Islam adalah agama yang terdiri daripada peraturan-peraturan yang lengkap. Ia menghendaki manusia melakukan kebaikan, dan melarangnya daripada apa jua yang batil. Untuk itu, Islam menggariskan takat-takat akhlak yang tertentu buat neraca ikutan mereka yang beriman.
Di antara akhlak yang terpuji di sisi Islam ialah memelihara lisannya daripada ungkapan-ungkapan yang tidak berfaedah. Bukan sahaja seseorang itu dikehendaki untuk membasahkan lidahnya dengan zikir-zikir dan kalimah-kalimah Ilahi, malah Islam juga menganjurkannya untuk berdiam diri sahaja walaupun pada perkara-perkara yang harus dia perbualkan.
Di antara akhlak yang terpuji di sisi Islam ialah memelihara lisannya daripada ungkapan-ungkapan yang tidak berfaedah. Bukan sahaja seseorang itu dikehendaki untuk membasahkan lidahnya dengan zikir-zikir dan kalimah-kalimah Ilahi, malah Islam juga menganjurkannya untuk berdiam diri sahaja walaupun pada perkara-perkara yang harus dia perbualkan.
Peri pentingnya penjagaan lisan ini, dapat dibuktikan melalui hadith Rasululah saw yang meletakkannya sebagai salah satu tanda-tanda keimanan.
Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik ataupun berdiam diri. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia memuliakan tetamunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Islam meletakkan kesempurnaan diri seseorang muslim, antara lainnya, melalui kebersihan lisan dan tangannya daripada bentuk-bentuk gangguan terhadap saudaranya. Salah satu hadith Rasulullah saw yang lain pula berbunyi :
"Orang Muslim adalah yang orang Muslim lainnya selamat dari gangguan lisan dan tangannya" (Riwayar Muslim).
Ungkapan perkataan-perkataan yang tidak baik bukan sahaja menyisihkan kasih sayang manusia, bahkan Allah swt pun jua. Malah, ia juga boleh menghapuskan amalan-amalan soleh dan menjauhkan seseorang itu daripada syurga Allah.
Pernah Saidina Umar ra berkata bahawa barangsiapa yang banyak bercakap maka banyaklah salahnya dan barangsiapa yang banyak salahnya maka akan banyaklah dosanya. Barangsiapa yang banyak dosa pula, maka nerakalah tempatnya. Ingatlah bahawa tiada apa yang kita lakukan atau ucapkan melainkan ada malaikat-malaikat yang akan mencatatnya.
Tetapi ini tidaklah pula bermakna bahawa seseorang itu perlu berdiam diri dalam setiap ketika. Ada saatnya yang dia perlu berkata sesuatu, seperti dalam menegakkan hak dan melakukan makruf, di samping mencegah kemungkaran.
Atas dasar itu, pergunakanlah nikmat lisan yang Allah kurniakan kepada setiap diri kita dengan sebaik-baiknya - kerana kita pasti akan dipertanggungjawabkan atasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan