Sabtu, 19 Julai 2008

Munafik lalai dalam solat

Dalam beribadah, kita hendaklah melakukannya dengan bersungguh-sungguh demi untuk mengharapkan keredhaan Allah swt kepada kita. Seandainya kita tidak beringan-ringan dalam beribadah, maka bukan sahaja Allah swt tidak akan membalasi kita dengan redhaNya, malah akan melaknati kita pula.

Ini ditunjukkan dengan jelas dalam ibadah solat. Al-Quran telah memberi amaran yang jelas kepada mereka yang melalaikan solat seperti firman Allah yang berikut :
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat (iaitu) orang-orang yang lalai terhadap solatnya." (Al-Maa'uun : 4-5).
Ulama menjelaskan bahawa orang yang lalai dalam solat ialah orang yang tidak mengambil berat terhadapnya. Dia tidak melakukan solat dalam waktunya yang ditetapkan atau melengah-lengahkannya, dan tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

Gambaran orang yang lalai dalam solat ini selari dengan sifat orang-orang munafik. Rasulullah saw bersabda,
"Apabila seseorang munafik solat, ia akan solat kerana riak, dan dia tidak akan kesal jika tidak dapat melakukannya."
Hadith ini diperkuatkan oleh ayat-ayat al-Quran yang berikut pula :
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit sekali." (Al-Nisaa' : 142).
"... Dan mereka tidak mengerjakan solat kecuali dengan malas dan tidak pula menafkahkan harta mereka kecuali dengan rasa enggan." (9:54).
Bagi muslim yang hakiki, tidak ada jalan lain melainkan bertindak segera melakukan solat dengan penuh himmah dan cergas. Beliau tidak harus merasa keberatan melakukannya dan tidak pula melalaikannya, kerana memeliharanya akan membawa kejayaan demi kejayaan dan mengabaikannya pula akan membawa kerugian dan kehinaan.


Bacaan lain :

Tiada ulasan: