Ahad, 12 Oktober 2008

Kebajikan yang sebenar

Ramai orang yang menyangka bahawa menjadi Islam ialah cukup dengan hanya melaksanakan lima rukun-rukun Islam, iaitu yang terdiri daripada syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Manakala beriman pula hanya cukup dengan mempercayai enam rukun-rukun Iman, iaitu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari akhirat dan qada’ serta qadar.

Padahal yang sebenarnya, tuntutan yang dikehendaki daripada orang-orang Islam yang beriman adalah jauh lebih daripada itu.

Ini adalah kerana Allah swt menuntut kepercayaan yang teguh terhadap apa yang dikehendaki oleh rukun-rukun Iman, melaksanakan rukun-rukun Islam dan seterusnya melaksanakan apa yang dikatakan “kebajikan” yang sebenar. Matlamatnya ialah untuk mencapai tahap keimanan dan ketakwaan yang hakiki.

Hakikat “kebajikan” ini telah dijelaskan oleh Allah swt melalui firmanNya,
“Bukanlah kebajikan itu, sekadar menghadapkan wajahmu ke arah timur atau barat, tetapi sesungguhnya kebajikan itu adalah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kita dan nabi-nabi, dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang-orang musafir (yang memerlukan pertolongan), dan orang-orang yang meminta-minta, serta (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Dan orang-orang yang menepati janji apabila mereka berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesulitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar (beriman) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa." (Al-Baqarah : 177).
Berdasarkan kepada ayat tadi, Allah swt merangkumkan ketaqwaan sebagai keimanan beserta dengan perlakuan-perlakuan kebajikan terhadap masyarakat berasaskan kepada nilai-nilai sosio-ekonomi yang baik.

Dr Yusuf Qardhawi di dalam kitab tafsir Fil Zilalnya berkata, “Sesungguhnya kebajikan itu adalah tasawwur (persepsi pandangan hidup), perasaan, amalan dan perilaku. Tasawwur yang mempengaruhi hati individu dan jamaah, amalan yang membekas dalam kehidupan peribadi dan masyarakat, dan tidak cukup hanya menghadapkan wajah ke arah timur dan barat, kiblat ini atau kiblat itu, atau cuma salam ke kanan dan ke kiri dalam solat, atau semua gerakan lahiriah yang manusia biasa melakukan.”

Dengan itu, kita harus merubah paradigma kita bahawa ibadah itu tidak hanya setakat amalan khusus sahaja, malah ia juga meliputi muamalah-muamalah yang baik sesama masyarakat termasuklah dakwah serta amal makruh nahi mungkar.

Dalam hal ini, kita diseru untuk menafkahkan sebahagian harta kepada masyarakat yang memerlukan. Kita juga mesti berakhlak dengan nilai-nilai akhlak yang baik seperti menepati janji dan sebagainya. Malah, perlu juga sabar dalam menghadapi penderitaan dan kesulitan serta ketika di medan jihad.

Seterusnya, disimpulkan oleh Yusuf Qardhawi dengan tulisannya, “Demikianlah satu ayat di atas menghimpun pokok-pokok akidah, tugas-tugas jiwa manusia dan hartanya, dan menjadikan semuanya sebagai satu kesatuan yang intergral dan tidak terpisah-pisah. Semuanya itu diberi tanda satu, yakni dengan al-Bir atau “Kebajikan” atau al-Iman sebagaimana tersebut dalam hadith. Dan, semua itu adalah ringkasan dari tasawwur (persepsi, konsep, idea Islami dan prinsip manhaj Islam yang sempurna), yang Islam tidak akan dapat berdiri tanpanya. Oleh kerana itu, ayat itu ditutup dengan ‘Mereka itulah orang-orag yang benar-benar (beriman), dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.’”

Tiada ulasan: