Rabu, 23 Julai 2008

Perjalanan balik kepada Allah swt : dengan takut dan penuh harap

Hari ini aku berusia 53 tahun. Aku berada di kedudukan yang sangat kritis. Aku berada di peringkat akhir perjalanan menuju Allah SWT dan perasaanku bercampur-campur antara takut dan harap.

Setiap kita akan dikembalikan oleh Allah SWT kepada-Nya, sama ada kita mahu mahupun tidak. Sama ada kita bersedia atau sebaliknya. Kehidupan di dunia yang sementara ini pasti akan berakhir dan kehidupan di akhirat pasti akan mula, yang merupakan kehidupan yang sebenar dan tidak akan ada akhirnya. Jika bahagia, kita akan bahagia selama-lamanya dan sekiranya sengsara, kita akan sengsara selama-lamanya.

Kita melalui perjalanan balik ini dengan iman dan amal saleh yang dilakukan. Sebenarnya, melakukan amal di dalam kehidupan ini tidaklah begitu sukar, yang sukar dilakukan dan majoriti manusia menyedarinya adalah melakukan amal dengan ikhlas. Amal yang dilakukan hanyasanya kerana Allah SWT semata-mata. Inilah yang dibimbangi dan meresahkan jiwa kerana bimbang amal-amal yang dilakukan dicemari oleh riya’ dan ujub sehingga amal-amal ini tidak diterima Allah SWT. Rugi! Rugi kiranya kita balik kepada Allah SWT dengan amal yang tercemar. Kadangkala pada ketika iman melemah, amal mudah tercemar oleh hajat-hajat lain, selain pahala dan redha Allah SWT.

“Ya Allah! Janganlah Kau biarkan aku melakukan walaupun satu amal, untuk yang selain dari untuk mendapat cinta dan redha-Mu”

Imam Qurtubi telah menulis, “Maka fikirkanlah dirimu wahai saudaraku! Ketika kamu diseret di atas tanah, dan pandangan orang-orang tertuju kepadamu, apalagi orang-orang yang sangat mempercayaimu ketika di dunia, mereka akan melihatmu ketika kamu mendapat balasan kesalahanmu, dan ketika kamu membaca lembaran amal-amalmu, kerana semua manusia akan mengetahui seluruh apa yang pernah kamu lakukan dan apa yang pernah kamu sembunyikan dari mereka. Tidak akan ada sesuatupun dari perbuatan, sama ada yang besar hingga yang sekecil-kecilnya yang boleh kamu tutupi dan rahsiakan.

Dikutip dengan kebenaran, baca lanjutannya di sini.

Tiada ulasan: