Isnin, 13 Oktober 2008

Syahsiah mulia dalam diri pendakwah


Diserukan kepada kita, “Perbaikilah dirimu dan serulah orang lain.”


Dan menjadi slogan yang kita seru-serukan tanpa jemu, “Tegakkanlah daulah Islam di hatimu, nescaya ia akan tertegak di bumimu.”

Dakwah dan qudwah (syahsiah baik) adalah tidak dapat dipisahkan. Tidak mungkin seseorang pendakwah menjalankan tugas dakwahnya dengan baik tanpa ia sendiri berakhlak dengan akhlak yang mulia. Dan tidak munasabah pula seseorang itu dikatakan sempurna syahsiahnya tanpa ia melaksanakan apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw, iaitu berdakwah.

Contoh tertinggi bagi peribadi pendakwah yang bersyaksiah mulia ialah apa yang ditonjolkan melalui peribadi Rasulullah saw. Sebagaimana yang disahkan oleh Allah swt di dalam al-Quran, melalui firmannya,
“Sesunguhnya bagi kamu, pada diri Rasulullah (saw) terdapat contoh tauladan yang baik bagi seseorang yang mengharapkan Allah dan hari akhirat dan banyak mengingati Allah.”
(Al-Ahzab : 21)
Keperibadian Rasulullah saw selaku insan yang mulia akhlak dan perilakunya terpancar dalam segenap dimensi peranannya – sebagai pemimpin, suami, bapa, jiran, teman, panglima perang, pendidik, pentadbir dan sebagainya.

Akhlak Baginda adalah al-Quran, sebaik-baik manusia. Merupakan ahli ibadat (abid) pada waktu malam dan ahli siasah yang berhasil menyatukan umat manusia pada waktu siangnya. Baginda juga seorang ahli peperangan yang mahir mengatur strategi peperangan dan ahli perniagaan yang berjaya. Baginda juga seorang ayah yang penuh kasih sayang dan suami yang berjaya mewujudkan mawaddah dan rahmah di dalam rumahtangga. Begitu juga, Baginda adalah teman yang setia dan jiran yang prihatin, hakim yang adil dan penguasa yang kasih kepada rakyat. Baginda jugalah seorang pendidik yang agung, membimbing seluruh umat manusia dengan penuh kasih sayang. Dalam apa jua peranan sekalipun, kita boleh mengambil Rasul saw sebagai contoh yang terbaik.

Bukti keperibadian Rasulullah yang mulia boleh kita fahami daripada intipati arahannya kepada Muaz Bin Jabal ra sewaktu mengutuskannya sebagai pendakwah ke Yaman. Baginda bersabda,
“Wahai Muaz, aku berwasiat kepadamu agar bertaqwa kepada Allah, berkata benar, menepati janji, melaksanakan amanah, meninggalkan pengkhianatan, memelihara (hubungan) jiran, mengasihi anak yatim, berkata lembut, menyebarkan salam, beramal saleh, memendekkan angan-angan, sentiasa tetap beriman, memperdalamkan al-Quran, mencintai akhirat, merasa takut kepada hisab dan bersifat tawadhuk. Dan aku melarang kamu memaki orang yang bijaksana, mendustakan orang yang jujur, mentaati orang yang berbuat dosa, menentang pemimpin yang adil, atau membuat kerosakan di bumi. Dan aku berwasiatkan kepada kamu agar kamu bertakwa kepada Allah ketika berada di samping batu, pokok dan rumah. Dan hendaknya kamu memperbaharui – untuk setiap dosa – taubatnya, yang rahsia dengan rahsia dan yang terang dengan terang.” (Riwayat Abu Naim dan Baihaqi).
Oleh yang demikian, wajiblah kita memperbaiki dan memulakan sesuatu pada diri kita sendiri sebelum mengajak orang lain, agar kita selaku pendakwah menjadi qudwah amali yang dapat dicontohi oleh masyarakat seluruhnya.

Tiada ulasan: