Rabu, 15 Oktober 2008

Titik kelemahan dan kekuatan diri

Hakikat iman di dalam jiwa ialah berlakunya peningkatan atau penurunannya pada setiap masa. Ada ketikanya iman kita berada pada tahap yang sangat parah, tetapi melalui hidayah Allah swt, iman itu tertingkat kepada takat yang lebih stabil, malah sihat dan kuat. Pada ketika yang lain, kita berasa gembira dan bersyukur dengan kadar iman di dalam jiwa kita, tetapi kemudiannya akibat dosa dan maksiat, tiba-tiba sahaja iman tersebut tahapnya jatuh merudum. Malah, jika kemerosotan iman itu tidak kita kawal, tiada secubit jua di dalam hati yang menyesalinya.

Ketika kemerosotan iman tersebut berlaku, sekurang-kurangnya ada dua perkara yang amat mengancam diri kita. Pertamanya, kita menjadi insan yang lemah jiwa, hati dan iman. Iman yang lemah tidak akan dapat menghidupkan hati, Tanpa hati yang hidup pula, tidak mungkin dapat kita dapat menjana hidayah Allah. Dan tanpa hidayah Allah pula pula, tuntutan Allah yang ringan terasa amat terbeban, menjadikan kita susah menunaikan ibadah-ibadah yang mudah atau yang susah.

Manakala ancaman kedua pula, kita menghadapi risiko kesudahan yang buruk. Kita boleh dimatikan Allah swt pada bila-bila masa sahaja. Dan jika kematian itu berlaku pada tahap iman kita sedang merosot teruk, maka rugilah kita akibat dari suu’ul khatimah atau kesudahan yang buruk ini.

Thabit bin Qurrah (ulama’ kurun ke-9) berkata, “Kerihatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerihatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerihatan lidah bergantung kepada bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu, dosa yang dilakukan oleh seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa; seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan. Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.”

Begitu juga dengan Abdullah bin Mubarak ra (ulama’ kurun ke-2) yang berkata, “Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu, adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa.”

Lantas itu, selayaknya bagi jiwa-jiwa yang mengharapkan keredhaan Allah, untuk sentiasa berwaspasda dalam setiap saat kehidupannya. Jangan ia melakukan perkara-perkara yang boleh mendekatkan dirinya dengan perlakuan dosa dan maksiat, apatah lagi melakukannya dengan sebenarnya – seperti maksiat zina yang dilarang Allah swt bukan sahaja daripada melakukannya malah juga menghampirinya.

Titik kelemahan dan kekuatan diri

Dalam setiap diri kita ada titik-titik kelemahan dan kekuatan. Ia adalah elemen-elemen, yang jika dilakukan, boleh melemahkan atau menguatkan jiwa kita, bergantung kepada jenis elemen-elemen itu, yang juga berbeza di antara seseorang dengan seseorang yang lain mengikut tabiat dan keselesaan masing-masing.

Bagi elemen-elemen yang melemahkan jiwa, mungkin titik kelemahan seseorang itu terletak pada banyaknya melakukan perkara-perkara yang sia-sia seperti menonton siaran-siaran yang melekakan di televisyen, mendengar muzik-muzik yang mengkhayalkan, panjang angan-angan dan sebagainya. Adapun titik kelemahan seseorang yang lain pula mungkin terletak pada lama tidurnya, banyak makannya, kuat bicaranya, buruk bahan bacaannya dan lain-lain. Malah mungkin juga akibat maksiat-maksiat yang dilakukan oleh anggota tubuhnya, seperti mata, telinga, lidah, tangan, kaki dan sebagainya.

Manakala, elemen-elemen yang menguatkan jiwa pula bagi seseorang itu mungkin terletak pada tautan hatinya dengan sahabat-sahabatnya yang berakhlak mulia, berfikir berzikir bermuhasabah dan mengingati mati, solat membaca al-Quran dan beriktikafnya di masjid, dan sebagainya. Malah ada juga bagi seseorang yang lain titik kekuatannya terletak pada usaha-usaha dakwahnya.

Dalam suatu hadith, Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud :
“Sesungguhnya hati ini berkarat sepertimana besi yang berkarat. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana untuk mengilatkannya? Baginda menjawab: Membaca al-Quran dan mengingati mati.” (Hadis riwayat Al Baihaqi).
Oleh yang demikian, sekiranya kita masih sayangkan hidayah Allah dan mengharapkan kesudahan yang baik bagi diri-diri kita, lakukanlah sekurang-kurangnya tiga perkara yang berikut :
  • Pertamanya, carilah dan kenalpastilah titik-titik kelemahan dalam diri kita. Dan lakukanlah apa yang kita terdaya untuk menghindarinya dan melencong ke arahnya, apatah lagi melakukannya.
  • Keduanya, carilah dan kenalpastikan juga titik-titik kekuatan dalam kita. Berbeza dengan yang pertama tadi, kita mestilah pula melakukan apa yang kita mampu untuk melaksanakannya atau melakukan perkara-perkara yang lain yang boleh mencenderungkan diri kita ke arah perlaksanaannya.
  • Dan ketiga, kita perlu sentiasa bermujahadah diri. Lakukan usaha secara berterusan, walaupun dengan menggunakan paksaan dan hukuman (yang tidak bertentangan dengan syarak), jika perlu..
Ingatlah anjuran Ibnu Qayyim ketika beliau menganjurkan ubat bagi penyakit-penyakit hati, seperti berikut :
  • Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah;
  • Jika penyakit itu ialah melakukan amalan berdosa, ubatnya ialah meninggalkan amalan-amalan berdosa itu dan seterusnya bertaubat kepada Allah;
  • Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diberikan Allah, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab tersebut;
  • Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara yang disukai Allah, ubatnya ialah mengambil berat suka redha dan cinta terhadapnya; dan
  • Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah, maka ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah swt dalam semua hal kehidupan
Pohonlah doa demi doa kepada Allah, agar merahmati dan meredhai kita. Kata Ibnu Qayyim lagi, “Tiada harapan lagi untuk diubati penyakit-penyakit itu melainkan hanya dengan rahmat Allah swt ke atas mereka sahaja.”

Selasa, 14 Oktober 2008

Tekad (Izaatul Islam)

Klik di sini untuk pautan nasyid.

Kami sadari jalan ini kan penuh onak dan duri
Aral menghadang dan kedzaliman yang kan kami hadapi
Kami relakan jua serahkan dengan tekad di hati
Jasad ini , darah ini sepenuh ridho Ilahi

Kami adalah panah-panah terbujur
Yang siap dilepaskan dari busur
Tuju sasaran , siapapun pemanahnya

Kami adalah pedang-pedang terhunus
Yang siap terayun menebas musuh
Tiada peduli siapapun pemegangnya

Asalkan ikhlas di hati, hanya Ridho Ilahi
Rabbi ...

Kami adalah tombak-tombak berjajar
Yang siap dilontarkan dan menghujan
Menembus dada lantakkan keangkuhan

Kami adalah butir-butir peluru
Yang siap ditembakkan dan melaju
Dan mengoyak ,menumbang kezaliman

Asalkan ikhlas di hati tuk jumpa wajah Ilahi Rabbi

Kami adalah mata pena yang tajam
Yang siap menuliskan kebenaran
Tanpa ragu ungkapkan keadilan

Kami pisau belati yang selalu tajam
Bak kesabaran yang tak pernah akan padam
Tuk harungi dakwah ini , jalan panjang

Asalkan ikhlas dihati menuju jannah Ilahi Rabbi

Isnin, 13 Oktober 2008

Syahsiah mulia dalam diri pendakwah


Diserukan kepada kita, “Perbaikilah dirimu dan serulah orang lain.”


Dan menjadi slogan yang kita seru-serukan tanpa jemu, “Tegakkanlah daulah Islam di hatimu, nescaya ia akan tertegak di bumimu.”

Dakwah dan qudwah (syahsiah baik) adalah tidak dapat dipisahkan. Tidak mungkin seseorang pendakwah menjalankan tugas dakwahnya dengan baik tanpa ia sendiri berakhlak dengan akhlak yang mulia. Dan tidak munasabah pula seseorang itu dikatakan sempurna syahsiahnya tanpa ia melaksanakan apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw, iaitu berdakwah.

Contoh tertinggi bagi peribadi pendakwah yang bersyaksiah mulia ialah apa yang ditonjolkan melalui peribadi Rasulullah saw. Sebagaimana yang disahkan oleh Allah swt di dalam al-Quran, melalui firmannya,
“Sesunguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah (saw) terdapat contoh tauladan yang baik bagi seseorang yang mengharapkan Allah dan hari akhirat dan banyak mengingati Allah.”
(Al-Ahzab : 21)
Keperibadian Rasulullah saw selaku insan yang mulia akhlak dan perilakunya terpancar dalam segenap dimensi peranannya – sebagai pemimpin, suami, bapa, jiran, teman, panglima perang, pendidik, pentadbir dan sebagainya.

Akhlak Baginda adalah al-Quran, sebaik-baik manusia. Merupakan ahli ibadat (abid) pada waktu malam dan ahli siasah yang berhasil menyatukan umat manusia pada waktu siangnya. Baginda juga seorang ahli peperangan yang mahir mengatur strategi peperangan dan ahli perniagaan yang berjaya. Baginda juga seorang ayah yang penuh kasih sayang dan suami yang berjaya mewujudkan mawaddah dan rahmah di dalam rumahtangga. Begitu juga, Baginda adalah teman yang setia dan jiran yang prihatin, hakim yang adil dan penguasa yang kasih kepada rakyat. Baginda jugalah seorang pendidik yang agung, membimbing seluruh umat manusia dengan penuh kasih sayang. Dalam apa jua peranan sekalipun, kita boleh mengambil Rasul saw sebagai contoh yang terbaik.

Bukti keperibadian Rasulullah yang mulia boleh kita fahami daripada intipati arahannya kepada Muaz Bin Jabal ra sewaktu mengutuskannya sebagai pendakwah ke Yaman. Baginda bersabda,
“Wahai Muaz, aku berwasiat kepadamu agar bertaqwa kepada Allah, berkata benar, menepati janji, melaksanakan amanah, meninggalkan pengkhianatan, memelihara (hubungan) jiran, mengasihi anak yatim, berkata lembut, menyebarkan salam, beramal saleh, memendekkan angan-angan, sentiasa tetap beriman, memperdalamkan al-Quran, mencintai akhirat, merasa takut kepada hisab dan bersifat tawadhuk. Dan aku melarang kamu memaki orang yang bijaksana, mendustakan orang yang jujur, mentaati orang yang berbuat dosa, menentang pemimpin yang adil, atau membuat kerosakan di bumi. Dan aku berwasiatkan kepada kamu agar kamu bertakwa kepada Allah ketika berada di samping batu, pokok dan rumah. Dan hendaknya kamu memperbaharui – untuk setiap dosa – taubatnya, yang rahsia dengan rahsia dan yang terang dengan terang.” (Riwayat Abu Naim dan Baihaqi).
Oleh yang demikian, wajiblah kita memperbaiki dan memulakan sesuatu pada diri kita sendiri sebelum mengajak orang lain, agar kita selaku pendakwah menjadi qudwah amali yang dapat dicontohi oleh masyarakat seluruhnya.

Ahad, 12 Oktober 2008

Kebajikan yang sebenar

Ramai orang yang menyangka bahawa menjadi Islam ialah cukup dengan hanya melaksanakan lima rukun-rukun Islam, iaitu yang terdiri daripada syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Manakala beriman pula hanya cukup dengan mempercayai enam rukun-rukun Iman, iaitu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari akhirat dan qada’ serta qadar.

Padahal yang sebenarnya, tuntutan yang dikehendaki daripada orang-orang Islam yang beriman adalah jauh lebih daripada itu.

Ini adalah kerana Allah swt menuntut kepercayaan yang teguh terhadap apa yang dikehendaki oleh rukun-rukun Iman, melaksanakan rukun-rukun Islam dan seterusnya melaksanakan apa yang dikatakan “kebajikan” yang sebenar. Matlamatnya ialah untuk mencapai tahap keimanan dan ketakwaan yang hakiki.

Hakikat “kebajikan” ini telah dijelaskan oleh Allah swt melalui firmanNya,
“Bukanlah kebajikan itu, sekadar menghadapkan wajahmu ke arah timur atau barat, tetapi sesungguhnya kebajikan itu adalah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kita dan nabi-nabi, dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang musafir (yang memerlukan pertolongan), dan orang-orang yang meminta-minta, serta (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Dan orang-orang yang menepati janji apabila mereka berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesulitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar (beriman) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa." (Al-Baqarah : 177).
Berdasarkan kepada ayat tadi, Allah swt merangkumkan ketaqwaan sebagai keimanan beserta dengan perlakuan-perlakuan kebajikan terhadap masyarakat berasaskan kepada nilai-nilai sosio-ekonomi yang baik.

Dr Yusuf Qardhawi di dalam kitab tafsir Fil Zilalnya berkata, “Sesungguhnya kebajikan itu adalah tasawwur (persepsi pandangan hidup), perasaan, amalan dan perilaku. Tasawwur yang mempengaruhi hati individu dan jamaah, amalan yang membekas dalam kehidupan peribadi dan masyarakat, dan tidak cukup hanya menghadapkan wajah ke arah timur dan barat, kiblat ini atau kiblat itu, atau cuma salam ke kanan dan ke kiri dalam solat, atau semua gerakan lahiriah yang manusia biasa melakukan.”

Dengan itu, kita harus merubah paradigma kita bahawa ibadah itu tidak hanya setakat amalan khusus sahaja, malah ia juga meliputi muamalah-muamalah yang baik sesama masyarakat termasuklah dakwah serta amal makruh nahi mungkar.

Dalam hal ini, kita diseru untuk menafkahkan sebahagian harta kepada masyarakat yang memerlukan. Kita juga mesti berakhlak dengan nilai-nilai akhlak yang baik seperti menepati janji dan sebagainya. Malah, perlu juga sabar dalam menghadapi penderitaan dan kesulitan serta ketika di medan jihad.

Seterusnya, disimpulkan oleh Yusuf Qardhawi dengan tulisannya, “Demikianlah satu ayat di atas menghimpun pokok-pokok akidah, tugas-tugas jiwa manusia dan hartanya, dan menjadikan semuanya sebagai satu kesatuan yang intergral dan tidak terpisah-pisah. Semuanya itu diberi tanda satu, yakni dengan al-Bir atau “Kebajikan” atau al-Iman sebagaimana tersebut dalam hadith. Dan, semua itu adalah ringkasan dari tasawwur (persepsi, konsep, idea Islami dan prinsip manhaj Islam yang sempurna), yang Islam tidak akan dapat berdiri tanpanya. Oleh kerana itu, ayat itu ditutup dengan ‘Mereka itulah orang-orag yang benar-benar (beriman), dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.’”

Sabtu, 11 Oktober 2008

Inilah Madrasah Tarbiyah Rasulullah

Artikel ini adalah petikan dari laman web www.haluan.org.my. Klik di sini untuk artikel asal.

Rasulullah saw tidak mempunyai manhaj selain Al Quran. Beliau tidak mempunyai fakulti, institut, mahupun sekolah untuk mendidik, selain masjid. Murid-muridnya adalah Abu Bakar, Umar, Utsman, Ali, dan sahabat-sahabat lainnya. Dari madrasah itulah peradaban Islam terbina untuk mengubah dunia dengan manhajnya. Adakah anda melihat sebuah madrasah yang lebih bersih dan lebih aktif dari madrasah itu? Satu kaum yang duduk di atas pasir. Universitinya dihampari pelepah kurma. Pembatasnya adalah iman. Dan kesatuan hati menambah ikatan mereka. Pada awalnya. mereka adalah sedikit, kemudian membentuk kafilah yang disegani. Mereka dihujani dengan cemuh, cerca dan ugutan kemudian berubah menjadi ’role model’ dan ikutan. Mereka menjadi berwibawa dengan agama ini.

Padahal kekuatan (kewibawaan) itu hanyalah milik Allah, Rasul-Nya, dan kaum Mukminin. Akan tetapi orang-orang munafik tidak mengetahuinya.” (Al Munaafiquun, 63:8 )

Dari madrasah itulah lahir orang paling cerdas dan cergas yang pernah lahir ke dunia, yang menjadi guru dunia dalam segala keutamaan dan ilmu pengetahuan. Itulah madrasah yang dicurahi rahmat, dibacakan padanya ayat-ayat Allah, bersinar di dalamnya cahaya Rabbul ‘Alimin, sehingga kelak para alumninya menjadi guru-guru dunia.

Ada pertanyaan yang mendalam tentang generasi yang ditarbiyah secara langsung oleh Rasulullah saw itu: Apa yang mereka mimpikan? Apa yang mereka fikirkan? Apa yang mereka inginkan? Setinggi manakah cita-cita kelompok yang berkumpul secara sembunyi-sembunyi itu dan dipulaukan pula oleh kaum mereka sendiri?

Tidak ada yang mereka inginkan selain mengisi pemikiran manusia dengan akal baru; menegakkan agama baru di muka bumi; mereka membangun peradaban manusia; menghubungkan antara langit dan bumi sambil mengatakan, “Kepada-Mu kami mengabdi dan kepada-Mu pula kami memohon pertolongan;” dan mereka ingin memberi petunjuk kepada manusia, dengan izin Rabb mereka, kepada aturan baru, dan kemanusiaan baru. Mereka ingin menghimpun hati manusia untuk menuju kepada Tuhan manusia. Mereka ingin memasukkan perasaan baru di hati manusia yang pada gilirannya membentuk mereka menjadi umat terbaik yang diorbitkan untuk manusia, sebagaimana yang dikehendaki oleh Rabb manusia. Itu semua dilakukan dengan tarbiyah yang bertumpu pada tiga tonggak, yang dengannya mereka membuktikan pengabdian kepada Allah Rabb sekalian alam. Ketiga tonggak itu adalah:

Pertama: Iman yang mendalam.

Iman yang membersihkan segala tujuan selain tujuan dakwah mereka. Mereka telah mendengar seruan. Lalu mereka berlari menuju Allah lantas menjadikan ‘laa ilaaha illallah’ sebagai syi’ar mereka seraya menganggap kecil semua selain itu. Mereka tidak tertarik dengan peradaban Parsi dan Romawi, tidak pula dengan kemajuan materialistik mereka pada masa itu. Mereka juga tidak disibukkan oleh kemajuan ilmu yang dicapai oleh orang sebelum mereka. Sebab, orang-orang itu menuhankan selain Allah. Dan Parsi, begitupun tinggi pencapaian kemajuan, namun mereka berada dalam kesesatan kerana menyembah syahwat dan hawa nafsu mereka. Dan apa yang ada di bumi beredar dalam orbit kesesatan bila tidak mengambil petunjuk dan cahaya Allah.

Begitulah mereka memandang peradaban yang ada di sekitar mereka. Kerana memang demikianlah madrasah Rasul mengajar mereka. Madrasah itu mengajar dan mendidik mereka bahawa mereka berada dalam kebenaran yang nyata. Sebab, mereka telah membersihkan diri dari athisme, hawa nafsu, dan syahwat mereka, dan mempersembahkan semua itu kepada Allah. Mereka tidak beribadah kepada selain Allah. Tidak tunduk selain kepada Allah. Tidak bersandar selain kepada Allah. Tidak memohon selain kepada Allah. Tidak merasakan kenikmatan selain saat mereka merasa dekat dengan Allah. Mereka tidak merasakan penderitaan kecuali dengan dosa yang mereka lakukan akibat jauh dari Allah. Hal-hal itulah yang mempersatukan hati mereka, setelah mereka mengetahui bahawa bumi ini akan Allah wariskan kepada orang yang Dia kehendaki dan bahawa kesudahan yang baik adalah milik orang-orang yang bertakwa. Mereka hanya berpegang pada sibghah (celupan) Allah:

“(Pegang teguhlah) celupan Allah. Dan siapakah lagi yang lebih baik celupannya dari pada (celupan) Allah.” (Al Baqarah, 2: 138)

Kedua: Cinta, ukhuwwan dan kesatuan hati hati yang unggul dan kepaduan rohani.

Atas hal apa mereka berselisih? Atas sekecil keuntungan dunia? Atas perbezaan peringkat, pangkat, gelaran, padahal mereka mengetahui,

Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalian di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa.” (Al Hujuraat, 49: 13)

Tidak ada faktor-faktor yang membuat mereka – para pencipta sejarah dan peradaban rabbani itu – berpecah dan kesatuan mereka pincang. Makanya mereka bersatu dan menjadi saudara di jalan Allah. Tidak seorang pun menghina yang lainnya. Bahkan masing-masing mencintai saudaranya itu melebihi cinta kepada dirinya sendiri. Sebab, mereka membaca firman Allah:

Katakanlah jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta yang kamu kumpulkan, perdagangan yang kamu khuaatirkan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai dari pada Allah, Rasul-Nya, dan jihad di jalan-Nya, maka tunggulah hingga Allah mendatangkan siksa-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.” (At-Taubah, 9: 24)

Cinta mereka di jalan Allah. Benci mereka kerana Allah. Mereka memberi kerana Allah. Tidak memberi, juga kerana Allah. Lalu terceluplah kehidupan mereka dengan cinta dan dengan cinta itu pula mereka mendakwahi manusia. Begitulah mereka ditarbiyah.

Ketiga: Mereka juga dibina untuk berkorban dan berjihad

Mereka juga dibina untuk berkorban dan berjihad sehingga mendorong mereka mempersembahkan segala yang mereka miliki kepada Allah, Rabb sekalian alam.

Sampai-sampai ada di antara mereka yang berkeberatan untuk menerima ghanimah yang padahal dihalalkan Allah, hingga Allah menurunkan ayat,

Makan makanlah dari sebagian rampasan perang yang telah kamu ambil itu sebagai makanan yang halal lagi baik.” (Al Anfal, 8: 69).

Jadi, dalam hal yang halal saja mereka amat hati-hati dan meninggalkannya kerana menginginkan perhitungan dari Allah. Mereka ingin bahawa dalam amal mereka tidak tercemari dengan debu-debu kecintaan terhadap dunia. Dengan cara itu mereka keluar dari kehinaan menuju kejayaan, dari keterasingan menuju kesatuan, dan dari kebodohan menuju ilmu. Merekalah pembangun peradaban dan pemberi petunjuk kepada manusia dalam erti yang sesungguhnya. Dan semua itu mereka peroleh dari pensucian (tazkiyah) yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

Jumaat, 10 Oktober 2008

Kisah penderhakaan syaitan

Kisah penderhakaan Iblis bermula pada ketika Allah swt mencipta Adam as. Akibat banggakan kejadiannya yang dibuat daripada api yang sangat panas dan memandang hina penciptaan Adam as yang dibuat daripada tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk, Iblis enggan sujud kepada Adam as sebagaimana yang diperintahkan Allah. Allah swt mengutuk keingkaran Iblis itu dengan mengusirnya keluar daripada syurga, tempat penginapannya ketika itu.

Iblis laknatullah yang tidak insaf dengan hukuman Allah swt telah menjangkakan hukuman yang lebih berat daripada Allah pada hari akhirat kelak. Lantas itu, dia berhasrat untuk menyesatkan umat manusia, kecuali sebahagian kecilnya yang berpegang teguh dengan arahan Allah, untuk bersama-samanya dengannya di dalam neraka kelak.

Lantas itu, Iblis memohon kepada Allah agar dipanjangkan usianya hingga ke hari akhirat. Dan Allah swt membenarkan permohonan itu sambil memberi tiga jaminan. Pertamanya, ada golongan manusia yang terpilih yang tidak akan dapat disesatkan oleh syaitan. Keduanya, Allah menjanjikan azab neraka kepada Iblis dan pengikut-pengikutnya termasuk dari kalangan manusia yang disesatkannya. Dan ketiganya, Allah juga menjanjikan balasan baik berupa syurga-syurga kepada golongan manusia yang bertaqwa.

Kisah mengenai Iblis ini telah digambarkan di dalam Al-Quran seperti berikut :
"Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.

Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Sungguh, Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk.

Maka apabila Aku telah menyempurnakan (kejadian)nya, dan Aku telah meniupkan ruh (ciptaan)Ku ke dalamnya, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud (memberi penghormatan).

Maka bersujudlah para malaikat itu semuanya bersama-sama, kecuali Iblis. Ia enggan ikut bersama-sama para (malaikat) yang sujud itu.

Dia (Allah) berfirman, 'Wahai Iblis! Apa sebabnya kamu (tidak ikut) sujud bersama mereka?'

Ia (Iblis) berkata, 'Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk.'

Dia (Allah) berfirman, '(Kalau begitu), keluarlah dari syuga kerana sesungguhnya kamu terkutuk."

Ia (Iblis) berkata, 'Ya Tuhanku, (kalau begitu) berilah penangguhan kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan.'

Allah berfirman, '(Baiklah), maka sesungguhnya kamu termasuk orang yang diberi penangguhan, sampai hati yang ditentukan (kiamat).'

Ia (Iblis) berkata, 'Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa Aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku pasti akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang terpilih di antara mereka.

Dan (Allah) berfirman, 'Ini adalah jalan yang lurus menuju kepadaKu. Sesungguhnya kamu (Iblis) tidak kuasa atas hamba-hambaku, kecuali mereka yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang sesat.

Dan sungguh, Jahannam itu benar-benar (tempat) yang telah dijanjikan untuk mereka (pengikut syaitan) semuanya. (Jahannam) itu mempunyai tujuh pintu. Setiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan tertentu dari mereka.

Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu berada dalam syurga-syurga (taman-taman), dan (di dekat) mata air (yang mengalir).'"

(Al-Hijr: 26-45)

Khamis, 9 Oktober 2008

Kisah Jihad Ummu 'Imarah ra, Sahabat Wanita Yang Mujahidah

Artikel ini dipetik dari buku "70 Wanita Terbilang Di Zaman Nabi Muhammad saw", tulisan Abu Azka al-Madani dan Harun Arrasyid Hj Tuskan, terbitan Al-Hidayah Publishers, 2004, Kuala Lumpur.

Nama sebenar Ummu 'Imarah ialah Nusaibah binti Ka'ab bin 'Amr bin Auf bin Mabzul al-Anshariyah al-Khazriyah an-Najjariyyah al-Maziniyyah.

Imam al-Zahabi pernah berkata, "Ummu 'Imarah yang mulia adalah seorang mujahidah, ikut serta menyaksikan Bai'at al-'Aqabah, Perang Uhud, Perang Hudaibiyyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah."

Ketika Perang Uhud terjadi, Ummu 'Imarah keluar untuk memberikan minuman kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang terluka. Tatkala pasukan Muslimin mulai terdesak dalam perang tersebut setelah menguasai sebelumnya dan lari daripada peperangan, kecuali hanya beberapa orang sahaja yang tetap bertahan, maka Ummu 'Imarah menghunuskan pedangnya dan memakai perisai serta melindungi Rasulullah saw daripada jangkauan musuh.

Ummu 'Imarah selalu berusaha untuk melindungi Rasulullah saw ketika Perang Uhud daripada segala merbahaya yang datangnya daripada musuh, sehingga Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, "Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali aku melihat Ummu 'Imarah berperang di hadapanku."

Perang Uhud masih berlanjutan, keluarga mujahidah melingkari Rasulullah saw untuk melindungiNya. Ketika salah seorang anaknya yang bernama Abdullah terluka parah, Ummu 'Imarah mengikat luka tersebut sambil berkata, "Bangun wahai anakku!" Maka anaknya terus melawan para musyrikin. Maka Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Wahai Ummu 'Imarah! Siapakah yang mampu membuat seperti apa yang kau lakukan?"

Ketika orang musyrik yang melukai anaknya mendekat, Rasulullah berkata kepada Ummu 'Imarah, "Ini dia orang yang melukai anakmu." Seketika itu juga Ummu 'Imarah menghampiri orang tersebut dan berjaya melukai betis orang tersebut dengan pedangnya. Rasulullah tersenyum sambil berkata, "Ya Ummu 'Imarah! Engkau telah berhasil membalasnya."

Kemudian Ummu 'Imarah bersama yang lain berhasil membunuh musyrik tersebut. Maka Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, "Segala puji bagi Allah yang telah memenangkanmu dan menggembirakan hatimu daripada musuhmu serta memperlihatkan balas dendammu di hadapanmu."

Rabu, 8 Oktober 2008

Pasca Ramadhan


Artikel ini adalah petikan dari blog usrah keluarga.blogspot.com. Klik di sini untuk artikel asal.

Ramadhan bulan yang penuh berkah baru saja berlalu. Sederet catatan dan kenangan amal yang baik, semoga mengiringi kepergiannya. Semoga bersua kembali dengan bulan yang mulia dan penuh rahmat ini, insyaAllah.

Ramadhan memang telah berlalu meninggalkan kita. Namun pengaruhnya tidak boleh hilang begitu sahaja dan ia harus terjelma dengan jelas dalam hidup seharian kita. Puasa, tarawih, qiamullail, tilawatil Quran, sedekah, infa’ dan zikrullah kita seharusnya dan selayaknya menempa diri setiap muslim menjadi peribadi muttaqin (orang-orang yang bertaqwa). Kerana, taqwa itulah tujuan yang hendak diraih dari keseluruhan amaliah Ramadhan kita.

Darjat taqwa itulah satu-satunya bekal yang layak di bawa mengadap Allak kelak. Sesungguhnya hanya takwa sahaja kayu pengukur prestasi dan "standard” penilaian Allah swt. terhadap hamba-hamba-Nya. Semakin tinggi tingkat ketaqwaannya, semakin mulia kedudukannya di sisi Allah swt. Maka marilah kita muhasabah prestasi diri masing-masing, sudah sejauh mana ia meningkatkan ketaqwaannya. Firman Allah swt yang bermaksud:
”Dan siapkanlah bekal kalian. Maka sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa.” (Al Baqarah:197)
Pembuktian ketaqwaan dapat kita terjemahkan melalui ketaatan kita. Ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya merupakan indikator utama seorang muttaqin. Sikap taat merupakan refleksi iman dan taqwa seorang hamba. Hal ini ditegaskan allah dalam Al Quran yang bermaksud:
"Sesungguhnya ucapan orang mukmin bila dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya dalam memutuskan urusan mereka, adalah perkataan: ”Kami dengar dan kami taat”. Itulah orang-orang yang beruntung.” (An Nuur-51)
Tunduk, taat dan patuh kepada ketentuan Allah dan Rasul-Nya itulah sikap, prinsip dan mentaliti seorang yang bertaqwa. Dan ketaatan itu tumbuh secara fitrah dalam hati sanubari tanpa ada paksaan dan tekanan. Apapun keputusan dan aturan Allah dan Rasul-nya diterima dengan redha dan lapang dada di iringi dengan sikap kesediaan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan pengikut Nabi Muhamad saw.

Fenomena ini digambarkan Allah dalam firman-Nya bermaksud:
"Maka demi Rabb-mu, mereka itu tidak dikatakan beriman sehingga mereka menjadikan engkau (Muhamad) sebagai hakim (pemutus perkara) mereka, kemudian engkau tidak mendapati dalam diri mereka rasa keberatan atas keputusanmu, dan mereka menerimanya dengan penuh ketundukan.” (An Nisa’: 65)
Muhasabah Taqwa

• Sudahkah kita mentaati Allah dan Rasul dengan melaksanakan seluruh perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya atau kita mengabaikannya?

• Apakah kita menyambut seruan dan panggilan Allah dan Rasul-Nya dengan segera laksana seorang perajurit yang selalu siap sedia menjalankan tugas atau sebaliknya?

• Apakah kita menunaikan solat dengan taat dan kusyuk dan sentiasa memeliharanya dengan baik? Atau kita semakin sering meninggalkannya lantaran asyik di buai mimpi atau kesibukan kerja?

• Sudahkah kita salurkan kekayaan yang Allah pinjamkan kepada kita untuk zakat, sedekah dan infa’ di jalan Allah swt? Atau kita salurkan untuk tujuan berlibur semata atau untuk diri sendiri sahaja?

• Apakah kita termasuk golongan yang sentiasa memelihara kehormatan dan aurat? Atau jangan-jangan kita selama ini tergolong orang-orang yang suka mempamerkan kecantikan dan aurat kita untuk menjadi tatapan umum?

• Apakah kita termasuk orang yang selalu menjaga aklaqul karimah dan memelihara adab pergaulan? Atau kita terjerumus dalam pergaulan bebas dan berakhlak buruk?

• Adakah Al Quran telah berada dan tetap berada dalam hati kita? Atau kita sudah lama menjadikannya khazanah lama di rak almari kita atau hiasan di dinding?

• Apakah Islam kini berfungsi sebagai sistem yang mengatur hidup kita? Atau Islam hanya digunapakai ketika majlis akad nikah perkahwinan dan mengurus kematian ahli keluarga?

• Apakah ukhwah antara kita semakin terbina atau sikap individualistik terus menguasai kita?

• Apakah masjid dan surau di kariah kita sering kunjungi atau kita masih sibuk dengan urusan kerja dan peribadi sehingga kita tidak temui jalan ke masjid dan surau?

• Apakah institusi keluarga kita berfungsi sebagai madrasah melahirkan manusia muttaqin atau menjadi porak peranda kerana sikap tidak bertanggungjawab kita dalam mendidik isi rumah kita?

Semua itu patut menjadi renungan yang mendalam buat kita semua. Semoga sebulan penuh kita menjalani latihan di madrasah tarbiyah Ramadhan membersihkan kembali fitrah kita yangsuci. Fitrah yang selalu mengajak tunduk, taat dan patuh kepada tuntutan Allah swt dan Rasul-Nya. Sehingga di sepanjang Syawal ini kita layak merayakannya sebagai hari kemenangan fitrah atas nafsu, kemenangan kebenaran atas kebatilan dan kemenangan Iman atas kekufuran.

Selasa, 7 Oktober 2008

Penerusan ibadah selepas Ramadhan

Bulan Ramadhan al-Mubarak baru sahaja meninggalkan kita. Ia akan kembali selepas berlalunya tempoh masa 11 bulan yang akan datang. Bagi orang-orang mukmin, kedatangan Ramadhan merupakan suatu yang dirindui dan pemergiannya pula ditangisi.

Tidak cukup dengan itu, bagi orang-orang mukmin juga, pemergian Ramadhan meninggalkan suatu kesan positif yang sangat mendalam dalam jiwa mereka, iaitu ketaqwaan yang utuh kepada Allah swt.

Allah berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah:183)
Hatta, Rasulullah saw melaknati orang-orang yang melepasi Ramadhan tanpa memperolehi keampunan Allah. Dalam suatu hadith yang bermaksud,
“Dari Ka’ab bin Ujrah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, ‘Hadirlah ke mimbar!’ Maka kami pun telah hadir. Apabila Baginda naik satu anak tangga mimbar, Baginda berkata, ‘Amin’ dan apabila naik anak tangga yang kedua, Baginda berkata, ‘Amin’ dan apabila naik anak tangga yang ketiga Baginda berkata, ‘Amin’. Apabila Baginda turun, kami telah bertanya, ‘Ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar dari Tuan sesuatu yang belum pernah kami dengar’. Baginda bersabda, ‘Sesungguhnya Jibrail telah muncul kepadaku dan berkata : Binasalah dia yang mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan.’ Maka aku berkata ‘Amin’. Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata : ‘Binasalah dia yang apabila engkau disebutkan di depannya, tidak pula dia menselawatimu.’ Aku juga berkata, ‘Amin’ dan apabila aku naik anak tangga yang ketiga dia berkata : ‘Binasalah dia yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang darinya telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke dalam syurga.’ Aku berkata ‘Amin’. (Riwayat Hakim dan Ibnu Hibban)
Lantas itu, adalah wajar untuk setiap daripada kita memuhasabah diri dan menilai sama ada kita telah mencapai tahap ketaqwaan yang diharapkan daripada Ramadhan. Sekiranya kita telah mencapainya (Allah jua yang mengetahui), marilah kita bersyukur kepada Allah dan berazam untuk terus dalam ketaqwaan ini. Sebaliknya, sekiranya kita gagal mencapai darjah ketaqwaan itu, marilah pula kita pertingkatkan amal soleh dan gandakan ketaatan kepada Allah, mudah-mudahan kita mencapai juga darjah ketaqwaan ini di luar Ramadhan.

Kepentingan taqwa memang ternyata diulang-ulang oleh Allah swt, agar kekal terpahat dalam diri orang-orang yang beriman, iaitu selaku bekal yang akan menjadi penilaian Allah di akhirat kelak. Semakin tinggi ketaqwaan seseorang, semakin mulia pulalah darjatnya di sisi Allah.

Allah berfirman,
“Dan siapkanlah bekal kalian. Maka sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa. Dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang mempunyai akal.”(Al Baqarah:197)
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.” (Al-Hujurat:13)
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi `auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.” (Al-A’raf:26)
Dalam bermuhasabah bagi meninjau tahap ketaqwaan dalam diri, ulama’ menegaskan bahawa di antara tanda-tanda bahawa ibadah puasa atau selainnya yang telah kita laksanakan itu diterima oleh Allah swt ataupun tidak, ialah apabila Allah swt memberikan pertolongan kepada kita untuk melakukan kebaikan yang lebih besar. Perlaksanaan ibadah-ibadah ini mestilah berlangsung secara terus-menerus, dan tidak terhad kepada amalan pada bulan Ramadhan sahaja.

Dan para ulama’ juga telah memberikan beberapa tips berguna buat kita meneruskan kelangsungan Ramadhan pada bulan-bulan yang lain seterusnya. Di antaranya ialah seperti anjuran Syaikh Qasim Abdullah dan Syaikh Yasir Abdurrahman, seperti berikut :
  • Janganlah kita meninggalkan solat ima waktu pada waktunya ataupun melalaikan perlaksanaannya seperti mengakhirkannya atau sebagainya;
  • Jadikanlah solat fajar (subuh) sebagai solat yang mempunyai nilai khusus dan lakukanlah secara terus-menerus;
  • Berusahalah untuk membaca al-Quran sebagai wirid harian, secara berterusan walaupun sedikit;
  • Perbanyakkanlah berzikir kepada Allah swt, berfikir serta merenungi nikmat dan kebesaranNya dan memohon ampun kepadaNya dengan penuh rasa kerendahan diri;
  • Berusaha melakukan solat malam serta qiyamullail secara istiqamah, walaupun sedikit-sedikit;
  • Jauhilah sumber-sumber yang boleh menggalakkan kita untuk mengeji, mengadu-domba serta menghina orang lain;
  • Sucikanlah hati-hati kita dan sifat kemunafikan dan kedengkian. Sebaliknya jadilah hati-hati kita sebagai tempat pengaduan bagi orang-orang yang memerlukan;
  • Letakkanlah dalam tangan-tangan kanan kita dengan sifat kecintaan kepada manusia, dan letakkanlah pula dalam tangan-tangan kiri kita dengan memberikan apa yang mereka perlukan;
  • Bersedekahlah walaupun sedikit, dengan ikhlas; dan
  • Jalinkanlah hubungan yang baik dengan semua orang terutama orang-orang yang berada di sekeliling kita.
Semoga kita digolongkan oleh Allah swt di dalam golongan-golongan yang diberikan kerahmatan, pengampunan dan perlepasan dari azab neraka. Dan juga dimasukkan ke dalam syurga ar-Rayyan, iaitu syurga yang dijanjikan kepada mereka yang berpuasa. Rasulullah saw pernah bersabda,
Daripada Sahl bin Sa’ad berkata: Bersabda Nabi saw bersabda, “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya, “Dimanakah orang-orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja.” (Riwayat Bukhari & Muslim).
Kita juga berdoa agar Allah swt memanjangkan usia kita, agar semoga kita dipertemukan sekali lagi dengan Ramadhan yang akan datang, insyaAllah.

Isnin, 6 Oktober 2008

Berasa mulia dengan Islam

Ada di antara umat Islam yang tidak berasa izzah atau mulia dengan Islam dan Iman yang mereka miliki. Sebaliknya mereka merasa cemburu dengan orang-orang kafir, lantaran kekayaan dan kesenangan dunia yang mereka nikmati di dunia kini.

Pada hakikatnya, "nikmat" yang dikatakan dinikmati oleh orang-orang kafir hanyalah suatu kesenangan yang bersifat sementara semata-mata, dan tidak lebih daripada suatu tipu daya yang dirasakan indah, padahal ia tidak sedemikian. Malah, Allah menyifatkan kesenangan dunia yang mereka nikmati itu sebagai suatu "siksaan dalam kehidupan dunia".

Ini adalah kerana segala kenikmatan itu tidak akan berjaya membela mereka di akhirat kelak, kerana tanpa iman di dalam dada, segala perbuatan baik yang mereka lakukan akan menjadi sia-sia, apatah lagi perbuatan jahat.

Firman Allah di dalam surah Yusuf, ayat 33-34 :
"Sebenarnya bagi orang kafir, tipu daya mereka itu dijadikan terasa indah, dan mereka dihalangi dari jalan (yang benar). Dan barang siapa disesatkan Allah, maka tidak ada seseorang pun yang dapat memberi petunjuk baginya. Mereka mendapat siksaan dalam kehidupan dunia, dan azab akhirat pasti lebih keras. Tidak ada seorang pun yang melindungi mereka dari (azab) Allah."
Firman-firman Allah seterusnya di dalam surah Ibrahim :
"Perumpamaan orang yang membuat ingkar kepada Tuhannya, perbuatan mereka seperti abu yang ditiup oleh angin keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak kuasa (mendatangkan manfaat) sama sekali dari apa yang mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh." (Ibrahim:18)
"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun. Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh (dalam kehidupan) di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki." (Ibrahim :24-27)
Oleh yang demikian, berasa mulialah dengan Islam dan Iman yang kita miliki. Dan susulilah dengan bukti keizzahan itu.