dosa-dosa. Dengan terhinggapnya penyakit-penyakit hati di dalam diri kita, kita akan merasa malas dan berat untuk mentaati Allah dan hilang keyakinan kepada janji-janji Allah.

Jika kita mempunyai penyakit-penyakit hati ini, kita mestilah mengubatinya segera agar ia tidak merebak. Pada peringkat awal, penyakit ini akan melemahkan jiwa seperti mana racun melemahkan tubuh. Tetapi jika tidak dikawal atau dibendung, penyakit-penyakit hati boleh merosakkan jiwa, malah mematikannya, na'uzu billah.

Lantas itu, ubatilah penyakit-penyakit hati dengan melakukan amal-amal soleh seperti membaca al-Quran, mengingati mati dan sebagainya. Kaedah-kaedah untuk mengubati penyakit ini amatlah banyak, sebanyak pula jalan-jalan untuk mengakibatkan hati terjangkit dengannya.

Ibnu al-Qayyim al-Jauzi menyimpulkan tentang kaedah-kaedah melawan penyakit hati ini seperti berikut :
  • Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah;
  • Jika penyakit itu ialah melakukan amalan berdosa, ubatnya ialah meninggalkan amalan-amalan berdosa itu dan seterusnya bertaubat kepada Allah;
  • Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diberikan Allah, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab tersebut;
  • Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara yang disukai Allah, ubatnya ialah mengambil berat suka redha dan cinta terhadapnya; dan
  • Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah, maka ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah swt dalam semua hal kehidupan.
Bacaan lain :
Konflik di antara dua tarikan
Suluhan hati yang bersih

Tiada ulasan: