Jumaat, 20 Julai 2012

Malam 5 Ramadhan : Panduan Beramal Dalam Ramadhan (Bhg. 3)


13. Qiam Ramadhan (solat tarawih) 
Di antara kegiatan ibadah Rasulullah saw selama bulan Ramadhan ialah ibadah qiamullai, yang kebelakangan ini lebih popular disebut sebagai solat tarawih. Baginda lakukan bersama dengan para sahabat-sahabat Baginda saw.  
Dalam situasi itu riwayat yang sahih menyebutkan bahawa Rasulullah saw solat tarawih dalam 11 rakaat dengan bacaan-bacaan yang panjang (Riwayat Bukhari dan Muslim). 
Dalam riwayat-riwayat lain, juga dari Umar ibn al Khothab ra, yang menyebutkan jumlah rakaat solat tarawikh adalah 21 atau 23 rakaat. (Riwayat Abdur Razaq dan al Baihaqi). 
Telah berkata Ibnu Hajar al-Asqolani dan asy-Syafi'i, bahawa, “Beberapa maklumat tentang jumlah rakaat tarawih itu sesuai dengan keadaan dan kemampuan masing-masing, kadang-kadang seseorang itu mampu melaksanakan solat sebanyak 11 rakaat, dan kadang-kadang 21 dan kadang-kadang 23 rakaat pula. Hal demikian itu kembali kepada semangat masing-masing. Dahulu mereka yang solat dengan 11 rakaat itu dilakukan dengan bacaan yang panjang sehingga mereka bertongkat, sementara mereka yang solat dengan 21 atau 23 rakaat  membaca bacaan-bacaan yang pendek (dengan tetap memperhatikan toma'ninah solat) sehingga tidak menyulitkan. 

14. Iktikaf.
Di antara amalan sunnah yang selalu dilakukan oleh Rasulullah saw dalam bulan Ramadhan ialah i'tikaf, yakni berdiam diri di dalam masjid dengan niat beribadah kepada Allah. Seperti dilaporkan oleh Abu Sa'id al Khudlri ra, hal demikia pernah baginda lakukan pada awal Ramadhan, pertengahan Ramadhan dan terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Ibadah yang penting ini sering dianggap berat sehingga ditinggalkan oleh orang-orang Islam. Rasulullah saw tidak pernah meninggalkan ibadah i’tikaf pada bulan Ramadhan semenjak Baginda saw berhijrah ke Madinah sehinggalah kewafatan Baginda saw.


15. Lailatul Qadr 
Allah swt berfirman, “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?  Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehinggalah terbit fajar.” (Al-Qodr : 1-5).
Dalam bulan Ramadhan ini terdapat satu malam yang sangat berkat, yang disebut sebagai Lailatul Qadr, iaitu malam yang lebih berharga daripada seribu bulan. Rasulullah tidak pernah lupa dan leka untuk meraih Lailatul Qadr terutama pada malam-malam ganjil pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan (Riwayat Bukhori Muslim ). 
Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa yang solat pada malam Lailatul Qodr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dariNya, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu. " (Riwayat Bukhari dan Muslim). 


16. Umrah 
Mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan juga merupakan dari sunnah Nabi saw, sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw kepada seorang wanita dari Ansar bernama Ummu Sinan, "Agar apabila datang bulan Ramadhan ia melakukan umrah, kerana nilainya setara dengan haji bersama Rasulullah saw.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). 


17. Zakat fitrah 
Pada hari-hari terakhir bulan Ramadhan amalan yang disuruh oleh Rasulullah saw ialah membayarkan zakat fitrah, suatu kewajiban yang harus dipenuhi oleh umat Islam baik lelaki mahupun perempuan, baik dewasa mahupun kanak-kanak (Riwayat Bukhari dan Muslim). 
Zakat fitrah ini juga berfungsi sebagai pelengkap penyucian untuk pelaku puasa dan untuk membantu kaum fakir miskin. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). 

Ramadhan bulan taubat menuju fitrah 
Selama sebulan penuh, secara berduyun-duyun umat manusia kembali kepada Allah yang Maha Pemurah juga Maha Pengampun. Dia Dzat yang menyampaikan bahawa pada setiap malam bulan Ramadhan Allah membebaskan banyak hambaNya dari api nereka (Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah). Kerana inilah satu kesempatan emas agar umat manusia dapat kembali, bertaubat agar ketika mereka selesai melaksanakan ibadah puasa mereka benar-benar kembali kepada fitrahnya. 
Demikianlah sebahagian amalan Ramadhan yang mudah dan boleh dilakukan oleh setiap Muslim.  Dengan demikian Ramadhan juga mendedahkan salah satu prinsip Islam iaitu kesederhanaan ajarannya. Ramadhan sememangnya bulan yang penuh kebaikan, sehingga Rasulullah saw pernah bersabda, "Apabila orang-orang mengetahui nilai besar Ramadhan, mereka akan berharap agar semua bulan dijadikan sebagai bulan Ramadhan". (Riwayat Ibnu Huzaimah). Semoga Allah menerima amalan puasa dan qiam kita sekalian, amin.


Rujukan : Risalah Khas sempena sambutan Ramadhan Al-Mubarak 1433H, terbitan HALUAN Negeri Pahang 2012.
Versi .pdf boleh dimuat turun dari capaian ini.


Tiada ulasan: