Sabtu, 12 Oktober 2013

Riadhah bola sepak di Pinggiran Batu Caves

Sabtu, 12 Oktober 2013 - Syukur kepada Allah swt, belumpun genap sebulan berlalunya program Khidmat Masyarakat (KHIDMAH) di Pinggiran Batu Caves, Batu Caves, Selangor, suatu program susulan remaja di bawah Kelab Remaja Haluan (KeArah) telah berjaya dilaksanakan.

Program yang dimaksudkan itu ialah aktiviti riadhah bola sepak, yang dianjurkan oleh Unit Pemuda, Haluan Unit Gombak. Aktiviti itu telah dilakukan di padang Pinggiran Batu Caves, dengan disertai oleh lebih daripada 20 orang remaja di sekitarnya.

Jamuan ringkas bersama
Di dalam aktiviti riadhah tersebut, para peserta telah berlawan bola sepak yang telah berkesudahan dengan keputusan 5-2, hasil daripada jaringan-jaringan gol yang menarik. Setelah itu, mereka telah diraikan dengan jamuan pagi yang ringkas. Aktiviti taaruf telah dilangsungkan kemudiannya bagi mempermantapkan perkenalan sesama peserta, dan kemudiannya telah diikuti oleh aktiviti tazkirah. Kesemuanya itu telah dilaksanakan di padang permainan yang sama, dalam suasana yang penuh harmoni. 


Sesi tazkirah

Program riadhah ini ialah program pertama yang dirancangkan pasca KHIDMAH. KHIDMAH merupakan program kemasyarakatan yang dianjurkan pada 21hb September 2013 yang lalu, secara bersama oleh Pejabat Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang, Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA dan Surau Al-Kahfi Pinggiran Batu Caves.

Melalui aktiviti riadhah sebegini, ahli-ahli Unit Pemuda, Haluan Unit Gombak telah dapat membina dan mempereratkan hubungan ukhuwwah yang terjalin sesama dengan remaja-remaja Pinggiran Batu Caves. Semoga hubungan yang telah terbina hasil penyertaan mereka di dalam KHIDMAH tempoh hari, akan dapat terus disuburkan terutamanya melalui siri aktiviti-aktiviti yang akan dianjurkan secara berkala kelak, insyaAllah.

Isnin, 23 September 2013

Forum Perdana menutup tirai KHIDMAH 2013


BATU CAVES 21 September 2013 – Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA, bersama-sama dengan Pejabat Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang dan Surau Al-Kahfi Pinggiran Batu Caves telah menganjurkan suatu program khidmat kemasyarakatan, bertempat di Surau Al-Kahfi Pinggiran Batu Caves.
Forum Perdana
Program khidmat kemasyarakatan tersebut atau KHIDMAH 2013 telah dianjurkan untuk membolehkan HALUAN MALAYSIA memberi perkhidmatan-perkhidmatan yang berasaskan pendidikan dan kebajikan kepada pengunjung-pengunjung KHIDMAH 2013 serta penduduk di sekitar Pinggiran Batu Caves. 

KHIDMAH 2013 adalah terjemahan daripada moto HALUAN MALAYSIA iaitu “Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.” Maka dengan itu pelbagai program dan aktiviti yang berbentuk pendidikan dan kebajikan telah dilaksanakan sepanjang KHIDMAH 2013.  Di antaranya ialah kuliah subuh, motivasi pelajar rendah, motovasi pelajar menengah, pemeriksaan kesihatan, nasihat guaman, sukan persahabatan dan forum perdana.

Bagi lebih memperkenalkan HALUAN MALAYSIA kepada pengunjung KHIDMAH 2013, maka suatu slot khas telah diadakan di antara solat Maghrib dan Isyak, bertempat di Surau Al-Kahfi. Melalui slot itu, penerangan telah dibuat berkenaan dengan HALUAN MALAYSIA.

Sesi penerangan tersebut telah dilakukan oleh Mohd Hafiizh bin Mohd @ Ghazali yang merupakan Exco, Biro Khidmat Guaman, HALUAN MALAYSIA. Beliau telah menjelaskan mengenai aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dilakukan oleh HALUAN MALAYSIA bagi sepanjang tahun 2013 ini, termasuklah aktiviti remaja dan belia, misi-misi kemanusiaan dan sebagainya. Selain itu, beliau juga telah turut berkongsi beberapa kisah kejayaan HALUAN MALAYSIA yang terkini seperti pengislaman saudara-saudara baru di Sabah iaitu dari kalangan masyarakat Bajau Laut dan lain-lain.

Aktiviti terakhir bagi KHIDMAH 2013 ialah forum perdana, yang bertajuk “Ibrah kisah pemuda-pemudi di dalam al-Quran.” Ia telah disampaikan oleh Tuan Haji Noorazman Bin Haji Mohd Samsuddin iaitu seorang aktivis HALUAN MALAYSIA, dan Ustaz Shahrul Hizam Bin Mokhtar, pensyarah di Kolej Darul Hikmah, Kajang. Forum tersebut telah dipengerusikan oleh Ustaz Azhari Bin Johari dari Biro Pemuda, HALUAN MALAYSIA.

Ustaz Shahrul Nizam
Ustaz Shahrul Nizam selaku ahli panel yang pertama, telah berjaya membangkitkan kesedaran di kalangan para peserta forum tentang serangan-serangan akidah dan akhlak yang sedang mengancam pemuda dan pemudi Islam pada masa kini. Katanya, “Kita takut anak-anak yang telah kita pelihara dan didik mereka dengan baik sejak dari kecil hingga belasan tahun lamanya, tetapi kemudiannya bertindak dengan tindakan-tindakan yang tidak mencerminkan akidah dan akhlak Islam yang sebenar.”

Tuan Haji Noorazman Mohd Samsuddin
Begitu juga dengan Tuan Hj Noorazman selaku ahli panel yang kedua. Beliau banyak mengaitkan kisah-kisah pemuda di dalam Al-Quran dengan kaedah pendidikan Islam yang sebenar hingga para peserta forum tersebut kelihatan terdorong untuk melaksanakan pendidikan Islam di dalam keluarga, bermula daripada pengislahan terhadap diri sendiri masing-masing. Kata Tuan Haji Noorazman, “Maka Islamlah yang menjadi penyelesaian kepada semua permasalahan pemuda dan pemudi kita. Kembalilah kepada Islam dan pendidikan Islam, nescaya kita akan dapat mengukuhkan akhlak dan akidah pemuda dan pemudi generasi pewaris masa hadapan kita kelak.”

Forum tersebut telah disempurnakan dengan penyampaian cenderamata kepada pengerusi dan ahli-ahli forum oleh Tuan Haji Zulkifli Bin Majid selaku Pengerusi Surau Al-Kahfi.

Dengan berakhirnya forum perdana tersebut beerti KHIDMAH 2013 telah melabuhkan tirainya. 

Seramai lebih kurang 14 orang dewasa telah memohon untuk menjadi relawan HALUAN MALAYSIA. Selain itu, 21 orang pelajar sekolah menengah dan 18 orang pelajar sekolah rendah juga telah memohon untuk menjadi ahli Kelab Remaja Haluan (KeARAH). Kesemua mereka akan ditawarkan untuk mengikuti aktiviti-aktiviti HALUAN MALAYSIA yang akan disusun dari masa ke semasa kelak.

Ketika ditemui selepas berakhirnya forum perdana tersebut, Muhd Ridha Bin Abdul Ghani selaku pengarah KHIDMAH 2013 telah mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga terhadap Pejabat Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang dan Surau Al-Falah Pinggiran Batu Caves atas kerjasama yang telah diberikan ke arah menjayakan KHIDMAH 2013 ini.

Perlawanan bola sepak persahabatan semasa KHIDMAH

BATU CAVES 21 September 2013 – Program dan aktiviti pemuda tidak sempurna tanpa aktiviti sukan dan rekreasi. Pada KHIDMAH 2013, perkara yang sama adalah tidak terkecuali.

KHIDMAH 2013 adalah suatu program khidmat kemasyarakatan yang dianjurkan secara bersama oleh Pejabat Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang, Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA dan Surau Al-Kahfi Pinggiran Batu Caves

Pada penghujung sesi sebelah petang, telah diadakan perlawanan persahabatan bola sepak 7 sebelah, di antara Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA dengan Biro Pemuda Surau Al-Kahfi.
Tim Haluan Gombak

Bergambar sebelum perlawanan bermula
Perlawanan telah berlangsung secara sengit, tetapi dalam suasana yang mahabbah dan penuh ukhuwwah. Kedua-dua pihak saling membuat serangan-serangan yang merbahaya dari segenap penjuru kiri, kanan dan tengah.

Pasukan Biro Pemuda Surau Al-Kahfi telah menjaringkan gol pertama perlawanan sebelum pasukan Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA telah membalas dengan menyumbat masuk dua gol kemudiannya. Keputusan pada separuh masa yang pertama, ialah 2-1 memihak kepada Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA. 

Rentak perlawanan telah ditingkatkan pada separuh masa yang kedua. Pemain-pemain simpanan telah dibawa masuk oleh kedua-dua pihak bagi menyempurnakan strategi perlawanan masing-masing.

Hasilnya, tiga lagi gol telah dihasilkan pada separuh masa yang kedua tersebut, menjadikan keputusan akhir ialah 4-2 memihak kepada Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA.

Penjaring-penjaring gol di pihak HALUAN MALAYSIA ialah Ashraf, Ar-rashid, Safwan dan Huzaifah. Manakala penjaring gol di pihak Surau Al-Kahfi pula ialah Muhd Faiz dan Mohd Firdaus. Kesemua mereka beserta dengan keseluruhan pemain di kedua-dua pasukan telah bermain dengan cemerlang.

Pihak penganjur-penganjur mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan yang telah menunjukkan prestasi perlawanan yang menarik, di samping mengekalkan akhlak Islam masing-masing.

Tuan A. Rahim Bin Kasdi, selaku Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang telah berbesar hati menyampaikan hadiah-hadiah kepada kedua-dua pasukan.


Ahad, 22 September 2013

Kaunter-kaunter perkhidmatan sepanjang KHIDMAH 2013

BATU CAVES 21 September 2013 – HALUAN MALAYSIA melalui Biro Pemudanya telah menabur bakti kepada masyarakat di sekitar Pinggiran Batu Caves, Batu Caves, Selangor, dalam program Khidmat Kemasyarakatan (KHIDMAH) 2013.

Pada sesi petang KHIDMAH 2013, Biro Khidmat Guaman dan Kelab Kesihatan Haluan telah bersinergi dalam memberi perkhidmatan-perkhidmatan guaman dan kesihatan kepada para pengunjung KHIDMAH 2013.

Aktiviti-aktiviti ini adalah rentetan dan kesinambungan kepada aktiviti motivasi pelajar rendah, motivasi pelajar menengah dan seminar keibubapaan yang telah dilaksanakan pada sesi pagi KHIDMAH 2013.
  
Klinik Khidmat Nasihat Guaman
Melalui kaunter nasihat guaman, Biro Khidmat Guaman telah menyediakan peguam-peguam dari kalangan ahli-ahli HALUAN MALAYSIA bagi memberikan nasihat-nasihat guaman yang praktikal. Sepanjang KHIDMAH 2013 ini, isu-isu perundangan yang ditimbulkan telah banyak berkisar tentang isu perwarisan, penjualan dan pembelian hartanah dan sebagainya.

Klinik Pemeriksaan Kesihatan
Sebagaimana yang dijangka, kaunter pemeriksaan kesihatan di bawah kendalian Kelab Kesihatan Haluan telah mendapat sambutan yang hangat. Pelanggannya terdiri daripada orang ramai yang seawal usia awal belasan tahun dan selanjut usia 80-an. Mereka semuanya telah disantuni oleh tujuh orang paramedik dan dua orang pegawai perubatan.

Kaunter Aduan Majlis Perbandaran Selayang
Selain daripada kaunter nasihat guaman dan pemeriksaan kesihatan daripada HALUAN MALAYSIA, Majlis Perbandaran Selayang melalui Jabatan Korporatnya telah juga dijemput untuk membuka kaunter aduannya. Kaunter aduan itu berperanan untuk menerima dan memantau aduan-aduan yang pelbagai daripada penduduk sekitar. Kaunter ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.

Slot petang bagi KHIDMAH 2013 turut diserikan oleh penglibatan Kolej Teknologi Darulnaim, iaitu sebuah kolej pendidikan swasta, yang turut membuka kaunter penerangan. Banyak maklumat-maklumat mengenai peluang-peluang pendidikan di kolej berkenaan, yang telah dikongsikan kepada para remaja dan ibubapa yang telah mengunjungi kaunter tersebut.

Hampir setiap peserta yang telah mendapatkan perkhidmatan di kaunter-kaunter tersebut telah dihadiahkan dengan buku-buku yang telah disumbangkan oleh PTS Bookcafe Sdn Bhd.
Kaunter Pendaftaran Relawan Haluan

Beberapa ketika sebelum azan Asar dikumandangkan, slot kaunter-kaunter perkhidmatan tersebut pun melabuhkan tirainya, dengan meninggalkan banyak kesan-kesan positif kepada para pengunjung KHIDMAH 2013 tersebut.

KHIDMAH 2013 Peringkat Pinggiran Batu Caves

BATU CAVES 21 September 2013 – Seramai lebih 300 orang penduduk di sekitar Pinggiran Batu Caves, Batu Caves, Selangor telah dapat beramah mesra dengan ahli-ahli HALUAN MALAYSIA, dalam program Khidmat Kemasyarakatan (KHIDMAH) 2013.

KHIDMAH 2013 telah dianjurkan secara bersama oleh Pejabat Ahli Majlis Zon 9 Majlis Perbandaran Selayang, Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA dan Surau Al-Kahfi Pinggiran Batu Caves. Kerjasama erat yang telah ditonjolkan oleh penganjur-penganjur bersama ini telah membolehkan HALUAN MALAYSIA menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan kemasyarakatan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Program dimulakan seawal pagi melalui Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Wafiq Bin Desa. Melalui penyampaian yang bertajuk “Mencontohi kehidupan Rasulullah saw dalam realiti kini”, Ustaz Muhammad Wafiq telah berkongsi beberapa sirah Rasulullah saw yang praktikal untuk dihayati dan diikuti oleh para peserta dalam kehidupan seharian mereka.

Tuan Haji Zulkifli Bin Majid
Majlis perasmian kemudiannya telah menyusul seawal jam 8.30 pagi. Tuan Haji Hasri Bin Ahmad selaku Ketua Biro Pemuda, HALUAN MALAYSIA telah memberikan ucapannya. Ini diikuti oleh ucapan daripada Tuan Haji Zulkifli Bin Majid selaku Pengerusi Jawatankuasa, Surau Al-Kahfi dan Tuan A Rahim Bin Ahmad Kasdi selaku Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang.

YB Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzuan


KHIDMAH 2013 kemudiannya telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzuan, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia. Dalam ucapan perasmiannya, Tuan Hasbullah telah mengalu-alukan penganjuran KHIDMAH 2013. Beliau juga meninggalkan pesanan yang sangat berharga kepada petugas-petugas KHIDMAH 2013. Katanya, “Saya mengharapkan agar melalui program seumpama ini, taraf kehidupan masyarakat sekitar dapat ditingkatkan menerusi aktiviti-aktiviti keilmuan dan kebajikan yang telah dirancangkan oleh penganjur-penganjur.”

Seruan tersebut ternyata tepat pada masanya. Ini adalah kerana terdapat banyak program-program keilmuan dan kebajikan yang akan dilaksanakan sepanjang KHIDMAH 2013 ini. Misalnya ada tiga program keilmuan yang akan dilakukan secara serentak selepas daripada majlis perasmian itu. Program-program itu ialah motivasi pelajar rendah, motivasi pelajar menengah dan seminar keibubapaan.

Tuan A Rahim Bin Ahmad Kasdi
Melalui program motivasi pelajar rendah “Smart Solat”, Ustaz Ali Noor Atif Bin Anuar daripada Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA telah memberikan kesedaran tentang kepentingan solat sebagai tiang agama serta menunjukkan praktikal solat yang betul.

Sementara itu, melalui program motivasi pelajar menengah, Ustaz Mohd Razali Bin Maarof yang juga daripada Biro Pemuda HALUAN MALAYSIA telah berjaya mencetuskan semangat dan motivasi yang tinggi kepada para peserta untuk mempertingkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat. Usaha tersebut bagaimanapun perlu dimulakan melalui perubahan diri secara total dengan sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. 

Manakala program seminar keibubapaan pula disampaikan oleh Ustaz Abdullah Zuhdi Bin Mamat daripada Biro Pemuda Haluan Malaysia. Beliau telah dibantu oleh Dr Suhaimi Shariff selaku moderator. Penyampaian mereka telah meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam diri para peserta. Dengan tajuk “Mengelakkan kesilapan dalam mendidik anak-anak”, Ustaz Abdullah Zuhdi telah memberikan tips-tips  keibubapaan yang berkesan. Ibu bapa telah disedarkan tentang pendidikan Islam yang sebenar sebagai satu-satunya cara dan kaedah untuk mendidik anak-anak masing-masing ke arah menjadi insan-insan yang beraklak dan berjaya di dunia dan akhirat. 

Setiap peserta yang telah menyertai aktiviti-aktiviti tersebut telah dihadiahkan dengan buku-buku yang telah disumbangkan oleh PTS Bookcafe Sdn Bhd.

Pada sekitar jam 12.30 tengahari, KHIDMAH 2013 telah berhenti rehat sebelum disambung semula dengan sesi petang kemudiannya.

Rabu, 14 Ogos 2013

KHUTBAH ‘IDUL FITRI

Marilah kita mempraktikkan ketaqwaan kepada Allah swt dan merasai  kebesaran dan keagungan Allah melalui laungan takbir, tahlil dan tahmid yang sama-sama kita lafazkan sejak malam tadi hingga ke hari ini. Hari ini seluruh umat Islam menyambut Aidil Fitri Mubarak dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan sepertimana telah digambarkan oleh Rasulullah saw dalam sebahagian hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Hurairah ra yang bermaksud,  “Terdapat dua kegembiraan bagi orang-orang yang benar-benar berpuasa, yaitu gembira ketika berbuka puasa (termasuklah hari raya ini) dan gembira ketika kembali bertemu dengan Allah swt."

Allahu Akbar! Allahu Akbar! La Ilaha Illallah, Wallahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd

Hari raya dalam Islam amat berbeza daripada perayaan lain. Perayaan-perayaan lain mendewa-dewakan serta mengagungkan makhluk tetapi hari raya dalam Islam mengagungkan Allah swt semata-mata. Kerana itulah sambutan didahului dengan takbir, tahlil dan tahmid (Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laila ha Illallah, wallahu akbar, Allahu Akbar, walillahil Hamd).

Hal ini mengisyaratkan bahawa orang mukmin memiliki cara hidup yang tersendiri (unik) berpaksikan iman dan  tauhid kepada Allah, bukan meniru cara hidup orang yang tidak beriman kepada Allah swt, arahan Allah swt dalam Al-quran Surah Al-Kaafirun adalah jelas, yang bermaksud, "1.  Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, 2.  Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. 3.  Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang Aku sembah. 4.  Dan Aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, 5.  Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang Aku sembah. 6.  Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku." (Al-Kaafiruun : 1-6).

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati!

Aidil Fitri merupakan hari untuk kita kembali kepada fitrah asal kejadian manusia sejajar dengan makna asal aidil fitri itu sendiri yang bermakna kembali kepada fitrah(kesucian). Deen Islam adalah deen yang yang suci difitrahkan Allah swt, aqidahnya suci, ibadahnya suci, akhlaqnya suci, jalan hidupnya suci diredhai  Allah swt dari dunia ini hingga ke akhirat, tiada jalan lain lagi melainkan Islam.

Perhatikanlah penekanan Allah swt dalam Al-quran ayat 19 surah Ali Imraan, yang bermaksud, “Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam.”

Juga amaran Allah dalm ayat 85 surah Ali Imraan, yang bermaksud, "Barangsiapa mencari agama selain agama islam, Maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Lailaha Illallah Wallau Akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd!

Oleh itu kita tiada pilihan lain lagi melainkan hanya memilih Islam sebagai deen dan pegangan hidup kita.

Untuk menghayati dan memperaktikkan Islam yang haqiqi maka perlu kembali kepada madrasah tarbiyyah (didikan) Rasulullah saw sepertimana telah diikuti oleh generasi awal Islam , generasi as-salafussoleh yang telah mendapat pujian Allah swt dalam al-Quran yang diabadikan dalam ayat 110: Surah Ali Imran, yang bermaksud, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” 

Oleh itu setiap muslim dan jamaah Islam yang ingin melahirkan kembali Ummah yang mempraktikkan deenul Islam sebagai sistem hidup mereka dalam semua bidang, perlulah mengikut jalan yang dibawa oleh Rasulullah saw, yang dituruti para sohabat ridhwanu alaihim seperti yang berlaku pada generasi pertama lepasan (graduate) madrasah Rasulullah saw.

Adalah tidak wajar bagi para muslim mukmin mengikut jalan lain daripada apa yang dibawa oleh Rasulullah saw, atau yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah saw, sama ada yang berjenama syiah,khawarij, qadariyah, jabariyyah mahu pun yang berjenama sekularisma, sosialisma, kapitalisma, liberalisma dan lain-lain isem lagi yang semakin menular dalam masyarakat. Ingatlah peringatan Allah dalam Al-Quran ayat 153 Al-An’am, yang bermaksud, "Dan bahwa (yang kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, Maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain)[152], Karena jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalannya. yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa."

Sehubungan ini ulama mentafsirkan perkataan “assubula” di dalam ayat tersebut bermakna segala macam bid’ah dan jalan-jalan yang tidak benar (yakni jalan-jalan kebatilan).

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin hadirat yang dimuliakan! 

Sewajarnya kita menyedari bahawa musuh-musuh Islam, sentiasa  berusaha bagi memecahbelahkan barisan umat Islam dan mereka sekali-kali tidak akan membenarkan Islam berkuasa dan memerintah. Allah SWT telah tegaskan dalam Al-Quran ayat 120 surah Al-Baqarah, yang bermaksud, "Orang-orang Yahudi dan Nasrani sekali-kali tidak redha (tidak senang) terhadap engkau (yakni terhadap Nabi Muhammad saw termasuk umatnya) sehingga engkau ikut “millah” (agama atau cara hidup atau telunjuk) mereka."

Semestinya diambil ingatan oleh umat Islam bahawa musuh-musuh Islam - walau atas nama apa pun sasaran mereka adalah satu iaitu: memusuhi Islam. Islam dinafikan haknya untuk mentadbir negara melalui pakatan dan konspirasi musuh-musuh Islam. Ini dapat dilihat seperti apa yang berlaku di Algeria suatu ketika dahulu, juga yang berlaku di Ghazzah Palestin dan terkini apa yang berlaku di Mesir, adalah bukti jelas tentang kebenaran apa yang telah diperingatkan Allah dalam Al-Quran ayat 120 surah Al-Baqarah yang telah disebut sebelum ini, yang bermaksud, "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya pertunjuk Allah (Ugama Islam) itulah pertunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahi yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu."

Kemenangan pihak yang memperjuangkan Islam melalui sistem demokrasi yang kononnya diagungkan mereka, telah dinafikan melalui konspirasi jahat musuh-musuh Islam dengan rampasan kuasa oleh junta tentera Mesir, yang menjadi boneka mereka hingga menghalalkan tindakan-tindakan kejam, zalim dan bunuh membunuh sewenang wenangnya.

Apa yang lebih dikesal lagi terdapat beberapa negara yang kononya negara-negara Islam tetapi turut memberi pengiktirafan, menyokong dengan bantuan lumayan terhadap penzalim-penzalim tersebut. 

Sedangkan amaran Allah swt dalam Al-Quran amat jelas dalam ayat 113 surah Hud, yang bermaksud, “Janganlah kamu cenderung hati (menyokong) orang-orang yang melakukan kezaliman nescaya kamu nanti akan disentuh (dibakar api neraka) dan tidak ada bagi kamu penolong selain daripada Allah. Kemudian kamu tidak diberisebarang pertolongan.”

Allahu Akbar! Allahu Akbar! La Ilaha Illallah, Wallahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd

Kita yakin apa jua yang berlaku adalah dengan izin Allah swt dan mempunyai hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Namun demikian kita optimis bahawa cahaya Allah (deenul Islam) tidak boleh dipadam, berdasarkan jaminan Allah swt dalam al-Quran, ayat 8 surah As-Saff, “Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya."

Tuan-tuan, puan-puan, muslimin muslimat yang dirahmati Allah !

Meskipun Allah swt memberi jaminan untuk menyempurnakan cahayaNya, namun setiap mukmin dituntut berusaha semaksima yang boleh, bagi meletakkan Islam kembali pada tempatnya, setelah Islam berada dalam keadaan dagang (ghurbah), tidak berdaulah, tidak berkuasa, dimusuhi dari segenap penjuru dan sudut bahkan dipersendakan.

Sesungguhnya kerja mendaulatkan Islam serta meletakkan Islam itu pada tempatnya yang sebenar, adalah kerja besar dan berat. Oleh yang demikian ia juga memerlukan persediaan dan persiapan yang besar. Satu daripada aspek persediaan yang terpenting ialah penyediaan hati yang suci, ikhlas berubudiyyah hanya sanya kepada Allah swt. Ini disebut al-Qalbus Salim.

Untuk itu maka perlu kepada proses Tazkiyyatun Nafs (penyucian jiwa), melalui amalan-amalan keruhanian yang syar’i seperti zikir al-Ma’thuraat, tilawatul Quran, qiyamullail, beristighfaar, bersolawat, berdo’a, dan khasnya ‘amalan-amalan Ihya Ramadhan. Semua itu merupakan zaad (bekalan) di sepanjang jalan – seperti yang diungkapkan oleh Syeikh Mustaffa Al-Masyhur dalam usaha kita melaksanakan taklif rabbani mengajak masyarakat kembali kepada manhaj rabbani (sistem Allah).

Kita mengharapkan proses latihan dan tarbiyyah Ihya Ramadhan selama satu bulan yang telah kita lalui, dapat melahirkan insan-insan rabbani yang teguh beriman dan bertakwa serta sedia berkhidmat untuk Islam. Adalah tidak patut kita hanya menjadi insan-insan Ramadhani, yang hanya mengamalkan tuntutan Islam dalam bulan Ramadhan sahaja, tapi tidak pada bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya setiap orang dituntut menjadi Insan Rabbani sepanjang hidup.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! La Ilaha Illallah Wallahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd!

Tuan-tuan, puan-puan, hadirin hadirat yang dihormati,

Dalam keghairahan kita menyambut ‘Idul Fitri Mubarak ini, janganlah hendaknya kita lupa kepada saudara-saudara seIslam kita. Kita perlu bersimpati dan membantu, moral dan kebendaan semaksima mungkin, terhadap perjuangan umat Islam dan para Mujahid Islam yang sedang berhadapan dengan penguasa-penguasa yang zalim seperti di Syria dan Mesir. Demikian juga mereka yang berdepan dengan pencerobohan dan sekatan Yahudi Laknatullah seperti di Palestin, khasnya di Ghazzah. 

Saudara-saudara Islam kita yang lain, yang menggamit simpati serta bantuan seperti di Rohingya, Somalia, Filipina, Kasymir dan di Chehnya seyugia diambil perhatian. Ingatlah bahawa umat Islam adalah umat yang satu walau di mana jua mereka bermastautin, ibarat satu jasad, sekiranya satu anggota sakit maka anggota-anggota lain turut merasai sakit seperti yang pernah digambarkan dalam hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari An-Nu’man bin Basyir ra, yang bermaksud, “Semoga dengan tolong menolong dan bantu membantu ini terserlahlah identiti orang-orang mukmin sebenarnya,” yang dikhususkan Allah swt dengan ayat 10 dalam surah al-Hujurat, yang bermaksud, "Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara." 

Isnin, 29 Julai 2013

Kita di fasa akhir Ramadhan


Pada fasa-fasa terakhir bulan Ramadhan ini, marilah kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang berikut :

1. Kita memperingati kembali diri-diri kita tentang matlamat Madrasah Ramadhan, supaya kita tidak hilang tumpuan yang sebenarnya, iaitu Secara umumnya ialah melahirkan insan, keluarga dan masyarakat soleh; secara khususnya ialah melahirkan ketaqwaan dan juga untuk melahirkan mukmin muttaqin yang melaksanakan amar maaruf nahi mungkar. Dalam konteks kita, ialah daie dan murabbi yang dinamik dan produktif.

Taqwa ialah merupakan kekuatan dan bekalan asasi yang diperlukan dalam merealisasikan tugas dan tanggungjawab kita selaku hamba dan khalifah.

2. Para ulama rahimahullah telah mejelaskan apa yang dimaksud dengan taqwa. Makna taqwa dapat disimpulkan sebagai suatu usaha melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjaga jiwa dari perbuatan yang membuatnya berdosa, dan juga dengan meninggalkan apa yang dilarang. (An-Nawawi dan Ibn Katsir).

Pemahaman terhadap makna taqwa itu selaras dengan makna hadis apabila Rasulullah saw yang mafhumnya, “Bahawasanya seorang hamba, tidaklah akan dapat mencapai darjat ketaqwaan sehingga ia meninggalkan apa yang tidak dilarang, supaya tidak terjerumus pada hal- hal yang dilarang.” (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Baihaqi].

Makna lain bagi perasaan taqwa ini dapat dilihat melalui analogi yang dibuat oleh Ubai bin Ka’ab ra di dalam kisah hadis berikut. Diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab ra pernah bertanya kepada Ubay bin Ka'ab ra mengenai taqwa, maka Ubay bertanya kembali kepadanya, “Tidakkah engkau pernah melewati jalan yang berduri?”. Umar menjawab, “Ya.” Ubay bertanya lagi, “Lalu apa yang engkau kerjakan?” Umar menjawab. “Aku berusaha keras dan bekerja bersungguh-sungguh untuk menghindarinya.” Kemudian Ubay menuturkan, “Yang demikian itu adalah Taqwa.” [Ibn Katsir).

3. Antara ibadah yang dituntut dalam Ramadhan ialah tilawatul Quran. Hajatnya ialah kita mengkhatamkan Quran sekali atau lebih. Dan dalam melaksanakannya, kita mesti  mentadabbur dan menikmati ayat-ayat al-Quranul Kariim ketika membacanya dan juga melaksanakan tuntutannya. Amalan ini perlu lebih giat dilaksanakan, lebih-lebih lagi pada fasa akhir Ramadhan ini.

Begitu juga dengan ibadah solat tarawikh. Janganlah kita meninggalkannya walaupun ketika sakit dan musafir. Boleh juga dibuat 8 rakaat secara berjamaah dan 12 rakaat secara bersendirian, sambil menghayati dan menikmati ayat-ayat al-Quraan di dalamnya.

Teruskanlah dengan amalan sedekah dan infaq kita. Ramadhan adalah bulan sedekah dan zuhud terhadap material. Rasulullah saw lebih dermawan pada bulan ini. Maka bersedekahlah dengan bersemangat serta riang, dan bukan dengan rasa berat hati seperti orang munafik yang merasai riak dan benci dalam melakukannya.

4.     Berdoalah dan bermunajatlah kepada Allah. Masa mustajabnya ialah ketika menjelang fajar, selepas qiamullail dan tahajjud iaitu semasa suasana sepi dan hening. Berdoalah secara bertadarru’ (merayu-rayu kepada Allah) dan tidak didengar makhluk lain. Ikhlaskan diri secara penuh hanya kepadaNya, sambil berasa hina diri sebagai hamba Allah, dan dikuasai rasa lemah serta kurang tenaga. Hanya dengan perasaan sebeginilah kita boleh lari kepada Yang Maha Kuat dan Maha Perkasa. Cetuskan pujian dalam munajat dan doa kita, agung-agungkanlah Allah, bertawakkallah kepadaNya dalam keadaan menyerah dan inayah, bertaubat dan istiqamah.

Hati yang dipenuhi dengan ketaqwaan, akan rasa takutkan siksaan Allah, mengakui dosa dan kecuaiannya, merayu-rayu dengan sepenuh hati minta ampun kepada Allah Yang Maha Pengampun dan Pemaaf. 

Hati yang bertaqwa juga akan merasa gerun dan takut kepada Allah, dan disertai dengan rasa khusyuk dan sayang kepadaNya, di samping merasa mengharapkan rahmatNya. 

Mohon kepadaNya untuk hidayah, bantuan, perlindungan dan keselamatan, pertolongan dan sokongan di dunia dan kebahagiaan akhirat. Tingkatkan rasa perlu kepada Allah swt agar Allah membersihkan jiwa-jiwa kita daripada penyakit-penyakit hati, memandang kita dengan pandangan redha dan menerima amalan-amalan kita. Allahlah yang membuka pintu rahmat dan menentukan kejayaan kita, bukan perancangan rapi dan kepintaran kita. Semoga Allah menghapuskan karat di dalam hati-hati kita dan menyinarkannya dengan nur al-Quran; dn dengannya kita mendapat bekalan iman, menolong hadapi jalan susah dan simpang siur ini.

Bermunajatlah kpd Allah dengan taubat dan penyesalan, nescaya Allah akan ampunkan; secara hina diri, nescaya Allah akan muliakan; dengan penyerahan yang total, nescaya Allah akan penuhkan hati kita dgn iman; dengan penuh mengharap, Allah akan penuhi permintaan; dengan rasa gerun dan takut, nescaya Allah kurniakan sakinah dan dengan rendah jiwa, nescata Allah akan tinggikan.

5.    Maka kita, pada akhir Ramadhan sebegini, mestilah menanti-nanti Lailatul Qadar. Gembelingkan tenaga kita, bersihkan dari kita daripada urusan dunia. Hadapkan diri kepada Allah swt dengan munajat, solat, dan doa secara terus-menerus tanpa henti.

Yang kita harapkan ialah maghfirah (keampunan) Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah saw, من جاءه رمضان ولم يغفر له فيه فلا غفر الله له, iaitu “Barangsiapa yang didatangi Ramadhan, tetapi Allah tidak mengampuninya, maka Allah tidak akan mengampuninya.”

Manusia yang celaka dihalangi daripada rahmat Allah pada bulan Ramadhan, dan dia tidak mendapat keampunanNya; mudah-mudahan kita bukan digolongkan Allah dalam golongan sebegini. Bulan Ramadhan sepatutnya menjadi bulan kemenangan ke atas ruh kita ke atas tuntutan jasad kia, hingga ruh berada di puncak kejernihannya. 

Diriwayatkan bahwa ‘Aisyah Radhiyallahu ‘anha berkata, “Wahai Rasulullah, apa yang sebaiknya aku baca bila bertepatan dengan malam Lailatul Qadar?” Rasulullah bersabda, “Bacalah : اللَّهُمَّ إنَّك عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي iaitu “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi ampunan dan menyukai orang yang memohon ampunan, maka ampunilah aku.” (Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad, Al-Hakim dan An-Nasa'i)

Dengan itu, mencari kita mencari lailatu qadr dengan bersolat malam, berdoa, bertilawah, beriktikaf, beristighfar dan lain-lain ibadah.

Diubahsuai dari Mohd Ghani Salleh, Muhasabah Madrasah Ramadhan.ppt.

Ahad, 14 Julai 2013

Petikan Ucapan Dasar Presiden tentang Pemuda

Petikan Ucapan Dasar Presiden tentang Pemuda
dalam Mesyuarat Tahunan Perwakilan ke-24, Tahun 2013
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia 
dengan tema "MEMBANGUN HIMMAH MENYEMARAKKAN AMAL"

PEMUDA (SYABAB)

27.0 Biro Pemuda mempunyai peranan yang cukup besar. Sejak era Rasulullah صلى الله عليه وسلم lagi baginda didokong oleh pemuda (syabab) untuk menyampaikan Islam kepada semua manusia. Begitu juga di Malaysia. Sekiranya kita ingin melihat masyarakat Malaysia yang menghayati ajarran agama Islam, fokuslah kepada pembinaan, dan pembentukan generasi muda kerana mereka adalah agen perubahan yang hebat. Biro Pemuda haruslah menggembeleng sepenuh tenaga mengadakan program-program kesedaran dan latihan melatih kepimpinan pemuda demi menjana generasi pemuda yang berkualiti mempunyai kefahaman dan penghayatan yang jelas.

28.0 Biro Pemuda harus mencanai para pemuda dan melengkapkan mereka dengan pelbagai persiapan dan kelengkapan dari segenap segi untuk menjadi pemimpin masyarakat demi melahirkan para pemuda yang bersedia untuk menerima tanggungjawab (masuliyah) kepimpinan.

29.0 Bagi mencapai matlamat ini perlu ada di sana the transfer of knowledge and experience. Justeru perlu wujud kesinambungan antara حماسة الش باب وحكمة الش يوخ (semangat generasi muda dan hikmah (wisdom) generasi tua). Generasi muda harus bersikap berminat dan mempunyai semangat untuk belajar daripada generasi sebelum mereka yang telah menempuh jalan yang sama. Ini penting agar mereka tidak perlu lagi sentiasa di atas landasan try and error sepanjang masa, sebaliknya memanfaatkan pengalaman generasi tua yang telah melaluinya agar mereka tidak akan mengulangi kesalahan yang sama. Dari titik tolak itu, mereka dapat melakukan lonjakan dan melangkah lebih jauh.

30.0 Generasi muda harus mempunyai kerendahan hati untuk sentiasa merujuk kepada generasi yang lebih tua sebelum melakukan sesuatu projek kerana generasi tua selalunya mempunyai buah fikiran yang bernas untuk mengukuhkan lagi pelaksanaan projek terbabit. Terdapat satu kata-kata; ‘A wise young man will not make a decision until he has consulted two elderly persons”.

31.0 Dalam masa yang sama, golongan tua harus bersikap pro-aktif untuk berkongsi walaupun tanpa dipinta. Ini kerana اَلميَدُ م العُلمياَ خَ م يٌْ مِنَ م اليَدِ السُّ م فلَى (tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Mungkin ada segelintir anak muda yang segan atau ada juga yang merasa cukup, tapi generasi tua harus sentiasa mempunyai sikap untuk membimbing dan hendaklah mereka membetulkan generasi muda ini jika mereka melakukan suatu kesalahan. Gabungan mantap antara hikmah orang tua dan semangat orang muda ini akan memberi impak yang besar bagi perkembangan kerja-kerja Islam. Maka harapan kita untuk membina masyarakat dan negara Islam akan menjadi kian cerah.

32.0 Ketokohan pemuda perlu ada grand design. Fikirkan bagaimana melahirkan tokoh-tokoh di kalangan pemuda ke dalam masyarakat agar mereka tidak ketandusan pemimpin.

Mesyuarat Perwakilan Tahunan 2013 telah diadakan pada 5 - 7 Julai 2013,  bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. 

Khamis, 13 Jun 2013

Cara Islam menanam keperibadian rabbani dalam jiwa dan kehidupan manusia

        Islam sentiasa berusaha untuk menanamkan keperibadian Rabbani ke dalam jiwa dan kehidupan setiap Muslim melalui berbagai cara. Cara-cara tersebut ialah:

1. Melalui Jalan Ibadah
        Melalui ibadah-ibadah wajib dan ibadah-ibadah sunat yang digalakkannya, seperti melalui pengulangan solah setiap hari. Ibadah merupakan roh bagi kehidupan seperti roh yang ada pada setiap jasad. Ibadah menemukan setiap orang mukmin dengan Allah swt.
        Dalam perlaksanaan solah, apabila manusia tenggelam dalam permasalahan kehidupannya, maka bangunlah mu'azzin melaungkan kalimah Allah Yang Maha Besar, mempersaksikan bahawa hanyalah Allah swt Ilah yang ditauhidkan dan Muhammad adalah Rasulullah, mengajak kepada menunaikan solah waktu dan kepada kemenangan yang hakiki, maka terangkatlah muslim dari kesibukan dunianya untuk mengadap Rabnya untuk beberapa waktu. Ini semua akan mendorong dirinya untuk menjadi penyeru ke arah kebaikan untuk umatnya. Serta, mengangkat dirinya daripada alam kebendaan ke alam kerohanian, daripada keegoan kepada mementingkan orang lain.
        Berpuasa sebulan yang diulangi pada setiap tahun juga menanamkan roh rabbani ke dalam jiwa muslim. Ketika berpuasa, semua Muslimin mengekang diri daripada diperhambakan oleh hawa nafsu samada berupa makan minum, hubungan jenis dan pelbagai aktlviti kehidupan yang lain.
Setiap hari bermula dari terbitnya fajar hingga jatuhnya matahari, merupakan tarbiah bagi kemahuan dan kehendak nafsu, melatih muslim untuk menuju takwa dan mencapai kesempuman ibadah kepada Allah swt.
         Allah swt berfirman dalam sebuah Hadith Qudsi (yang bermaksud), "Puasa itu kepunyaanKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya; hamba yang meninggalkan makanan keranaKu, hamba yang meninggalkan minuman keranaKu, hamba yang meninggalkan Isteri keranaKu dan hamba yang meninggalkan kelazatan keranaKu."
        Berzakat iaitu dengan selalu mengeluarkan harta dapat menghapuskan sifat bakhil, membersihkan harta dan jiwa muslim, di samping dapat memupuk rasa syukur kepada Allah swt di atas segala nikmat pemberlanNya.
        Firman Allah swt, "Ambillah zakat dari sebahagian dari harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Taubah : 103).
        Dinamakan zakat kerana ia mengandungi makna pembersihan, pertumbuhan dan keberkatan. Manakala perkataan dharibah (cukai) pula mengandungi makna pemaksaan, kekerasan dan hutang. Dengan demikian tuntutan Islam menunaikan zakat adalah lebih mulia. Ia lahir secara suka rela dan redha-meredhai.
        Haji pula memisahkan seseorang Muslim daripada tanah airnya, meninggalkan keluarga dan sanak-saudaranya, berhijrah kepada Allah swt, mengorbankan diri dan hartanya, menanggung beban perpisahan dan beberapa kesusahan kerana menunaikan kehendak Allah swt, hingga sampai ke Tanah Suci, iaitu tanah di mana telah didirikan rumah ibadah yang pertama di muka bumi ini. Di sana terdapat sejarah penghijrahan Nabi Ibrahim as dan pengorbanan Nabi Ismail as. Juga kesan peninggalan Nabi Muhammad saw dan kesan dakwah kepada kebenaran selepas kewafatan baginda.
        Di sana semua orang Islam dari berbagai bangsa dan keturunan meninggalkan sesuatu yang melambangkan gejala-gejala perbezaan - kedudukan, pangkat, keturunan dan negeri. Mereka memakai pakaian yang seakan-akan kain kafan orang mati, yang mana pakaian itu lebih tinggi kedudukannya di musim haji. Semua muslim menghalakan segala hati, lisan, perasaan dan harapan kepada Allah swt. Muslim berkata (bermaksud): "Aku perkenankan seruanMu wahai Rabku, aku perkenankan seruanMu, yang tiada sekutu bagiMu. Sesunguhnya segala pujian dan nikmat adalah kepunyaanMu dan juga segala pemerintahan, dan tiada sekutu bagiMu"
        Di samping fardu asasi yang tertentu, yang mana merupakan batasan minima yang mencorakkan hubungan manusia dengan Allah swt, Islam membuka pintu untuk membuat amalan yang sunat (nawafil), untuk mendekatkan dirl kepada Allah swt dan melakukan perkara yang disukaiNya. Antaranya - solat-solat sunat di samping solat-solat wajib lima waktu, puasa-puasa sunat di samping puasa wajib Ramadan, sedekah-sedekah di samping zakat yang wajib, haji dan umrah sunat di samping haji dan umrah yang wajib. Di dalam perkara tersebut terjadilah perlumbaan di kalangan mereka yang ingin berlumba-lumba dalam membuat perkara kebaikan dan dahulu-mendahului di kalangan mereka yang bertaqwa kepada Allah swt.
        Di dalam sebuah Firman Allah swt, yang diriwayatkan di dalam hadith Qudsi (bermaksud), "Tiada yang lebih sempurna taqarrub hambaKu kepadaKu kecuali dengan menunaikan fardu-fardu yang Aku wajibkan ke atasnya, hambaKu yang sering mendekatkan diri kepadaKu dengan melakukan Nawafil (ibadat-ibadat sunat) sehingga Aku senangi dan Aku cintai. Apabila Aku telah menyenanginya, Aku melindungi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, matanya yang denganya ia melihat, tangannya yang dengannya
ia mempergunakannya. Jika ia meminta perlindungan, Aku memberi perlindungan kepadanya dan jika ia meminta sesuatu, Aku memberikan kepadanya." (Riwayat Bukhari)
        Bukanlah ibadat itu (fardu atau sunat), hanya menghubungkan seseorang makhluk dengan Khaliknya di saat-saat peribadatannya sahaja, kemudian selepas itu tidak ada lagi hubungan dengan Rab, lalu ia kembali semula di muka bumi mengikut hawa nafsunya. Sama sekali tidak. Peranan ibadat adalah menanamkan keperibadian Islam di dalam hati nurani orang-orang yang menunaikannya, menanam jiwa takwa kepada Allah swt yang Maha Tinggi kedudukanNya, memberi kepadanya bekalan ingatan kepada Allah swt apabila ia lupa, menguatkan azamnya apabila ia lemah dan menerangi jalan kehidupannya apabila lampu-lampu yang menerangi kehidupan di sekelilingnya padam.
        Islam tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadl manusia Rabbani di dalam masjid, di sana ia rukuk, sujud dan bermunajat serta berdoa, tetapi apabila ia keluar dari masjid ia berubah corak dari Insan Rabbani kepada Insan Haiwani atau Jnsan Syaitani.
       Islam tidak menyukai seseorang Muslim yang hanya menjadi manusia Rabbani di Bulan Ramadan, tetapi apabila hilangnya bulan Ramadan, maka hilanglah bersamanya sifat ibadah dan ketaatannya kepada Allah swt. Seolah-olah ia menyembah Bulan Ramadan bukan Rab Bulan Ramadan. Salaf as-Soleh (golongan soleh yang terdahulu) di kalangan Umat Islam berkata, "Jadilah orang-orang yang Rabbani, tetapi janganlah menjadi orang-orang yang hanya beribadat di Bulan Ramadan sahaja."
        Islam juga tidak suka seseorang itu hanya menjadi orang Rabbani ketika mana ia berada di sisi Bait al-Haram, Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masya'ir Muqaddasah (tempat syi'ar yang suci). Apabila selesai sahaja ibadah hajinya, umrahnya dan ziarahnya dan apabila ia berkira bicara untuk pulang, maka ia pun melupakan udara dan makna Rabbani. Tenggelamlah ia dalam perut kehidupan kebendaan sebagai mana tenggelamnya orang-orang yang lalai.
        Islam tidak suka Muslim seperti ini, malah Islam menghendaki agar seseorang Muslim itu sentiasa mempunyai hubungan dengan Rabnya - di masjid, di jalan, di tempat kerja, di bulan Ramadan serta di semua tempat dan keadaan. Rasulullah saw berpesan dalam sabdanya, "Bertakwaiah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada."(Riwayat Tirmizi).
        Firman Allah swt, "Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka ke mana kamu menghadap di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya) lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah : ayat 115).
        Sabda Rasulullah saw lagi, "Sebaik-baik amalan yang disukai Allah ialah amalan yang sentiasa (istiqamah) dilakukan walau pun sedikit." (Riwayat Bukhari)

2. Melalui Jalan Akhlak.
        Jalan seterusnya untuk menanam keperibadian Rabbani ke dalam hati nurani Muslim dan di dalam kehidupannya ialah jalan akhlak as-salimah (akhlak yang sejahtera). Akhlak lahir pada setiap ketika dalam kehidupan muslim sama ada yang berkaitan dengan individu mahu pun masyarakat. Islam mengambll kesempatan mendidik keperibadian manusia dalam pelbagai perkara harian melalui jalan akhlak.
     Apabila dia duduk di hadapan hidangan makanan, maka dia mendahului dengan nama Allah, Bismillahirrahmanirrahim - yang mana Allah swt lah yang menyediakan sebab-sebab sehingga sampai rezeki yang halal di hadapannya.
        Apabila dia merasa kenyang dan beredar dari hidangan, maka disudahi pula dengan pujian kepada Allah swt, Alhamdu Lillah. Apabila dia minum, dia berkata, "Segala pujian bagi Allah swt yang menjadikan air seenak sungai Furat dengan rahmatNya dan tidak menjadikan air masln dan pahit dengan sebab-sebab dosa kami."
        Apabila dia memakai pakaian, dia berkata, "Segala pujian bagi Allah swt yang telah memberikan pakaian kepadaku. Wahai Rabku, bahawasanya aku memohon kepadaMu dari kebajikan pakaian ini dan dari sesuatu pakaian ini dibuatkan untuknya. Dan aku bertindung dengan Engkau dari kejahatan pakaian ini dan dari kejahatan sesuatu yang pakaian ini dibuatkan untuknya."
       Apabila dia menunggang binatang atau menaiki sebarang kenderaan, dia berkata, "Maha suci yang menggerakkan kenderaan ini untuk kita, padahal sebenarnya kita tidak memlliki kekuatan untuk menundukkannya dan bahawasanya kita pasti kembali kepada Rab kita."
        Apabila dia bermusafir, dia berkata, "Wahai Rab, Engkaulah teman di dalam permusafiran ini dan Engkaulah yang menjadi pengganti penjaga keluargaku. Wahai Rab temanilah kami di dalam permusafiran kami dan lindungilah keluarga kami."
        Dan apabila dia pulang dari permusafiran, dia berkata, "Kami adalah orang yang kembali, orang yang bertaubat, orang yang beribadat, orang yang memuji Allah, Rab kami."
        Apabila dia meletakkan rusuknya untuk tidur, dia berkata, "Dengan nama Engkau, ya Rabku, aku letakkan rusukku dengan nama Engkau dan dengan nama Engkau juga aku mengangkatnya."
        Dan apabila bangun dari tidur untuk kembali ke bahtera kehidupan, dia berkata, "Segala pujian bagi Allah yang telah menghidupkan aku sesudah mematikan aku dan kepadaNya tempat kembali."
        Malah ketika menikmati nafsu seks, seseorang Muslim itu masih mengingati unsur Rabbani, yang boleh mengurangkan kebuasan dan membawa ia ke ufuk ketinggian, semasa menyetubuhi isterinya dan dia berkata, "Dengan nama Allah, wahai Rab, jauhilah kami dari godaan syaitan dan jauhkanlah pula daripada godaannya itu apa sahaja yang Allah anugerahi kepada kami." Begitulah dia berdoa apabila memanfaatkan sesuatu nikmat pemberian Allah swt.
        Begitulah kehidupan seseorang Muslim, ia tidak pernah lupa kepada Rabnya, tidak pernah lalai terhadap hubungannya dengan Rabnya, malah sentiasa merasa dekat denganNya, jinak denganNya. Inilah keperibadian rabbani yang sentiasa ada bersamanya di mana sahaja ia berada.

3. Melalui jalan pendidikan dan pembentukan
      Sementara jalan ketiga untuk memantapkan keperibadian rabbani ialah jalan pendidikan. Ia merupakan jalan yang paling penting dan berkesan.
       Pendidikan hendaklah bermula di rumah, kemudian di sekolah iaitu dengan menanam keperibadian rabbani tersebut ke dalam fikiran anak-anak yang sedang membesar dengan menggunakan cara yang balk dan berhikmah.
        Seorang bapa merasakan dia bertanggungjawab menyediakan makanan dan keperluan fizikal anak-anaknya, supaya anak-anaknya tidak terdedah kepada penyakit dan maut. Sesungguhnya seorang bapa lebih bertanggungjawab untuk mernberikan makanan roh kepada mereka. Ia tidak patut melalaikan tanggungjawab sebenar, kerosakan yang lebih dahsyat daripada kelaparan atau maut. Kelalaian ini mendedahkan orang-orang yang di bawah tanggungjawabnya kepada kematian hati atau rohani. Jika berlaku hal ini, maka ia akan membawa kepada kerosakan yang berkekalan.
        Oleh sebab itu, pendidikan sangat penting. Sabda Rasulullah saw, “Setiap orang adalah pengembala dan setiap daripada kamu bertanggungjawab terhadap gembalaannya." (Riwayat Muslim dan Bukhari).
        Firman Allah swt, "Hai orang-orang yang beriman, periharaiah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintah." (At-Tahrim: ayat 6).
        Oleh yang demikian, ibubapa diwajibkan agar mendidik anak-anak mereka untuk taat kepada Allah swt dan menunaikan apa yang difardukanNya apabila anak-anak telah sampai kepada umur yang boleh menerima pengajaran, ialtu tujuh tahun. Ketegasan pula perlu digunakan ketika mereka berumur sepuluh tahun. Sabda Rasulullah saw, "Suruhlah (latihlah) anak-anak kamu menunaikan solah ketika berumur tujuh tahun, pukullah mereka ketika berumur sepuluh tahun."
        Suruhan memukul bukanlah bererti menganiaya atau menyeksa kanak-kanak, tetapi sebagai tanda kesungguhan bapa mentarbiah anak lelaki dan perempuan mereka agar mentaati Allah swt. Ibubapa murabbi tentulah ia tidak sanggup membiarkan keingkaran anak-anaknya itu begitu sahaja tanpa dihukum. Seperti yang telah ditegaskan oleh Rasulullah saw, pergaulan ibu dengan anak-anak kecil lebih memberi kesan daripada pergaulan dengan bapa pada kebanyakan keadaan.
        Sementara itu, sekolah juga mempunyai peranan untuk mendidik pelajar-pelajarnya (lelaki dan perempuan) dengan nilai-nilai rabbani. Tidak mencukupi jika sekolah hanya memberi pengetahuan, kemahiran kebendaan dan ilmu kehidupan di dunia sahaja, kemudian meninggalkan mereka teraba-raba jahil berhadapan dengan permasalahan kewujudan yang pelbagai ragam dan kompleks.
        Mereka ditinggalkan dengan soalan-soalan yang tidak dibekali dengan jawapan seperti, “Dari mana kita datang?”, “Siapa yang menjadikan kita?', 'Mengapa kita dijadikan?', TCe mana kita akan pergi selepas ini?', 'Apakah risalah Islam dan siapakah yang membawanya?', 'Apakah balasan bagi yang menunaikan ajaran Islam atau apakah balasan bagi yang mengingkari ajaran Islam?'.
        Hanya keimanan kepada Allah swt sahajalah yang dapat menjawab segala persoalan ini dengan seyakin-yakinnya dan melapangkan hati manusia. Inilah iman hakiki. Iman yang diajar oleh Islam, yang terselamat daripada kesalahan manusia, keraguan, kelemahan hati dan pertentangan fikiran.
        Sekolah yang tidak menanamkan keimanan kepada jiwa pelajar-pelajarnya akan melahirkan generasi yang gelisah dan mempunyai unsur penentangan dalam diri. Generasi ini akan mengharung gelombang kehidupan dengan rasa resah dan gelisah. Tanpa panduan dan petunjuk Islam, maka sudah tentu mereka akan bertambah sesat dan tidak menjumpai jalan pulang sebenar, iaitu jalan yang lurus.
Wallahu A'lam.

Slaid .ppt boleh dimuaturun dari capaian ini.

Sumber : Risalah Ta’rif 3, yang disumberkan kepada tulisan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Al-Khasais al-'Ammah U al-Islam. 

Selasa, 11 Jun 2013

30 Sifat Rabbaniyyun

Allah berfirman :
كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ
“Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” (Ali Imran 3:79).

Siapakah Rabbaniyyun :
Rabbani ialah al-’aabid al-’aalim al-’aamil, iaitu beribadah berilmu dan bekerja. 
Dia berdisiplin dalam mentaati Allah dalam keadaan bersendirian ataupun ramai, dan mewakafkan dirinya untuk Allah. Dan melaksanakan sistem Allah di dalam dirinya dan dalam masyakat. Dan hidup sebagai orang yang baik untuk dirinya dan musleh untuk orang-orang lain.

Sifat-sifat Rabbaniyyun :
1. Ikhlas dan menghadirkan niat dalam setiap amalan;
2. Merasai pemerhatian Allah dalam keadaan bersendirian ataupun ramai;
3. Menjaga solat Subuh berjamaah setiap hari;
4. Menjaga waktu solat-solat yang lain secara jamaah setiap hari;
5. Menjaga solat sunat rawaatib sebelum dan selepas solat fardhu 12 rakaat setiap hari;
6. Menjaga solat dhuha setiap hari;
7. Melazimi qiam pada kadar minima 2 rakaat setiap hari;
8. Menjaga solat witir setiap malam;
9. Melazimi solat tasbih dengan kadar minima sekali sebulan;
10. Melazimi puasa sunat paling kurang tiga kali sebulan;
11. Melazimi puasa hari Arafah dan juga 9 serta 10 Muharram setiap tahun;
12. Menjaga iktikaf setiap tahun pada 10 akhir Ramadhan sekurang-kurangnya 3 hari;
13. Menjaga zikir Quran paling kurang 1 juzuk sehari;
14. Berzikir dengan zikir yang banyak sekurang-kurangnya 1,000 sehari;
15. Melawan hawa nafsu Mujahadah nafsi secara berterusan;
16. Menyucikan jiwa dan menjaga kesuciannya, dan melunakkan hati secara berterusan;
17. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa sama ada nereka masih hidup atau telah pergi;
18. Menjaga pergaulan dengan isteri dan anak-anak dan mendidik mereka atas asas-asas Islam;
19. Membantu zaujah untuk menyertai menerima fikrah kita - menguatkan fikrahnya;
20. Menyokong zaujah untuk menyertai fikrah dan mendidik anak-anak untuk mencintai fikrah;
21. Menjaga lidah dari bercakap dusta dan sentiasa melazimi bercakap benar;
22. Bersungguh-sungguh menjaga silaturrahim;
23. Menjaga akhlak dan mualamah yang baik dengan rakan-rakan sekerja dan jiran;
24. Berwaspada dalam mualamah harta, sama ada sewaktu mengambil atau memberi;
25. Tekun dalam kerjaya dan merasai pemerhatian Allah di dalamnya;
26. Menggabung secara benar dalam dakwah dan pengasingan yang total dari fikrah-fikrah lain;
27. Bersegera untuk melaksanakan tangungjawab-tanggungjawab dakwah serta menyertai program-program dakwah dengan penyertaan yang aktif;
28. Dakwah menjadi rujukan yang paling utama dalam mengambil keputusan;
29. Berbelanja di jalan Allah dan bersungguh-sungguh dalam memberi sumbangan harta untuk jalan dakwah; dan
30. Doa pada ikhwah kita sewaktu ketiadaan (tanpa diketahui) mereka, dan juga guru-guru kita.
Slaid dalam format .ppt boleh dimuaturun dari capaian ini.

Sabtu, 1 Jun 2013

Jom tingalkan maksiat - Maksiat Menghalangi Ilmu

Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa maksiat boleh menghalangi ilmu.

Ilmu adalah cahaya yang Allah tanamkan di dalam hati. Dan cahaya itu boleh dipadamkan dengan maksiat.

Suatu ketika Imam Syafie duduk di hadapan Imam Malik. Dia membacakan sesuatu yang menyebabkan Imam Malik terkesan. Imam Malik sangat mengagumi kecepatannya dalam mengingati pelajaran, kecerdasan akalnya serta kesempurnaan pemahamannya. Lantas Imam Malik berkata, “Allah telah menaruh cahaya di dalam hatimu. Jangan padamkan cahaya itu dengan kegelapan maksiat.”

Pada suatu ketika yang lain, Imam Syafie berkata, “Aku mengeluhkan hafalanku yang buruk kepada Waqi’. Ia menasihatiku untuk meninggalkan maksiat. Pesan Waqi’, ketahuilah bahawa ilmu itu anugerah, dan anugerah Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat.”

Sumber : Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Stop Maksiat Sebelum Terlambat. Qisthi Press, Jakarta : 2012.

Jumaat, 24 Mei 2013

Tentang masuk syurga dan rahmat Allah

(a) Dalam suatu hadith, bahwa Abu Hurairah ra berkata; saya mendengar Rasulullah saw bersabda, "Tidak ada seorang pun yang masuk surga karena amalannya." Para sahabat bertanya, "Begitu juga dengan engkau wahai Rasulullah?" Baginda bersabda, "Tidak juga dengan diriku, kecuali bila Allah melimpahkan karunia dan rahmat-Nya padaku." [HR Bukhari & Muslim].

Hadith itu menunjukkan bahawa masuk syurga adalah dengan rahmat Allah.

(b) Ikuti kisah seorang penjahat yang telah membunuh 99 orang dan seorang alim, lalu ingin bertaubat. Dia pergi menuju ke satu tempat yang disarankan oleh seorang alim yang lain untuk bertaubat, tetapi telah meninggal dunia di dalam perjalanan. Maka Allah memerintahkan malaikat rahmat mengambil ruhnya untuk ke syurga.

Juga kisah seorang ahli abid yang telah beribadah 600 tahun, tetapi menolak untuk masuk ke syurga apabila dipersilakan untuk memasukinya dengan rahmat Allah; kerana dia ingin masuk ke syurga dengan berdasarkan amalannya. tetapi setelah ditimbang, berat amalannya selama 600 tahun tersebut tidak lebih dari berat sebelah matanya. lalu diperintahkannya masuk ke neraka.

(c) Bagaimanapun, Allah akan memberi rahmat kepada kita berdasarkan kepada amalan-amalan kita di dunia ini.

Allah izin kita lulus periksa dengan baik sekiranya kita membuat persediaan yang baik, atau lulus periksa dengan kurang baik sekiranya kita membuat persediaan yang kurang baik juga.

Begitu juga dengan nikmat-nikmat yang lain. Allah izin kita kenyang kerana kita makan makanan. Dan Allah juga izin kita sihat kerana kita makan ubat. Tetapi bukanlah makanan atau ubat itu yang membuat kita kenyang atau sihat, tetapi Allah; namun atas asbab-asbab yang Allah anjurkan kepada kita.

Mana mungkin kita mengharapkan syurga Allah tanpa rahmatNya. Dan mana mungkin kita mengharapkan rahmat Allah tanpa Allah menyayangi kita. Begitu juga, mana mungkin Allah menyayangi kita tanpa amalan-amalan soleh daripada kita.

Khamis, 16 Mei 2013

Fenomena Lemah Iman

        Sesungguhnya fenomena lemah iman adalah suatu fenomena yang sudah merebak dan tersebar luas di kalangan kaum muslimin.
        Terdapat banyak orang yang mengadu akan kekerasan hatinya yang diucapkan berkali-kali melalui ungkapan-ungkapan seperti,
        “Aku merasakan adanya kekerasan di dalam hatiku, aku tidak pernah mendapat keni’matan dalam beribadah, aku merasakan bahawa iman di dalam hati ini seakan-akan berada di dalam jurang, aku tidak terpengaruh (terkesan) oleh bacaan Al-Quran dan mengapa mudah sekali aku terjerumus ke dalam kederhakaan?"
        Sesungguhnya penyakit lemah iman itu mempunyai tanda-tandanya, antaranya ialah:

1. Melakukan kederhakaan dan amalan berdosa
        Di kalangan orang-orang yang derhaka ada yang melakukan satu amalan kederhakaan secara terus-menerus dan ada pula yang melakukan berbagai-bagai amalan kederhakaan. Jika seseorang itu sering melakukan kederhakaan, maka kederhakaan itu boleh menjadi kebiasaan yang tidak dapat ditinggalkan. Seterusnya menjadikan hatinya keras daripada merasai kesan buruk kederhakaan itu.
        Akhirnya, pelakunya berani menderhaka secara terang-terangan, sehingga dia termasuk ke dalam golongan yang disebutkan di dalam hadith ini (yang bermaksud):
        “Setiap umatku mendapat perlindungan afiat kecuali orang-orang yang terang-terangan. Dan, sesungguhnya termasuk perbuatan terang-terangan jika seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, kemudian dia berada pada pagi hari, padahal Allah telah menutupinya, namun dia berkata, ‘Hai fulan, malam tadi aku telah berbuat begini dan begini’, padahal Rab-nya telah menutupinya, namun kemudian dia menyelak sendiri apa yang telah ditutupi Allah pada dirinya.” [Riwayat Bukhari]

2. Merasakan adanya kekerasan dan kekakuan dalam hati
        Kerana adanya perasaan keras dan kaku, menjadikan seseorang merasakan seakan-akan hatinya telah berubah laksana batu keras yang hampir mustahil diusik dan dipengaruhi oleh sesuatu apa pun. Allah swt berfirman,
“Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.” [Al-Baqarah: 74].
        Orang yang hatinya keras tidak mampu dipengaruhi dengan nasihat tentang kematian. Tidak pula terpengaruh tatkala dia melihat orang mati atau mayat yang membujur. Bahkan boleh jadi dia sendiri yang mengangkat mayat itu dan meletakkannya di liang kubur, tetapi langkah-langkah kakinya di antara sekian banyak kuburan tidak ubah seperti langkah-langkah kakinya di antara longgokan-longgokan batu.

3. Tidak tekun dan hilang khusyu’ dalam beribadah
        Antara tanda lemah iman ialah tidak khusyu’ dan hilang tumpuan semasa solah, membaca Al-Qur’an, berdoa dan lain-lain. Tidak menyemak dan memikirkan makna-makna doa, sehingga ia membacanya hanya sekadar rutin yang membosankan.
        Boleh jadi, oleh kerana doa yang dibacanya hanya terbatas kepada doa-doa tertentu sahaja, maka ia tidak merasa perlu untuk memikirkan makna-maknanya. Padahal Allah swt tidak menerima doa yang dibaca ala kadar sahaja, sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith (yang bermaksud), “Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai dan main-main.” [At-Termizi].

4. Malas melakukan amal taat dan meremehkan ibadah
        Orang yang lemah iman, kalau pun melakukan ibadah, maka ia lakukan sekadar aktiviti kosong tanpa roh. Allah swt telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya, “Dan, apabila mereka berdiri untuk solah, mereka berdiri dengan malas.” [An-Nisa’: 142]
        Termasuk juga dalam kelompok meremehkan ibadah ialah sikap tidak memperdulikan tanda-tanda kebaikan dan waktu-waktu yang tepat untuk beribadah. Pada masa yang sama tidak ghairah untuk mendapatkan pahala daripada Allah swt. Contohnya, menunda-nunda perlaksanaan haji padahal ia mampu, mundur daripada medan peperangan dan hanya duduk di rumah dan menangguh-nangguh ikut solah berjamaah.
        Orang yang lemah iman sebegini, perasaannya sama sekali tidak tersentuh jika ia tertidur hingga meninggalkan solah wajib. Begitu juga jika ia ketinggalan melakukan solah sunat rawatib atau wirid. Ia juga tidak berhasrat untuk menqadha atau menggantikan apa yang ketinggalan itu. Bahkan boleh jadi ia sengaja meninggalkan amalan sunat atau fardhu kifayah.
        Gambaran ini bertentangan dengan orang-orang yang disifati Allah swt di dalam firman-Nya, “Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan, mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.” [An-Anbiya’: 90].
        Bermacam-macam lagi tanda-tanda kemalasan seperti malas dalam melaksanakan ibadah-ibadah rawatib, solah malam, solah dhuha, solah-solah nafilah dan melengah-lengahkan usaha datang ke masjid. Hatinya sama sekali tidak terketuk untuk melakukan semua itu.

5. Dada terasa sesak dan terbelenggu
        Orang yang lemah iman akan merasakan seolah-olah wujud beban yang berat menghimpitnya. Ia cepat menjadi resah dan gelisah kerana suatu masalah yang remeh dan jauh daripada merasai lapang dalam hatinya. Rasulullah saw telah mensifati iman sebagai berikut, “Iman itu ialah kesabaran dan kelapangan hati.” [As-Silsilah As-Sahihah].

6. Hati tidak tersentuh dengan ayat-ayat Al-Quran
        Hati yang lemah tidak akan tersentuh dengan janji, ancaman, perintah, pengisahan kiamat dan lain-lain di dalam Al-Quran. Orang yang lemah imannya akan menjadi bosan dan malas untuk mendengar kandungan isi Al-Quran. Ia tidak berusaha untuk membuka dirinya agar berhubung secara langsung dengan Al-Quran. Sekiranya ia membuka mushaf, isi kandungannya tidak diperhatikan dan tidak diberikan perhatian.

7. Lalai daripada mengingati Allah swt sewaktu berzikir dan berdo’a
        Berzikir menjadi satu pekerjaan yang berat baginya. Jika ia mengangkat tangannya untuk berdo’a, maka secepat itu pula ia menelangkupkan tangannya dan menamatkan doanya. Allah swt telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya, “Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali.” [An-Nisa’: 142].

8. Tidak merasa tergugah dengan tanggungjawab untuk beramal demi kepentingan Islam
        Orang yang lemah iman tidak mahu berusaha untuk menyebarkan Islam dan menolongnya. Keadaan ini sangat jauh berbeza dengan para sahabat Nabi saw.
        Seorang pemuda, Ibnu Amr Radhiallahu‘anhu, terus beranjak melakukan dakwah kepada kaumnya sebaik sahaja beliau memasuki Islam. Namun majoriti orang-orang Islam di zaman ini hanya suka duduk senang dan tidak memiliki rasa tangunggjawab untuk melakukan dakwah meski pun sudah sekian lama menjadi muslim.

Rujukan:
Muhammad Sholih Al-Munajjid, Obat Lemahnya Iman.

Slaid .ppt boleh dimuaturun di sini.