Sabtu, 27 September 2008

Ramadhan Meninggalkan Kita...

Artikel ini adalah petikan dari laman web www.haluan.org.my. Klik di sini untuk artikel asal.

Sama-samalah kita perteguhkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan mempertingkatkan at-tazamun dan kepatuhan kepada titah perintah Allah, suruhan dan tegahanNya.

Marilah kita terus bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana kita dipanjangkan umur dan sudahpun berada di penghujung bulan Ramadhan Al-Mubarak. Walaupun kita sayang dan sedih untuk berpisah dengan bulan Ramadhan yang penuh berkat ini, tetapi ketentuan Allah s.w.t telah menentukan bahawa setiap yang bermula ada pula akhirnya (kesudahannya). Bulan Ramadhan akan tamat dengan menjelangnya Aidil Fitri (Hari Raya Fitrah).

Namun sewajarnya bagi setiap Muslim Mukmin bersyukur kehadrat Allah s.w.t atas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah di dalam bulan Ramadhan, nikmat berpuasa, nikmat qiyam Ramadhan, nikmat tilawah dan tadarrus al-Quran, nikmat berzikir kepada Allah, nikmat menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan mungkar. Nikmat anggota-anggota badan juga terus menghayati ibadah puasa, tidak bercakap keji, tidak mengumpat, tidak menabur fitnah, tidak mencaci mencerca, tidak melakukan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang sia-sia, tidak melakukan kezaliman dan penipuan dan lain-lain perbuatan buruk lagi keji. Senjata yang sangat berkesan bagi meninggalkan dan membuang perkara-perkara, perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan keji itu ialah ibadah puasa seperti yang pernah dijelaskan oleh Dr Muhammad Abduh Yamani dalam kitabnya "Hakadza Siyamu Raulullah saw."

Semuanya itu adalah nikmat besar yang telah dikurniakan Allah s.w.t. Hanya orang yang telah diberi hidayah oleh Allah s.w.t sahaja yang dapat menilai dan menyedari betapa besarnya nikmat-nikmat tersebut. Sekaligus dia juga telah mendapat cahaya anugerah Allah s.w.t dan dengan cahaya itu dia (muslim mukmin) dapat meneruskan perjalanan hidupnya dengan betul di tengah-tengah gelombang masyarakat manusia.

Firman Allah s.w.t. (Ayat 19 Surah ar Rad), maksudnya:

“Maka adakah orang-orang yang mengetahui bahawa al Quran yang diturunkan kepada engkau (Nabi Muhammad s.a.w) daripada Rabb engkau (Allah s.w.t) itu benar. (Adakah) sama dengan orang yang buta matahatinya? Hanyasanya orang-orang yang mahu memikirkan (mengambil peringatan) hal tersebut adalah orang-orang yang berakal sempurna sahaja."

Ertinya golongan ulul-albaab sahajalah yang mahu memberi perhatian yang sungguh-sungguh kepada al-Quran al-Karim yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan dan mereka berusaha semaksima mungkin untuk mempelajari tuntutan-tuntutan al-Quran serta mengambil pengajaran dan melaksanakan ajaran al-Quran atau menghayatinya dalam kehidupan mereka, bahkan mereka berlumba-lumba untuk melaksanakan kerja-kerja dan amalan-amalan soleh bagi menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.

Kita sewajarnya bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana kita dipilih Allah untuk kita berada di dalam saf Muslimin dan umat Nabi Muhammad s.a.w. Beriman dan menerima ajaran Allah dan RasulNya. Kita bersyukur kerana kita tidak dijadikan sebagai insan Yahudi atau Nasrani atau Majusi atau penganut Atheism. Sedangkan di muka bumi ini terdapat ratusan juta di kalangan penduduk dunia ini yang berada di dalam barisan-barisan tersebut yang sudah pasti rosak aqidah dan berada di dalam cara hidup yang sesat, akibatnya kerugian besar di Hari Pembalasan nanti. Berdasarkan peringatan dan amaran Allah di dalam ayat 85 Surah Ali Imran, maksudnya:

“Sesiapa juga yang mencari lain daripada Islam sebagai deen anutannya, maka sekali-kali tidak akan diterima daripadanya. Akibatnya, pada Hari Akhirat nanti dia tergolong di dalam golongan orang-orang yang rugi."

Wahai muslimin muslimat,

Sepanjang bulan Ramadhan, semua amalan kita mengambil ajaran Allah dan Sunnah RasulNya. Ibadah puasa pada siang hari, menghidupkan Ramadhan pada malam hari, berbuka puasa, bersahur, bertadarrus dan bertilawah al-Quran, berselawat berdoa berzikir dan beristighfar ,dan juga beriktikaf, semuanya diambil daripada syariat Allah. Setiap muslim mukmin yang menjalani ibadah-ibadah tersebut sentiasa menjaga dan mengawalnya agar tidak batal atau menjadi sia-sia, masing-masing mengawal dan menjaganya agar tidak terkeluar daripada ajaran Allah dan Sunnah RasulNya. Maka sewajarnya keimanan dan keyakinan kepada ajaran Allah dan RasulNya (syariat Islam) dan penghayatannya itu dibawa terus dalam kehidupan individu muslim, jamaah muslim dan umat Islam. Tidak hanya terkurung dalam bulan Ramadhan sahaja, kerana syariat Islam bukan khusus untuk masa tertentu dan tempat tertentu semata-mata, bahkan aqidah, syariat dan cara hidup Islam itu untuk semua tempat dan zaman. Firman Allah s.w.t (Ayat 107 Surah al Anbiaa’), maksudnya:

“Tidak Kami (Allah) utuskan engkau (Nabi Muhammad s.a.w), melainkan membawa rahmat untuk seluruh alam. “

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa kita sudah berada di penghujung bulan Ramadhan dan di ambang Aidil Fitri. Kita berdoa semoga kita mendapat rahmat daripada Allah, mendapat keampunanNya dan mendapat kebebasan daripada azab neraka, seperti yang dinyatakan di dalam hadis :

“Bulan Ramadhan di awalnya kerahmanan, di pertengahannya keampunan dan penghujungnya bebas daripada Neraka."

Tiga perkara tersebut adalah perkara yang besar terhimpun di dalam bulan Ramadhan yang memperlihatkan kebesaran dan keagungan bulan Ramadhan kurniaan Allah s.w.t. Dan sekarang Ramadhan sudah hampir berangkat meninggalkan kita semua dan kita mengharapkan pengajaran dan pembelajaran serta didikan yang kita lalui dan yang kita terima daripada madrasah Ramadhan itu menjadi bekalan dan terus kita bawa dalam meniti kehidupan selepas Ramadhan. Didikan keikhlasan, jujur, amanah, mendekati Allah, suci hati kerana Allah, tawadhuk dan sentiasa benar dalam semua hal hendaknya dibawa terus dan dihayati dalam kehidupan selepas Ramadhan. Demikian juga ruh dan kekuatan ibadah serta kesanggupan bersusah-payah (berpenat-penat) beribadah untuk taat kepada Allah di dalam bulan Ramadhan ini hendaknya dihidupkan semangat itu terus menerus selepas Ramadhan.

Di samping itu ruh jihad dan pengorbanan serta infak di jalan Allah yang diasuh dalam madrasah Ramadhan itu hendaknya terus terpelihara dan jangan dibiarkan luntur semangatnya (ruhnya) walaupun Ramadhan telah berlalu. Demikianlah seterusnya diharapkan semua hasil tarbiyyah dalam madrasah Ramadhan itu benar-benar menjadi bekalan untuk dibawa sepanjang hayat yang diharapkan menjadi bekalan taqwa sepertimana telah dituntut oleh Allah s.w.t dalam Ayat 197 Surah al Baqarah, yang bermaksud :

"Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa."

Kepelbagaian ibadah dalam madrasah Ramadhan itu melahirkan insan (individu) yang bertaqwa lagi soleh. Dan tidak diragukan lagi apabila bertambah ramai orang yang bertaqwa lagi soleh itu maka masyarakat dan umat akan menjadi masyarakat atau umat yang baik, bahagia dan diredhai Allah, insyaAllah, seperti yang telah dijelaskan oleh Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya "Dasar-Dasar Ilmu Dakwah", maka kuantiti kejahatan semakin berkurangan. Oleh itu dapat dirumuskan bahawa kepelbagaian ibadah dalam Islam membawa kebaikan dan mendatangkan faedah atau keuntungan besar kepada individu, masyarakat dan umat. Hal ini menunjukkan bahawa ibadah-ibadah dalam Islam ada pertalian dengan kesejahteraan umat dan negara.

Firman Allah swt dalam Ayat 96 Surah al A’araaf, maksudnya:

“Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, nescaya Kami (Allah) akan membuka kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) (yakni tidak beriman), lalu Kami (Allah) kenakan azab atas mereka disebabkan apa yang telah mereka usahakan (lakukan)."

Professor Muhammad Qutb di dalam kitabnya “Manhaj Tarbiyah Islamiah“ pernah membuat perbandingan dan perumpamaan. Antaranya bahawa ibadah khusus di dalam Islam seperti puasa, zakat, haji dan perkara-perkara yang berkaitan adalah ibarat stesyen atau tempat perhentian bagi orang-orang musafir berhenti mengambil bekalan untuk meneruskan perjalanan yang jauh. Tiada perjalanan yang lebih jauh lagi melainkan perjalanan untuk balik ke alam akhirat, yang tidak diketahui hujungnya. Maka sudah pastilah memerlukan bekalan secukupnya. Ingatlah bahawa sebaik-baik bekalan ialah taqwa.

Oleh itu sama-samalah kita menginsafi peringatan-peringatan Rasulullah s.a.w itu semoga puasa kita, solat kita, tarawikh kita, witir kita, tilawah al-Quran, zikir dan doa kita dimakbulkan atau diterima oleh Allah s.w.t dan benar-benar menjadi bekalan serta menambah kekuatan khasnya kekuatan keimanan dan ketaqwaan untuk kita terus bekerja, beramal, berjihad pada jalan Allah s.w.t.

Demikianlah Ramadhan yang sewajarnya diberi perhatian dan penekanan ‘ubudiyah oleh umat Nabi Muhammad s.a.w. Ramadhan yang disifatkan sebagai "madrasah" (tempat, masa dan suasana didikan tarbiyah). Bagi mengawal hawa nafsu, membentuk diri, menyucikan ruh serta memperteguhkan keimanan juga menambahkan bekalan dalam rangka meneruskan kerja-kerja Islam dan berkhidmat untuk deen semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t.

Dengan ini difahami bahawa ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah rahmat untuk seluruh alam, bukan khusus untuk penduduk Tanah Arab sahaja, tetapi untuk semua makhluk Allah. Hanya manusia mungkin ada yang mahu beriman dan ada yang tidak mahu beriman kepada Allah s.w.t, Pencipta alam seluruhnya. Firman Allah s.w.t dalam ayat 29 Surah al-Kahfi, maksudnya:

Dan katakanlah (wahai Nabi Muhammad s.a.w), kebenaran itu datang dari Rabb kamu (Allah s.w.t). Maka sesiapa yang mahu beriman maka hendaklah dia beriman dan sebaliknya sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya… (kerana itu adalah pilihannya sendiri). “

Dalam suasana kita hendak berpisah daripada bulan Ramadhan ini, wajarlah bagi kita yang telah menjalani dan melaksanakan pelbagai ibadah yang disyarakkan di dalamnya untuk kita berdoa dan memohon kepada Allah s.w.t semoga kita mendapat kurniaan rahmat dan taufiq Allah berterusan serta ditetapkan kita berada di atas kebenaran dalam deen Allah sehingga kita istiqamah atau tetap berada di atas jalan Allah sepanjang hayat sampailah kita dikembalikan ke rahmatullah dengan mendapat keredhaanNya. Dan wajarlah kita berdoa semoga amalan ibadah puasa, tadarrus serta tilawah al-Quran, qiyam Ramadhan, zikrullah serta istighfar kita dimakbulkan atau diterima oleh Allah s.w.t.

Al Ustaz Muhammad Syadid menjelaskan bahawa di dalam doa itu, memperingatkan jiwa kita akan hakikat kefaqiran kita kepada Allah (kita sangat berhajat kepada Allah s.w.t), juga memperingatkan hakikat hubungan kita dengan Allah s.w.t. Bahkan telah disifatkan oleh Rasulullah s.w.t bahawa doa’ itu adalah ibadah.

Dalam Ayat 60 Surah Ghafir, Allah berfirman maksudnya:
“Berdoa’lah kamu kepada Aku (Allah), nescaya Aku (Allah) perkenankan do’a permohonan kamu, sesunguhnya orang-orang yang sombong takabur enggan beribadah kepada Aku (Allah), maka mereka akan masuk ke Neraka Jahanam dalam keadaan yang hina"

Tiada ulasan: