Qadhiyyah (permasalahan) yang asasi
Al-Qur'an al-Karim diturunkan kepada Rasulullah saw di tahap Makkah dalam masa 13 tahun memperkatakan tentang qadhiyyah yang satu dan tidak pernah berubah-ubah walaupun cara pembentangannya berbeza-beza. Ini kerana, uslub al-Qur'an al-Karim, apabila membentangkan qadhiyyah itu, seolah-olah ia sentiasa dalam keadaan baru seperti kali pertama disentuh.
Sesungguhnya al-Qur'an al-Karim telah mengubati qadhiyyah yang paling utama, terbesar dan asas di dalam din Islam, iaitu Qadhiyyah 'Aqidah.
Juga al-Qur'an al-Karim memperkatakan tentang hakikat manusia. Ini kerana manusia arab di zaman itu adalah sama dengan manusia arab di zaman-zaman yang lain dan juga sama dengan manusia 'ajam (bukan arab).
Hakikat ini tidak berubah, kerana ia merupakan qadhiyyah kewujudan manusia di alam ini, kesudahannya, hubungan manusia dengan alam dan juga hubungannya dengan Pencipta alam ini.
Al-Qur'an al-Karim yang ditanzilkan di tahap Makkah mengemukakan persoalan-persoalan : Siapakah manusia? Dari mana ia datang? Mengapa ia datang? Ke mana ia akan pergi? Siapakah yang mendatangkannya? Siapakah yang membawa ia pergi? Dan apakah kesudahannya? Juga mengemukakan persoalan-persoalan : Apakah hakikat kewujudan ini? Siapakah Penciptanya?, Siapakah Pentadbirnya? Bagaimana manusia berurusan dengan Pencipta alam ini? Dan bagaimana ia berurusan dengan alam dan manusia lain seluruhnya?
Demikianlah selama 13 tahun di tahap Makkah, al-Qur'an al-Karim tidak menyentuh persoalan yang berkaitan dengan sistem hidup melainkan setelah qadhiyyah asasiyyah ini telah jelas dan bertapak di dalam jiwa 'usbah (kumpulan) pilihan di kalangan manusia ini (generasi awal Islam). Ini merupakan penentuan Allah swt bahawa din Islam hanya akan tertegak berasaskan hati dan jiwa yang sedemikian sifatnya. Hati dan jiwa itulah yang akan memikul tanggungjawab bagi membangunkan sistem Allah swt.
Kehendak Allah swt menentukan bahawa qadhiyyah aqidah adalah qadhiyyah yang diketengahkan oleh dakwah Islamiyyah semenjak hari pertama lagi kerasulan Nabi Muhammad saw. Da'wah baginda mengajak manusia bersyahadah dengan kalimah syahadah (tiada ilah melainkan Allah). Serta memperkenalkan Rabb yang sebenar dan mengajak manusia memperhambakan diri hanya kepadaNya semata-mata.
Orang Arab pada ketika itu telah faham definisi ilah dalam kalimah syahadah. Mereka faham bahawa uluhiyyah itu bererti kuasa tertinggi. Mereka mengerti bahawa mentauhidkan Allah swt dan mengesakanNya dengan kekuasaanNya tertinggi itu bererti mencabut kekuasaan yang selama ini tertanam di dalam sistem mereka yang dipegang oleh para pendita, ketua suku, umara', hakim dan seluruh pembesar. Seterusnya, mengembalikan kekuasaan tersebut kepada Allah swt. Mereka sedar bahawa kalimah syahadah adalah suatu pemberontakan terhadap kekuasaan bumi dan undang-undang manusia. Mereka benar-benar faham akan implikasi daripada kalimah syahadah terhadap peraturan, kepimpinan dan kekuasaan mereka. Kerana itulah mereka menyambut dakwah ini dengan tentangan yang keras dan peperangan demi peperangan.
Kenapakah qadhiyyah ini yang menjadi titik tolak dakwah Rasulullah saw dan para Rasul sebelumnya? Apakah hikmah Allah swt mengkehendaki bahawa dakwah mesti bermula dengannya?
Jalan nasionalisma
Rasulullah saw telah diutuskan oleh Allah swt untuk membawa din Islam ketika mana bahagian Semenanjung Arab yang kaya dan subur tidak berada di bawah kekuasaan Arab tetapi di bawah kekuasaan Rumawi yang mana diperintahkan oleh amir-amir Arab sebagai wakil kepada pihak Rumawi. Begitu juga seluruh negeri Yaman tunduk di bawah kekuasaan Farsi yang mana diperintah oleh amir-amir Arab sebagai wakil kepada pihak Farsi. Kawasan yang benar-benar berada di bawah kekuasaan Arab hanyalah Hijaz, Thamah, Haja dan bahagian padang pasir yang berlembah di sana sini sahaja.
Mungkin ada orang mengatakan bahawa Muhammad saw sebagai orang yang benar lagi amanah serta baginda pernah dilantik menjadi hakim oleh para pembesar Quraisy di dalam peristiwa perletakan semula Hajar al Aswad dan keputusan baginda memuaskan hati semua pihak. Dan, semenjak 15 tahun sebelum perutusan sebagai Rasul, baginda telah berada di puncak Bani Hasyim yang dipandang mulia. Dengan keadaan dan kedudukan itu maka tentulah baginda mampu untuk meniupkan semangat nasionalisma Arab bagi menyatukan qabilah-qabilah Arab yang telah di pecahkan dengan persengketaan dan permusuhan, untuk merebut kembali tanah-tanah mereka yang telah dirampas oleh penjajah Rumawi dan Farsi. Sekaligus baginda boleh mengibarkan bendera Arab dan meniupkan fahaman Arabisma serta membangunkan persatuan nasional Arab di seluruh Semenanjung Tanah Arab ketika itu.
Mungkin juga ada orang mengatakan sekiranya Rasulullah saw mengajak dengan seruan tersebut nescaya akan disahuti oleh seluruh bangsa Arab. Oleh itu sudah tentu baginda tidak akan menanggung kesusahan selama 13 tahun.
Mungkin juga ada orang mengatakan, setelah bangsa Arab menyahut seruan baginda dalam bentuk itu, setelah mereka melantik baginda serta menyerahkan pimpinan dan kekuasaan kepada baginda dan setelah terkumpul sepenuh kepimpinan dan kekuasaan di tangan baginda, maka wajar baginda mempergunakan kesempatan itu bagi menerapkan aqidah tauhid dengan tujuan untuk memperhambakan manusia kepada kekuasaan Allah swt, selepas baginda memperhambakan mereka itu kepada kesultanan baginda sendiri (kekuasaan manusia).
Tetapi Allah swt yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana tidak mengarahkan RasulNya mengikut begitu. Hanya Allah swt memerintah Rasulullah saw berterus terang dengan seruan tauhid yang tegas melalui kalimah syahadah. Dan baginda bersabar serta menanggung berbagai kesusahan bersama dengan sejumlah kecil pengikut-pengikut baginda.
Sesungguhnya Allah swt tidak bermaksud membiarkan RasulNya serta para Mu'minin menderita dengan kesusahan, tetapi Allah swt Maha Mengetahui bahawa jalannya bukan dengan cara membebaskan bumi ini daripada kekuasaan taghut Arab, sedangkan taghut itu adalah sama sahaja. Bumi ini kepunyaan Allah swt, maka mestilah bersih untuk Allah swt semata-mata. Ia tidak akan bersih melainkan setelah terjulangnya panji-panji kalimah syahadah di atasnya. Manusia seluruhnya hamba Allah swt, tetapi mereka tidak akan menjadi hambaNya sebenar melainkan setelah terjulangnya kalimah syahadah dengan pengertian : tiada hukum melainkan bagi Allah swt, tiada undang-undang lain melainkan dari Allah swt dan tiada kekuasaan seseorang terhadap seseorang yang lain kekuasaan seluruhnya adalah tertentu bagi Allah swt. Ini kerana rupa bangsa yang telah ditentukan oleh Allah swt untuk manusia adalah rupa bangsa aqidah di mana-mana sahaja, meliputi orang Arab, Rumawi, Farsi dan bangsa-bangsa lain. Semuanya berada di bawah panji-panji Allah swt.
Jalan ekonomi
Seterusnya dilihat pula bahawa Rasulullah saw diutuskan membawa din Islam ketika masyarakat Arab berada di dalam keadaan yang buruk dari segi pengagihan kekayaan. Hanya terkumpul di kalangan mereka yang memiliki harta benda, menguasai perdagangan, bermuamalah dengan riba' yang berlipat ganda, manakala orang ramai tidak memiliki apa-apa kecuali penderitaan dan kelaparan. Mereka yang kaya itu mempunyai kemuliaan dan kedudukan yang tinggi sedangkan masyarakat tidak memiliki harta benda dan kemuliaan.
Mungkin juga ada orang mengatakan, bahawa Nabi Muhammad saw boleh menjulang panji-panji keadilan sosial, meniupkan semangat penentangan terhadap golongan bangsawan, melancarkan seruan ke arah memperbaiki keadaan tersebut dan mengembalikan segala harta benda yang terdapat pada jutawan-jutawan tersebut kepada orang-orang fakir dan papa kedana.
Mungkin juga ada orang yang mengatakan, sekiranya ketika itu Rasulullah saw menyeru dengan seruan tersebut nescaya barisan yang terbanyak akan menyokong seruan baginda.
Mungkin juga ada orang mengatakan setelah Nabi Muhammad saw mendapat sambutan ramai dan mereka melantik baginda sebagai pemimpin dan mengalahkan golongan minoriti, maka barulah baginda mempergunakan kedudukan dan kekuasaan baginda bagi menanamkan aqidah tauhid kepada Allah swt.
Allah swt Maha Mengetahui bahawa itu bukan jalannya. Allah swt mengetahui bahawa keadilan sosial pasti lahir daripada konsep aqidah yang syumul di mana segala perkara dirujukkan kepada Allah swt dengan penuh keredhaan terhadap apa sahaja pengagihan yang telah diputuskan oleh Allah swt. Orang yang diambil dan orang yang mengambil telah memahami bahawa mereka sebenarnya telah melaksanakan satu sistem yang ditentukan oleh Allah swt. Mereka sentiasa mengharapkan kebaikan dunia dan akhirat di dalam ketaatan mereka itu. Maka mereka akan terhindar dari sifat-sifat tamak dan dengki. Urusan mereka tidaklah berjalan dengan pedang, tangkapan dan ugutan. Hati mereka juga tidak akan rosak dan jiwa tidak akan tertekan sepertimana yang telah berlaku di dalam masyarakat jahiliyyah yang tidak menerima kalimah syahadah .
Jalan akhlaq
Di saat kerasulan Nabi Muhammad saw, didapati tingkatan akhlaq dan susila manusia di Semenanjung Tanah Arab berada di tahap yang paling rendah meskipun terdapat hal-hal yang dianggap mulia dari warisan Badawi atau golongan Hunafa' yang masih wujud di dalam masyarakat ketika itu. Kezaliman bermaharajalela. Arak dan judi adalah tradisi yang berleluasa dan menjadi kebanggaan mereka. Begitu juga pelacuran yang beranika bentuk adalah lambang masyarakat tersebut.
Mungkin juga ada orang mengatakan bahawa Nabi Muhammad saw boleh mengistisyarkan dakwah baginda sebagai satu seruan ke arah reformasi yang merangkumi gerakan pemulihan susila (akhlaq), pembersihan masyarakat dan individu.
Mungkin juga ada orang mengatakan bahawa Nabi Muhammad saw setelah bertemu dengan orang-orang berjiwa baik yang merasakan jijik dengan kekotoran masyarakat itu, maka tentulah mereka mudah dipengaruhi untuk menyahut seruan pemulihan dan pembersihan.
Mungkin juga ada orang yang mengatakan jika Rasulullah saw berbuat demikian maka pasti seruannya akan diterima semenjak hari pertama lagi oleh sebilangan besar orarig-orang yang baik susila dan berjiwa luhurnya. Mereka itu akan lebih hampir untuk menerima aqidah Islam dan tidak perlu baginda meniupkan seruan kalimah syahadah, yang telah mencetuskan tentangan hebat sejak permulaannya.
Allah swt Maha Mengetahui bahawa yang demikian itu bukanlah jalannya. Allah swt Maha Mengetahui bahawa akhlaq tidak dapat dibangunkan melainkan di atas asas aqidah yang betul. Aqidahlah yang menentukan neraca dan nilai. Tanpa aqidah, seluruh nilai akan sentiasa terumbang-ambing. Susila yang dibina di atas asas yang lain akan terumbang ambing.
Jalan tauhid
Telah terbukti di dalam sirah bahawa apabila tauhid telah wujud, maka manusia pun memperhambakan diri kepada Allah swt semata-mata. Apabila manusia telah bebas dari kekuasaan manusia dan hawa nafsu, di waktu yang sama apabila kalimah syahadah telah bertakhta di jiwa mereka, maka Allah swt memperlihatkan kehendakNya di mana Semenanjung Tanah Arab bersih daripda kekuasaan Rumawi dan Farsi.
Bukanlah tujuan dakwah Islam untuk mengekalkan kekuasaan Arab, tetapi untuk menegakkan kekuasaan Allah swt di muka bumi. Sesungguhnya bumi pada waktu itu telah dibebaskan daripada kekuasaan taghut Rumawi, taghut Farsi dan taghut Arab seluruhnya. Maka tertegaklah sistem Islam yang adil. Di kala itu jiwa, akhlaq, hati dan ruh telah suci sehingga tidak lagi memerlukan arahan yang banyak untuk meninggalkan ma'siat, bahkan tidak juga memerlukan qisas, hudud dan ta'zir yang telah disyariatkan oleh Allah swt, melainkan amat sedikit yang telah dikenakan hukuman itu.
Ini kerana ar-riqabah (pengawasan) telah wujud dengan teguh di dalam jiwa mereka. Keinginan mereka hanyalah kepada keredhaan Allah swt. Sifat malu kepada Allah swt dan takutkan azab Allah swt telah bertapak teguh di dalam jiwa mereka. Oleh kerana itu seluruh kehidupan mereka berada di puncak kemuliaan.
Hal ini tercapai kerana mereka yang telah menegakkan din Islam dalam bentuk daulah itu, telah terlebih dahulu menegakkan din Islam di dalam jiwa dan kehidupan mereka dalam bentuk aqidah, ibadah, syakhsiyyah dan tingkahlaku. Mereka telah dijanjikan dengan satu janji sebagai ganjaran kerana menegakkan din Allah swt. Janji itu bukanlah janji kekuasaan dan kemenangan di dunia, tetapi janji yang tiada bandingannya iaitu al-Jannah (syurga).
Apabila mereka sabar menempuh segala ujian, jiwa mereka bersih daripada segala kepentingan diri, mereka bekerja bukan mengharapkan balasan duniawi, jiwa mereka bersih daripada pendewaan bangsa, kaum, watan, keluarga dan suku, maka terbuktilah bahawa mereka adalah orang-orang yang beramanah terhadap aqidah Islam. Mereka meletakkan di dalam jiwa mereka bahawa Allah swt sahaja yang berkuasa.
Mereka juga adalah orang-orang yang beramanah terhadap kekuasaan yang berada di tangan mereka. Mereka hanya menggunakan kekuasaan itu hanya untuk Allah swt semata-mata dan berkhidmat untuk dinNya. Ini kerana mereka sedar bahawa kekuasaan datang daripada Allah swt.
Sumber : Asy-Shahid Sayyid Qutb, Maa’lim Fi At-Tariq.
Salinan versi .pdf Risalah Insan boleh dimuaturun dari sini.